Jumaat, Oktober 11, 2013
KHAIRY SERAH KEPADA PERWAKILAN
PETALING JAYA:Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan sayap itu Sabtu ini.
Beliau yang akan mempertahankan jawatannya, berkata anggota Umno perlu memilih berdasarkan kewibawaan dan kepimpinan di samping mereka yang mempunyai pengalaman.
“Kita serah kepada kebijaksanaan perwakilan untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Generasi Muda Perak bersama Menteri di Ipoh Ahad lalu.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluangnya untuk mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno ini.
“Semua orang boleh menjanjikan sesuatu tetapi nak melaksanakan itu amat susah sekali dan kita harus bersandarkan kepada ‘track record’ atau sejarah pencapaian seseorang calon,” katanya.
Beliau berkata semua anggota mahu melihat perubahan dalam Umno namun ia perlu dilakukan dengan keyakinan untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan perubahan itu.
Selain Khairy, empat lagi anggota Pemuda iaitu penolong setiausaha Pemuda cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Syed Harman, ketua pemuda Umno cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, ketua pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar dan bekas ketua pemuda Umno Bahagian Merbok Abdul Karim Ali turut menawar diri untuk bertanding jawatan itu.
Sementara itu dalam facebooknya, Khairy menulis bahawa beliau sekali lagi menawarkan diri untuk terus menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia, jawatan yang beliau sandang sejak tahun 2009.
“Selama empat tahun yang lepas, pelbagai program telah Pemuda Umno-BN laksanakan dengan tema mendekati orang muda melalui politik khidmat bakti. Program-program yang dijalankan oleh Pemuda Umno-BN di bawah kepimpinan saya menyentuh isu-isu yang menjadi kebimbangan anak muda negara terutamanya yang berbangsa Melayu,” jelasnya.
Katanya lagi, hasil kajian yang telah beliau buat dalam BN Youth Lab beberapa tahun dahulu, pendekatan Pemuda UMNO-BN telah diubah secara menyeluruh.
“Orang muda zaman sekarang tidak lagi tertarik dengan politk yang berteraskan retorik semata-mata, sebaliknya mereka mahu melihat apakah penyelesaian atau solutions yang dapat ditawarkan oleh parti-parti politik,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau telah membawa Pemuda Umno-BN ke arah solutions-based politics yang mementingkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mendesak kerajaan tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan sendiri.
“Contohnya, kita mendapati orang muda risau dengan masa depan kerjaya mereka dan juga kos sara hidup yang meningkat. Pemuda Umno-BN telah bertindak atas kebimbangan ini dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang sudah masuk tahun keempat penganjuran dan telah menjelajah ke seluruh negara,” katanya lagi.
Beliau menambah BN Youth Job Fair telah menerima hampir sejuta pengunjung sejak ia bermula dan telah membantu 140,000 orang – majoritinya anak muda – mendapat peluang pekerjaan.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Pemuda Umno-BN juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menangani masalah perumahan untuk orang muda melalui BNY HOPE yang akhirnya menjadi polisi baharu melalui PR1MA, Skim Rumah Pertamaku dan rumah transit untuk orang muda.
“Jelajah 1Malaysia atau JOM dibawah Pemuda Umno-BN pula telah berjaya membaik pulih ratusan rumah usang orang muda di seluruh negara,” jelasnya lagi.
Menurutnya lagi, Pemuda Umno-BN juga telah memperjuangkan isu gaji minimum bersama kesatuan-kesatuan sekerja sehingga ia menjadi realiti.
“Pada akhir tahun ini Akta Kebangkrapan akan dipinda hasil daripada usaha kami untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang dibelenggu status muflis,” katanya.
Beliau menambah banyak lagi program-program yang kami telah buat selama empat tahun lalu.
“ Pemberian biasiswa untuk anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah untuk ke IPTS juga telah kita berikan melalui BNYES, lesen motosikal diberi dengan harga yang terendah melalui (BL1M) yang masih dalam pelaksanaan, gerakan sukarelawan dibayai melalui Dana Belia 1Malaysia (kini diambil alih 1M4U), profesional muda dilibatkan dalam politik melalui BNYV dan isu keadilan sejagat sering dibangkit terutama isu Palestin,” katanya.
Beliau menambah ini tidak termasuk peranan Pemuda Umno-BN sebagai suara orang muda.
“Sebagai contoh, baru-baru ini kami membantah cadangan PTPTN untuk menyenaraikan para peminjam yang lewat membayar atau tidak membayar hutang di bawah senarai CCRIS sehinggakan cadangan itu tidak diteruskan,” katanya.
