Ahad, Oktober 04, 2009

MB NAFI RETAK DENGAN ISA


Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau merupakan antara orang pertama yang mencadangkan supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertanding di Bagan Pinang.

Sambil menafikan tuduhan pihak pembangkang kononnya berlaku keretakan hubungan antara beliau dan Mohd Isa, Mohamad berkata perkara itu sengaja diada-adakan pembangkang sebagai modal politik semata-mata.

"Saya yang suruh dia, ramai yang saksi masa di hospital lagi, masa jenazah Allahyarham (Azman) ada lagi dalam wad, saya cakap, Tan Sri (Isa) bersiap untuk bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Persatuan Penduduk, Nazir Masjid, Pengurusan Kuil, Tokong dan Gereja Serta Badan Bukan Kerajaan sekitar Port Dickson di Bagan Pinang hari ini.

Mohamad berkata pada ketika itu Mohd Isa tidak memberi sebarang jawapan kepadanya sebaliknya meminta untuk berfikir terlebih dahulu mengenai permintaan itu.

Bagaimanapun, demi untuk memantapkan Barisan Nasional (BN), Mohd Isa menerima permintaan itu dan sanggup berkorban kerana rakyat di Bagan Pinang amat memerlukan khidmat beliau.

Mohamad yang turut ditanya mengenai pendekatan agresif parti lawan kali ini sehingga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk pada hari penamaan calon semalam, berkata budaya samseng sudah menular dalam parti pembangkang.

Menurutnya, insiden ganas dan liar seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan beliau berharap penyokong parti pembangkang tidak akan bertindak keterlaluan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Pada pilihan raya kecil 11 Okt ini, BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa, 59, sebagai calonnya dan beliau ditentang Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, 45.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN Bagan Pinang Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Azman, yang mewakili BN, menang kerusi DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

KU NAN NAFI KELUAR SURAT


Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan supaya memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon BN pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kononnya ditandatangani beliau, adalah dipalsukan oleh pihak pembangkang.

Perbuatan itu merupakan taktik kotor terbaru pihak pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan antara Ibu Pejabat UMNO, ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dengan badan perhubungan negeri dan Umno bahagian Teluk Kemang khususnya, katanya.

Antara kandungan surat palsu itu, yang kini dimuatkan di laman web Umno-Online dituliskan seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Tengku Adnan memberitahu Bernama bahawa surat berunsur fitnah itu kini sudah diedarkan secara meluas di sekitar kawasan Bagan Pinang dalam usaha untuk memecah belahkan Umno yang dilihat begitu utuh di Bagan Pinang.

"Saya tidak pernah mengeluarkan surat itu, itu satu pembohongan, ia surat yang telah dipalsukan oleh pihak pembangkang untuk memecah belahkan Umno khususnya di Bagan Pinang. Ini adalah taktik kotor parti lawan yang terdesak untuk memecah kubu kuat Umno," jelasnya.

Katanya beliau menyedari mengenai surat palsu itu setelah diberitahu pekerja parti yang meninjau aktiviti pembangkang di Bagan Pinang.

"Saya diberitahu tadi oleh pekerja parti, mereka jumpa surat yang diedarkan di kawasan itu (Bagan Pinang), mereka tanya kepada saya adakah itu surat betul, saya jawab saya tak pernah keluarkan surat itu, tanda tangan itu palsu," katanya.

Katanya beliau meminta agar jentera parti memantau perkara itu dan kalau ia berlarutan dan terus dijadikan modal politik parti pembangkang, beliau bercadang untuk melaporkan kepada polis.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Okt ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, dari BN pada 4 Sept lalu.

KISAH SEORANG DATUK


Tengah hari tadi sekembalinya dari Bagan Pinang, saya dan boss serta suaminya singgah di rumah Datuk Maharajalela di Seremban. Datuk Maharajalela adalah kawan lama suami boss. Hubungan mereka tidak pernah putus sejak dari zaman bujang lagi.

Sesampainya di Seri Gombak, saya ajak boss dan suaminya singgah di rumah Datuk Mohd Jar. Rupa-rupanya boss saya pernah bekerja dengan Mohd. Jar atau Mohd.Jah. Dahulu dia pakai nama Mohd. Jah tetapi saya tak tahu apa sebabnya tiba-tiba dia tukar namanya kepada Mohd.Jar.

