Isnin, Oktober 13, 2008

KERAJAAN RUGI RM800 JUTA BELI EUROCOPTER


Kapt (B) Datuk Zahar Hashim, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan yang juga Pengerusi Mentari Services Sdn. Bhd, yang merupakan wakil tempatan bagi syarikat Kelowna Flightcraft Limited, Canada kecewa kerana Letter of Intent (LOI) dikeluarkan kepada Eurocopter, dalam membekal 12 unit helikopter baru kepada ATM untuk menggantikan pesawat Nuri.

Dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 7 Oktober lalu, Kapt (B) Datuk Zahar menulis bahawa LOI itu dikeluarkan kepada Eurocopter dan ditandatangani oleh seorang pegawai paras menengah di Kementerian Pertahanan dua hari sebelum Najib berpindah ke Kementerian Kewangan.

Menurut seorang bekas KSU Kementerian Pertahanan dan seorang bekas Timbalan KSU Kementerian Kewangan, proses pengeluaran LOI kepada Eurocopter agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini.

Mereka berpendapat bahawa adalah menakjubkan LOI bagi kontrak yang bermilai melebihi RM2 bilion ditandatangani oleh seorang pegawai kerajaan bertaraf Setiausaha Bahagian dan bukan seorang yang bertaraf Timbalan KSU.

Surat yang disalinankan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) hairan kerana harga yang ditawarkan oleh Eurocpoter bagi 12 unit helicopter adalah RM2.317 bilion adalah harga yang paling tinggi sedangkan harga yang ditawarkan oleh syarikat sekutunya RM1.452 bilion. Perbezaan harga sebanyak RM865 juta.

Beliau mempertikaikan sama ada Kementerian Pertahanan yang dikendalikan oleh Najib benar-benar bersih dan amanah kerana pembelian Eurocopter berharga hampir RM200 juta satu unit tanpa menemui wakil penjual dan melakukan ujian penerbangan.

Beliau berharap penyakit yang ada di Kementerian Pertahanan tidak merebak pula ke Kementerian Kewangan dan mengakibatkan tsunami kewangan pula menimpa negara.

Beliau juga dalam suratnya itu melahirkan rasa kesal dalam suasana ekonomi dunia sangat muram, kerajaan memilih untuk membeli helicopter yang paling mahal harganya sedangkan ada alternatif yang boleh menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM865 juta.

SHAHRIR SAMAD KUDA HITAM TERBARU


Kenapa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diberi kemenangan percuma sebagai Timbalan Presiden UMNO? Kenapa Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Wira Ali Rustam perlu menyekat kemunculan Muhyiddin?

Tentu ada sebabnya. Ada yang berkata sewaktu Muhyiddin jadi MB Johor, Muhyiddin banyak jual tanah kepada orang Singapura. Orang Johor bimbang jika Muhyiddin jadi TPM, perkara yang sama akan berulang. Oleh itu orang Johor perlu menyekat kemaraan Muhyiddin.

Maka anak Johor yang standing dengan Muhyiddin perlu ditonjolkan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO yang baru. Ada usaha untuk meletakkan Shahrir bertanding di kerusi nombor dua itu.

Minggu ini Shahrir dijangka mendapat beberapa pencalonan dari Johor walaupun Shahrir sudah mengatakan bahawa beliau tidak berminat bertanding jawatan tersebut. Dalam tempoh 21 hari lagi, Shahrir perlu mencari 38 pencalonan untuk melayakkan beliau bertanding.

Pada tahun 2000, tanpa jawatan menteri, Shahrir menang ahli majlis tertinggi UMNO. Pada tahun 2004, beliau bertanding kerusi Naib Presiden tetapi tewas kepada Isa Samad, Ali Rustam dan Muhyiddin Yassin.

Dari segi senioriti, beliau bergiat cergas dalam UMNO sejak zaman Tun Razak lagi. Mula-mula sebagai setiausaha politik. Beliau bertanding pilihan raya buat kali pertama pada tahun 1978, sebaya dengan Muhyiddin. Shahrir pernah menjadi setiausaha parlimen dan timbalan menteri sebelum dinaikkan pangkat sebagai menteri pada tahun 1983 sebaya dengan Anwar Ibrahim.

Beliau lebih dahulu jadi menteri dari Muhyiddin. Pada tahun 1983, beliau sudah jadi menteri sedangkan Muhyiddin masih timbalan menteri. Beliau dipecat dari menteri pada tahun 1987 setelah team B yang disokonginya tewas.

