Ahad, Oktober 04, 2009

KISAH SEORANG DATUK


Tengah hari tadi sekembalinya dari Bagan Pinang, saya dan boss serta suaminya singgah di rumah Datuk Maharajalela di Seremban. Datuk Maharajalela adalah kawan lama suami boss. Hubungan mereka tidak pernah putus sejak dari zaman bujang lagi.

Sesampainya di Seri Gombak, saya ajak boss dan suaminya singgah di rumah Datuk Mohd Jar. Rupa-rupanya boss saya pernah bekerja dengan Mohd. Jar atau Mohd.Jah. Dahulu dia pakai nama Mohd. Jah tetapi saya tak tahu apa sebabnya tiba-tiba dia tukar namanya kepada Mohd.Jar.

Sudah lima tahun saya tidak jumpa Mohd. Jar. Saya pun tak tahu kini dia sudah bergelar Datuk. Datuk dari Mindanao. Mohd. Jar kini kurus orangnya kerana sakit kencing manis. Saya sudah kenali Mohd. Jar sejak tahun 1987 lagi. Sudah 22 tahun saya mengenali beliau. Ketika itu saya bekerja dengan akhbar WATAN di Kuala Lumpur manakala beliau adalah stringer WATAN di Kemaman.

Saya banyak kenangan manis dengan beliau. Ketika beliau tinggal di Kemaman beliau menikahi seorang janda kaya.Lepas itu dia lama tak balik ke Kemaman. Saya yang jadi mangsa apabila isterinya datang ke rumah saya di Pasir Gajah mencarinya. Saya tak tahu nak jawab apa pasal saya sendiri pun tak tahu di mana beliau berada ketika itu.

Kelebihan Mohd. Jar bila kita temuinya di mana sahaja,bila kita tanya di mana letaknya pejabat baru, dia akan tunjuk bangunan yang ada berhampirannya sambil berkata, "Pejabat baru di bangunan itulah".

Kalau 10 tempat yang berlainan kita jumpanya, maka 10 bangunanlah dia akan tunjuk letaknya pejabatnya. Itulah kelebihan Mat Jar.

Saya sudah lama tak temuinya. Biasanya dia mudah di temui di parlimen setiap kali parlimen bersidang. Ada orang kata beliau sudah diblacklist tidak boleh masuk parlimen lagi. Wallahuaklam. Sebab itulah lama sungguh saya tak jumpanya.

Dia masih duduk di rumah lama di Seri Gombak, tetapi rumahnya sudah siap diubahsuai. Rumah baru lebih besar sesuai dengan kedudukannya sebagai Datuk Mohd. Jar. Kelebihan Mat Jar ialah isterinya waris semua pemimpin UMNO Terengganu.

Masa Tan Sri Dr. Yusof Noor jadi menteri dahulu, dia mendakwa bini mudanya yang berasal dari Besut adalah waris Dr. Yusof Noor. Bila Datuk Seri Idris Jusoh jadi Menteri Besar Terengganu, bini mudanya jadi waris Idris Jusoh pula.

Mat Jar bukan seorang siswazah. Tetapi kedua-dua isterinya adalah guru siswazah.Itulah kelebihan Mat Jar. Dia sukap cakap besar dari dahulu lagi. Bila saya nampak gambarnya terima pingat dari Sultan Sulu di dinding rumahnya, dia kata dia ada tiga pingat Datuk termasuk dari Negeri Sembilan dan Johor.

"Mana gambar terima pingat dari Sultan lain?" soal saya.
"Saya sakit lama masuk hospital jadi masa nak terima pingat di istana, saya tidak dapat hadir,"jawabnya selamba kerana saya sudah tahu perangainya yang suka cakap besar. Dia memang tak mahu orang lebih darinya.

Saya masih ingat suatu petang di parlimen selepas Dewan rakyat selesai bersidang dia berkata, "Lambat betul driver aku mari Zabidi".

Dalam hati, saya kagum kerana beliau ada driver.Ini sudah satu kemajuan.

"Mu mari naik apa Zabidi?" tanyanya.

"Naik kereta," jawab saya.

"Lecehlah driver aku. Lambat sokmo. Aku tumpangmu sorang sampai ke Chow Kit," kata beliau.
Saya tersenyum kerana saya sudah tahu Mat Jar kuat temberang. Mana dia mampu pakai driver ketika itu.

Satu kenangan lucu bersamanya dia anjurkan kursus kewartawanan di sebuah hotel di Kuala Lunpur.Beliau dapat tajaan dari seorang menteri.Bila sampai hari berkursus, menteri itu datang untuk merasmikan kursus itu tetapi menteri itu terkejut kerana hanya seorang sahaja peserta yang datang untuk mengikuti kursus tersebut. Alangkah malunya menteri itu dan terus balik tak jadi merasmikan kursus tersebut.

Banyak lagi kenangan saya dengan beliau yang tidak dapat didedahkan di sini. Beliau pernah ditahan reman ketika cari iklan untuk akhbar SEMASAnya di Kuala Terengganu di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar kerana kononnya dia minta iklan sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu tanpa keizinan istana.

Melihat kembali sejarah hidupnya, saya tak sangka hari ini Mat Jar sudah bergelar Datuk. Tahniah Datuk Mohd.Jar!