Beliau yang juga ahli parlimen Rembau berkata inilah antara pencapaian kami selama empat tahun yang lepas.
“Memang betul, corak kepimpinan Pemuda Umno sekarang berbeza dengan zaman dahulu. Namun saya berpendapat gaya lama di mana Pemuda sinonim sebagai kumpulan pendesak semata-mata sudah tidak relevan lagi,” katanya.
Katanya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan terus memimpin Pemuda Umno-BN supaya beliau dapat membawa lebih banyak lagi idea penyelesaian atau solutions untuk orang muda.
“Semua orang boleh bercakap, tetapi bukan semua yang boleh melaksanakan,”tegasnya lagi.
AKRAMSYAH LETAK JAWATAN JIKA MENANG KETUA PEMUDA
KELANA JAYA: Calon Ketua Pemuda Umno, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berjanji akan meletakkan jawatannya dengan sebuah badan korporat antarabangsa jika beliau menang pada 19 Oktober ini.
Katanya, beliau akan menjadi Ketua Pemuda Umno sepenuh masa dan beliau tidak berminat dengan sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Ketua Pemuda tak perlu jadi menteri kerana Ketua Pemuda perlu tumpu sepenuh masa kepada pemuda,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di sebuah kelab golf di sini hari ini.
Akhramsyah akan berhadapan dengan penyandang jawatan, Khairy Jamaluddin dan tiga calon lain, Syed Rosli Syed Harman,Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali pada 12 Oktober ini.
Katanya lagi, beliau sudah berbincang dengan keluarganya bahawa beliau akan memberi tumpuan kepada politik jika menang nanti.
“Inilah pengorbanan yang akan saya buat demi Pemuda Umno,” katanya.
Menyentuh tentang politik wang, Akramsyah meminta perwakilan pemuda yang disogok dengan wang supaya mengambil wang tetapi jangan mengundi calon yang memberi wang tersebut.
Katanya, walaupun perwakilan pemuda hampir 75,000 orang tetapi tidak mustahil politik wang masih berlaku dalam perhimpunan pemuda Umno pada 12 Oktober depan.
Katanya, wang yang datang belum pasti datangnya dari sumber yang halal.
“Wang itu mungkin disamun dari wang rakyat. Oleh itu ambil wang, tetapi undi jangan,” tegasnya.
Walaupun tak pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian, beliau tidak nampak ia menjadi penghalang untuk menerajui Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
“Saya diminta bertanding Ketua Pemuda Umno Bahagian Langkawi tetapi saya menolak kerana mahu fokus kepada pertandingan pemuda di peringkat pusat,” katanya.
Beliau menafikan didesak oleh mana-mana pihak untuk mencabar Khairy Jamaluddin.
Khairy menang pada tahun 2009 dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Khir Toyo.
“Saya akui lambat buat pengumuman kerana saya ingatkan ada tokoh lain yang mahu menentang Khairy,” ujarnya.
Beliau berkata Khairy gagal membawa Pemuda Umno seperti zaman kegemilangan pemuda dahulu.
Dakwanya, kegagalan pemuda Umno yang menyebabkan ada “vacuum” yang disi oleh NGO Melayu seperti Perkasa.
“Oleh itu saya mahu Pemuda Umno tetap lantang seperti dahulu memperjuangkan hak orang melayu dan orang Islam,” katanya lagi.
Ditanya adakah faktor “anak Tan Sri Sanusi Junid” akan menberi kelebihan kepadanya, Akramsyah berkata nama ayahnya itu memberi keyakinan kepadanya untuk berhadapan dengan para perwakilan.
“Namun demikian mereka menilai kemampuan saya secara peribadi dan bukannya kerana anak Sanusi,” katanya.
SYED ROSLI MASIH MENUNGGU EMPAT CALON BERSUMPAH
KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail,37,yang mencabar empat calon bersumpah laknat bahawa mereka tidak akan terlibat dalam politik wang masih menunggu mereka menyahut cabaran itu.
Katanya, cabaran saya sehingga 11 Oktober satu hari sebelum hari pengundian.
“Saya hairan kenapa mereka tidak berani bersumpah laknat seperti saya? Adakah mereka terlibat dalam politik wang?” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas di sini malam tadi.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Pusat Bandar Taman Cempaka (Bahagian Pandan) bertanding jawatan Ketua Pemuda menentang penyandang Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Abd. Karim Ali.
Beliau menggemparkan ahli-ahli Umno apabila bersumpah laknat tidak akan terlibat dalam politik wang selepas beliau menyerahkan borang pencalonan pada 21 September lalu di PWTC. Pada masa yang sama beliau mencabar semua calon Ketua Pemuda berbuat demikian juga.