Pada tahun 1988 beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil itu. Beliau menang dan bersara dari politik pada tahun 1990.

Pada tahun 2004, beliau kembali menjadi ahli parlimen Johor Bahru dan pada tahun 2004, beliau kembali ke kabinet selepas meninggalkan kabinet selama 20 tahun. Oleh itu pengalaman Shahrir standing dengan Muhyiddin. Bezanya perkhidmatan Muhyiddin dalam kerajaan tidak pernah putus sejak tahun 1986, dari MB Johor ke Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Jadi jika UMNO Johor mencalonkan Shahrir sebagai orang nombor dua, ia standing juga dengan Muhyiddin Yassin. Mungkin inilah kuda hitam yang dimaksudkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

PUTERI LANGGAR TRADISI?


Dari segi tradisi, apabila Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad berundur, yang patut jadi ketua ialah naibnya, Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Tetapi tradisi itu tidak semestinya jadi ikutan para perwakilan puteri.

Hal yang sama dialami oleh pemuda apabila tidak semestinya Khairy Jamaluddin yang menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. Sehingga ini orang lain mengatasi populariti Rosnah.

Datuk Shahaniza Shamsuddin mendapat 33 pencalonan mengatasi Rosnah yang mendapat 21 pencalonan. Tiga calon lain ialah Datik Ismalina Ismail yang mendapat 17 pencalonan, Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang mendapat 12 pencalonan dan Azlina Mehtab Mohd. Ishaq yang mendapat lima pencalonan.

Terpulanglah kepada perwakilan puteri untuk membuat keputusan. Dapatkah Rosnah mencatat sebagai puteri pertama dari Sabah menerajui pergerakan tersebut. Tunggulah kedatangan Mac depan.

SHAHRIZAT LANGGAR RAFIDAH?


Datuk Seri Shahrizat Jalil perlukan 26 pencalonan lagi untuk melayakkan beliau bertanding kerusi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Sehingga minggu ini, Tan Sri Rafidah Aziz sudah layak kerana mendapat 52 pencalonan.

Jika minggu depan, banyak Bahagian mencalonkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita, mungkin Rafidah terpaksa mengkaji semula pelan peralihan kuasa di antaranya dengan Shahrizat. Rafidah bercadang berundur pada bulan Jun 2009 dan beri laluan kepada Shahrizat sebagai Pemangku Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Perhimpunan agung UMNO sudah ditangguhkan kepada bulan Mac 2009. Antara Jun dan Mac bezanya tiga bulan sahaja. Lebih baik bahagian wanita yang belum bersidang mencalonkan terus Shahrizat daripada mengekalkan Rafidah.

Rafidah sejak tidak jadi menteri agak lantang mengkritik Pak Lah. Dalam mseyuarat majlis tertinggi pertama selepas pilihanraya umum Mac lalu, rafidah dikatakan menumbuk meja dalam mesyuarat itu yang katanya punca kekalahan BN di lima negeri adalah kerana Khairy.

Pak Lah yang terkejut dengan kritikan Rafidah telah menggugurkan Rafidah dari kabinetnya. Inilah kali pertama wakil wanita tidak ada dalam kabinet sedangkan Datuk Seri Azalina Othman Said dianggap bukan menteri dari pergerakan wanita.

AURA MUKHRIZ DAHULUI PENCALONAN


Aura Mukhriz, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mengulas pencalonan ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir. Mukhriz telah mendapat 40 pencalonan manakala ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin telah mendapat 19 pencalonan.Mukhriz sudah layak bertanding.

Banyak pencalonan yang di luar dugaan. Kota Belud yang diketuai oleh orang kuat Khairy Jamaluddin mencalonkan Mukhriz. Begitu juga Tuaran yang diketuai oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Rahman Dahlan yang mencalonkan Mukhriz.

Dua calon lagi, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo baru dapat 12 pencalonan dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin baru dapat 1 pencalonan.

Minggu kedua ini Khairy dijangka mendapat lessen untuk bertanding. Begitu juga Dr. Hir Toyo. Apabila Pak Lah tidak bertanding lagi, pemuda rasakan inilah masa terbaik untuk pilih Mukhriz kerana kata mereka, zaman Khairy sudah berlalu.