Sudah lima tahun saya tidak jumpa Mohd. Jar. Saya pun tak tahu kini dia sudah bergelar Datuk. Datuk dari Mindanao. Mohd. Jar kini kurus orangnya kerana sakit kencing manis. Saya sudah kenali Mohd. Jar sejak tahun 1987 lagi. Sudah 22 tahun saya mengenali beliau. Ketika itu saya bekerja dengan akhbar WATAN di Kuala Lumpur manakala beliau adalah stringer WATAN di Kemaman.

Saya banyak kenangan manis dengan beliau. Ketika beliau tinggal di Kemaman beliau menikahi seorang janda kaya.Lepas itu dia lama tak balik ke Kemaman. Saya yang jadi mangsa apabila isterinya datang ke rumah saya di Pasir Gajah mencarinya. Saya tak tahu nak jawab apa pasal saya sendiri pun tak tahu di mana beliau berada ketika itu.

Kelebihan Mohd. Jar bila kita temuinya di mana sahaja,bila kita tanya di mana letaknya pejabat baru, dia akan tunjuk bangunan yang ada berhampirannya sambil berkata, "Pejabat baru di bangunan itulah".

Kalau 10 tempat yang berlainan kita jumpanya, maka 10 bangunanlah dia akan tunjuk letaknya pejabatnya. Itulah kelebihan Mat Jar.

Saya sudah lama tak temuinya. Biasanya dia mudah di temui di parlimen setiap kali parlimen bersidang. Ada orang kata beliau sudah diblacklist tidak boleh masuk parlimen lagi. Wallahuaklam. Sebab itulah lama sungguh saya tak jumpanya.

Dia masih duduk di rumah lama di Seri Gombak, tetapi rumahnya sudah siap diubahsuai. Rumah baru lebih besar sesuai dengan kedudukannya sebagai Datuk Mohd. Jar. Kelebihan Mat Jar ialah isterinya waris semua pemimpin UMNO Terengganu.

Masa Tan Sri Dr. Yusof Noor jadi menteri dahulu, dia mendakwa bini mudanya yang berasal dari Besut adalah waris Dr. Yusof Noor. Bila Datuk Seri Idris Jusoh jadi Menteri Besar Terengganu, bini mudanya jadi waris Idris Jusoh pula.

Mat Jar bukan seorang siswazah. Tetapi kedua-dua isterinya adalah guru siswazah.Itulah kelebihan Mat Jar. Dia sukap cakap besar dari dahulu lagi. Bila saya nampak gambarnya terima pingat dari Sultan Sulu di dinding rumahnya, dia kata dia ada tiga pingat Datuk termasuk dari Negeri Sembilan dan Johor.

"Mana gambar terima pingat dari Sultan lain?" soal saya.
"Saya sakit lama masuk hospital jadi masa nak terima pingat di istana, saya tidak dapat hadir,"jawabnya selamba kerana saya sudah tahu perangainya yang suka cakap besar. Dia memang tak mahu orang lebih darinya.

Saya masih ingat suatu petang di parlimen selepas Dewan rakyat selesai bersidang dia berkata, "Lambat betul driver aku mari Zabidi".

Dalam hati, saya kagum kerana beliau ada driver.Ini sudah satu kemajuan.

"Mu mari naik apa Zabidi?" tanyanya.

"Naik kereta," jawab saya.

"Lecehlah driver aku. Lambat sokmo. Aku tumpangmu sorang sampai ke Chow Kit," kata beliau.
Saya tersenyum kerana saya sudah tahu Mat Jar kuat temberang. Mana dia mampu pakai driver ketika itu.

Satu kenangan lucu bersamanya dia anjurkan kursus kewartawanan di sebuah hotel di Kuala Lunpur.Beliau dapat tajaan dari seorang menteri.Bila sampai hari berkursus, menteri itu datang untuk merasmikan kursus itu tetapi menteri itu terkejut kerana hanya seorang sahaja peserta yang datang untuk mengikuti kursus tersebut. Alangkah malunya menteri itu dan terus balik tak jadi merasmikan kursus tersebut.

Banyak lagi kenangan saya dengan beliau yang tidak dapat didedahkan di sini. Beliau pernah ditahan reman ketika cari iklan untuk akhbar SEMASAnya di Kuala Terengganu di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar kerana kononnya dia minta iklan sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu tanpa keizinan istana.

Melihat kembali sejarah hidupnya, saya tak sangka hari ini Mat Jar sudah bergelar Datuk. Tahniah Datuk Mohd.Jar!