Sabtu lalu, 13 April, pencatat keturunan keluarga Daeng Menampuk, Cikgu Wahid Yusof, 78, (dua dari kiri) telah meninggal dunia. Beliau adalah bekas pensyarah Maktab Perguruan Pasir Panjang. Beliau dikebumikan di Kg Paloh, kampung yang dibuka moyangnya walaupun beliau duduk di Gong Tok Nasek.
Siapakah Daeng Menampuk? Beliau adalah anak Raja Bugis yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah untuk menabalkan adik Sultan, Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1708.
Dari keturunan Daeng Menampuk atau Raja Tua maka lahirlah Raja Daud. Raja Daud mempunyai anak bernama Raja Muslimin yang membuka Kampung Paloh dan Pulau Rusa. Beliau adalah orang Bugis yang membuka kedua-dua kampung tersebut.
Anak Raja Muslimin, Raja Muhammad menjadi pengiring Sultan Zainal Abidin III. Selepas Raja Muhammad, beliau tidak membenarkan keturunannya menggunakan nama Raja.
Cikgu Wahid Yusof menyimpan susur galur keturunan keluarga Daeng Menampuk. Dengan kematian beliau maka sejarah keturunan keluarga Daeng Menampuk mungkin tidak berkembang lagi.
Malah dari Raja Muhammad ini maka lahir beberapa tokoh korporat dan politik seperti Tan Sri Razali Abdul Rahman (Pengerusi Peremba Berhad), Azmi Lop Yusof (bekas ADUN Bandar), bekas calon calon BN Wakaf Mempelam, Cikgu Latif Muda dan Othman Awang. Malah bekas Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abdul Ghani juga dari keturunan Raja Muhammad.
Patah tumbuh hilang berganti. Semoga usaha arwah Cikgu Wahid diteruskan oleh keluarga mereka. Jika tidak sejarah keturunan keluarga Daeng Menampuk akan tenggelam begitu sahaja. Alfatihah buat Cikgu Wahid.