SATU ORANG BARU CUKUP KUOTA


Siapa yang layak menjadi Naib Presiden UMNO mula terjawab apabila 11 orang tokoh telah menerima pencalonan pada minggu pertama persidangan perwakilan UMNO bahagian. Sehingga ini Menteri Pelajaran, Datuk Seti Hishamuddin Tun Hussein sudah mendapat kuota yang cukup (19 pencalonan). Beliau telah mendapat 25 pencalonan.

Minggu ini beberapa calon seperti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal mendapat 14 pencalonan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi (13 pencalonan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin (9 pencalonan) dijangka mendapat kuota yang cukup.

Calon-calon lain ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (6 pencalonan), Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (5 pencalonan), bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad (4 pencalonan), bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan kassim (3 pencalonan), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan (2 pencalonan), bekas Menteri Sains, tekbnologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (2 pencalonan) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (1 pencalonan).

Kita tunggu keputusan minggu kedua nanti. Siapa lagi yang akan dicalonkan. Mungkin bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh akan dicalonkan juga untuk jawatan Naib Presiden UMNO.

MUHYIDDIN MENDAHULUI PENCALONAN


Minggu pertama menunjukkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului pencalonan Timbalan Presiden UMNO. Beliau mendapat 25 pencalonan manakala Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam mendapat tiga pencalonan dari Kota Kinabalu, Kota Melaka dan Parit Buntar.

Manakala Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib mendapat dua pencalonan dari Beruas dan Subang.

Muhyiddin memerlukan 15 pencalonan lagi untuk cukup kuota dan beliau dijangka mendapatnya pada minggu kedua ini. Ali dan Muhammad juga dijangka tidak ada masalah untuk dapatkan kuota kerana ada 163 Bahagian yang belum bersidang.
Sehingga ini ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan Tan Sri Mohamed menerima nasib yang sama dengan nasib Ku Li. Beliau belum mendapat sebarang pencalonan lagi.
Minggu ini juga akan menyaksikan calon baru Timbalan Presiden UMNO iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad. Beliau dijangka mendapat pencalonan minggu ini.
Pada mulanya beliau menolak tetapi apabila dipujuk oleh Tun Musa Hitam, beliau bersetuju berganding dengan Najib. Najib memang tidak mahu Muhyiddin kerana Muhyiddin boleh melanggar Najib pada tahun 2011. Oleh itu meletakkan Shahrir di tempat nombor dua lebih menyelamatkan kedudukan Najib.

CALON PRESIDEN UMNO: APA NAK JADI?


Apa nak jadi dengan UMNO? Orang yang bersih, yang tidak ada skandal seperti Tengku Razaleigh Hamzah,para perwakilan UMNO tolak. Sebaliknya orang yang ada skandal diterima pula sebagai calon Presiden UMNO.

Minggu pertama pencalonan telah menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat 28 pencalonan manakala Ku Li belum mendapat sebarang pencalonan. Ini menunjukkan para perwakilan memilih Najib kerana dia adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sedangkan Ku Li bukannya seorang menteri.

Setiap bahagian mengadakan undi angkat tangan untuk jawatan penting ini. Jadi macam mana Ku Li nak dapat sokongan kerana para perwakilan sudah tentu malu mata. Jadi terpaksa angkat tangan sokong Najib. Sepatutnya semua bahagian UMNO mengadakan undi sulit untuk pencalonan Presiden UMNO. Ini bukan nak pilih ketua darjah tapi Presiden UMNO yang automatiknya adalah Perdana Menteri Malaysia. Jadi undi angkat tangan bukanlah ukuran bahawa Najib itu kuat. Kalau kita kuat, apa nak ditakutkan kepada undi sulit?

Kalau inilah kehendak UMNO, hancurlah UMNO pada pilihan raya umum akan datang. Surat layang terbaru mengaitkan Najib dengan Altantunya sudah disebarkan, tetapi ia tidak mempengaruhi para perwakilan kerana mereka lebih nampak jawatan, projek, tender yang akan dapat jika mereka sokong Najib.

Lucu juga bila Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee meminta Najib menghapuskan kuota bila dia jadi Presiden UMNO nanti sedangkan Najib tidak pernah berjanji untuk menghapuskannya. Yang berjanji ialah Ku Li tetapi Bahagian Cheras tidak pula mencalonkan Ku Li.
Saya sudah tulis pada 29 September lalu bahawa jika Pak Lah tidak tanding, Ku Li sukar mendapat pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO. Nampaknya ramalan saya itu sudah jadi kenyataan. Bagaimanapun, kita tunggu keputusan pencalonan minggu ini kot kot Ku Li dapat pencalonan sulung.