Ahad, April 01, 2012

BN BATU BURUK DALAM DILEMA

Salah satu kubu kuat PAS di parlimen Kuala Terengganu ialah DUN Batu Buruk. BN sudah banyak kali gagal merampas kerusi itu dari calon PAS. pada tahun 2008, Dr Syed Azman Syed Alwi mengalahkan calon BN, Datuk Nordiana Shafie. Pada tahun 2004, Datuk Che Mat Jusoh gagal merampas kerusi itu dari Wan Mutalib Wan Embong. Pada tahun 2008 Wan Mutalib dikatakan tidak mahu bertanding kerana bimbang kalah di tangan Che Mat Jusoh. Tiba-tiba BN meletakkan Nordiana yang menyebabkan ramai yang menganggap jika Che Mat bertanding, beliau akan beri tentangan yang sengit kepada Syed Azman. Nordiana pernah ditawarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh bertanding di DUN Ladang pada pilihan raya umum 2004, tetapi dia menolaknya. Jika dia bertanding di Ladang dan menang, beliau adalah Exco wanita pertama di Terengganu. Apabila Nordiana menolak tawaran itu, maka Wan Hisham Wan salleh diletakkan sebagai calon dan menang. Memang Nordiana tiada tuah jadi YB. Bertanding di kampung sendiri kalah pada tahun 2008. Kini pilihanraya umum 13 kian hampir. Siapa yang bakal menjadi calon BN di batu Buruk menjadi satu dilemma. Perlukah Che Mat Jusoh, Pegawai Pembangunan DUN diletakkan sebagai calon? Atau perlukah Nordiana diletak semula di situ. Dua nama ini sudah kalah maka ada yang berpendapat bahawa Timbalan ketua Umno bahagian, Datuk Sabri Alwi atau Mat Kerak diletakkan sebagai calon. Mat Kerak calon yang over acting di zaman idris Jusoh dan pihak istana mungkin tidak menyenanginya dan beliau tidak akan diberi nyawa oleh Pengerusi badan perhubungan umno terengganu, Datuk Seri Ahmad said. satu lagi nama yang disebut sebagai calon ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu,Shafaruddin Mustafa. Batu Buruk mempunyai 27 ribu pengundi dengan 11 peti undi. Kelemahan Shafaruddin ialah di peti undinya sendiri, Chendering, BN kalah teruk masa pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu. Ada yang berpendapat bahawa tidak semestinya ahli jawatankuasa Umno bahagian bertanding. Apa salahnya beri peluang kepada tokoh grass root yang pernah menjaga JKKK. Tidak semestinya calon berkelulusan tinggi kerana yang penting calon itu disenangi rakyat jelata tanpa mengira fahaman politik. Pilihlah calon yang boleh diterima oleh semua pihak tidak kira orang Umno atau pembangkang yang dapat menerima calon tersebut. Kunci kemenangan DUN batu Buruk terletak di peti undi Sekolah Kebangsaan Pusat Kuala Ibai. Siapa yang dapat mengurangkan undi pembangkang di sini maka dia akan menang. Tidak mustahil calon BN boleh menang kalau tiada peteh keting. Mungkin ada calon akar umbi yang mampu merubah keadaan ini yang berorientasikan perkhidmatandan dapat berkomunikasi secara berkesan dengan akar umbi tanpa mengira fahaman politik seperti bekas calon BN,Datuk Haji Talib calon yang tidak pernah kalah di Batu Buruk.

SHAHRIR JADI MANGSA APRIL FOOL


Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Shahrir Abdul Samad menafikan laporan blog hari ini kononnya beliau telah membuat pengumuman mahu keluar Umno untuk menyertai Pas bersama lebih 2,000 ahli.

Menurutnya, punca dan sumber maklumat lama blog Perakite sekadar cerita "April Fool."

“Sebenarnya, jika diperiksa punca dan sumber maklumat berkenaan datangnya daripada cerita 'April Fool’. Saya tidak ada bercakap sedemikian. Bukan saya yang cakap.

“Saya tidak ada apa-apa komen mengenai hal ini. Siapa yang percaya dengan laporan berkenaan bermakna sudah kena temberang,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Wakil rakyat berusia 63 tahun ini berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Perakite yang mendakwa beliau bersama 2,000 ahli Umno mengumumkan keluar parti itu untuk menyertai Pas, pada satu sidang akhbar.

Blog itu turut memuatkan satu gambar seolah-olah sidang media Shahrir, yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 1978. Adiknya, Khalid merupakan Ahli Parlimen Shah Alam dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam.

Seolah-olah Shahrir bercakap, blog itu memetik beliau berkata, 'tiada jalan lagi memperjuangkan agenda negara di dalam kerajaan sedia ada. Jangan lontar batu dari luar bagi membetulkan keadaan sudah tidak terpakai. Penyelesaian yang tepat ialah tukar dan bersama membina negara tercinta dengan idea dan kematangan."

Menurut laporan blog terbabit, berlaku kekacauan dipercayai dilakukan oleh ahli Umno yang ingin menggagalkan sidang akhbar berkenaan selain mendakwa empat individu termasuk seorang wartawan cedera dan dikejarkan ke hospital.

Shahrir juga didakwa mahu membuat ‘roadshow’ bermula di luar Johor sebelum memberi tumpuan di negeri itu secara habis-habisan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selain itu, Perakite juga mendakwa Pakatan Rakyat (PR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan keperluan meletakkan Ketua Umno Johor Bahru itu sebagai Menteri Besar tanpa mengira parti mana yang menang banyak sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan pada PRU13.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajkan Umno Johor Bahru, Faridah Mustafa berkata, laporan berkenaan satu gurauan keterlaluan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Ia amat keterlaluan. Perkara seperti ini tidak boleh dibuat main-main. Ramai rakan dalam Umno yang menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan mengenai hal ini.

“Kami baru sahaja selesai bermesyuarat bersama semalam dan tidak timbul isu ini,” katanya.