Ahad, Disember 10, 2017

KISAH DAUN KELADI GAMATKAN PERHIMPUNAN

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Jika tahun lepas beliau menggamatkan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Putra di sini dengan kisah pisang dan pantun, kali ini wakil UMNO Sabah meriuhkan Perhimpunan Agung UMNO 2017 dengan kisah daun keladi.


Timbalan Ketua UMNO Kimanis Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika membahaskan usul agama dan pendidikan hari ini menjadikan daun keladi sebagai metafora kasih sayang dan kesatuan saf kepimpinan.

"Kenapa orang dulu-dulu menyatakan terima kasih daun keladi, bukan terima kasih daun terap, kalau ada kami harap, tidak terima kasih daun palas, kalau ada Tuhan membalas, tidak ada terima kasih daun limau, kalau ada kami mahu.

"Kenapa daun keladi...? Padahal daun keladi selalu disinonimkan dengan 'bagai mencurah air ke daun keladi'.

"Tapi secara positifnya kerana daun keladi tidak menerima air itulah yang turun ke batang, lalu turun ke akar untuk menyuburkan daun. Kalau kita ingin daun keladi subur menghijau, turunkan air ke akarnya. Yang atas (barisan MT) itu siram-siramlah, dengan menyiram baru subur di asas," katanya disambut gelak tawa perwakilan dan juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Mohd Ariffin berkata bentuk daun keladi yang berbentuk 'love' (simbol hati) itu sebenarnya menunjukkan simbiosis terima kasih dan bentuk kasih sayang.

"Baru-baru ini Presiden turut menyatakan yang beliau tidak ingin menjadi presiden yang ditakuti, tetapi mahu menjadi presiden 'to be loved and respected' (disayangi dan dihornati). Sebab itu, Skuad Sayang semua ada tanda 'love', itulah kasih sayang.

"PM kita meminta kita merapatkan saf. Saf tidak akan rapat apabila hati itu tidak rapat. Hati kita tidak akan rapat jika kita jauh daripada Allah. Justeru, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, kita kena rapatkan hati dengan Allah," katanya dalam loghat Sabah.

Mohd Ariffin dalam pada itu berkata Sabah akan tetap setia dan berdiri teguh menyokong dan mendukung amanat Presiden UMNO.

"Kami akan pastikan UMNO akan 'tatap' (tetap) menjadi tunjang kekuatan Barisan Nasional di Sabah. Menerusi bimbingan barisan kepimpinan, Insya-Allah kita jamin, Sabah menjadi lebih kuat menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

-- BERNAMA