Sehubungan dengan itu, Syed Rosli mendesak SPRM memantau semua calon yang bertanding dan para perwakilan supaya politik wang tidak berlaku kali ini.
Katanya, walaupun perwakilan pemuda sudah mencapai 70,000 orang tetapi mustahil politik wang dapat dihapuskan.
Beliau berikrar akan membersihkan Pemuda Umno dari gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika beliau menang nanti.
“Imej Umno tercemar kerana salah laku rasuah ini. Ramai profesional Melayu bukan tak sayang kepada Umno dan BN tetapi mereka tak sokong BN kerana mereka nampak parti kita terlalu kotor,” katanya.
Beliau mengakui kewibawaan Khairy sebagai Ketua Pemuda tetapi beliau tidak ada jati diri untuk memperjuangkan masalah orang Melayu dan orang Islam.
“Pemuda kelihatan lemah dan lesu. Orang macam Khairy tak layak jadi Ketua Pemuda kerana dia sendiri tak faham article 153 perlembagaan negara,” katanya.
Katanya, Umno perlu dibersihkan supaya golongan muda menyokong semula BN pada PRU ke 14.
Beliau menolak dakwaan bahawa beliau ditaja oleh mana-mana pihak kerana beliau hanya mahu membersihkan pemuda Umno dari politik wang.
Beliau hanya berkempen menemui rakan-rakan dan beliau yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta tak mampu menemui semua 70,000 perwakilan.
“Saya hanya berkempen melalui facebook dan saya sendiri tak mampu mengikuti road show ke seluruh negara,” katanya yang menganggap beliau sebagai calon marhaen.
PEMUDA PERLUKAN KETUA YANG SENIOR
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno memerlukan ketua yang “senior” untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14.
Menurut calon Ketua Pemuda, Abd Karim Ali, hanya pemimpin yang berumur dapat membawa pemuda ke arah yang lebih gemilang.
“Saya kini berumur 49 tahun. Tetapi oleh kerana jawatan ketua pemuda terbuka kepada semua calon tanpa had umur, maka hanya orang yang berumur yang dapat memimpin pemuda supaya lebih dihormati dan disegani,” kata beliau dalam wawancara khas dengan FMT di sini malam tadi.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok (2004-2008) di Kedah mengakui bahawa beliau adalah proksi Datuk Mukhriz Mahathir yang menentang Khairy Jamaluddin pada pemilihan Ketua Pemuda Umno pada tahun 2009.
Dalam pertandingan itu, Khairy mengalahkan Mukhriz dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertandingan tiga penjuru.
Manakala dalam pertandingan 12 Oktober ini, Khairy ditentang empat calon iaitu Abd Karim Ali, Akramsyah Sanusi, Izwan Ambak dan Syed Rosli Syed Harman Jamalulail.
Abd Karim berkata beliau akan berusaha mendapatkan undi daripada ketua-ketua pemuda yang menyokong Mukhriz pada tahun 2009 dahulu. Beliau terlibat secara langsung berkempen untuk Mukhriz dalam pertandingan Ketua Pemuda tersebut.
Ditanya kenapa beliau lambat membuat pengumuman, beliau berkata ini adalah kerana beliau mahu menunggu pengumuman Menteri Besar Kedah terlebih dahulu.
“Apabila Mukhriz mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden Umno, barulah saya buat keputusan untuk menentang Khairy,” katanya.
Beliau kesal kerana ada juga calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda tidak ada pengalaman memimpin pemuda Bahagian sebaliknya beliau dengan Khairy yang pernah menjadi ketua pemuda bahagian.
“Bagaimana nak memimpin pemuda di peringkat pusat sedangkan calon tidak ada pengalaman memimpin pemuda di peringkat Bahagian,” katanya.
Sebagai jurutera awam, beliau berikar akan membawa lebih ramai golongan proseional menyertai Umno apabila menang jadi Ketua Pemuda nanti.
“Khairy sudah diberi peluang sebagai Naib Ketua Pemuda (2004-2008) dan Ketua Pemuda (2008-2013). Ternyata beliau gagal menarik golongan muda mengundi BN. Maka pemuda perlukan ketua yang baru untuk menerajui perubahan ini,” tegasnya lagi.
Katanya, BN akan kalah lagi pada PRU ke 14 kalau Umno terus meminggirkan golongan profesional menyertai parti itu.
“Saya sendiri pernah disekat aktif dalam pemudaUmno. Pada tahun 2000, saya kalah bertanding Ketua Pemuda Bahagian Merbok kerana mereka tidak mahu jurutera jadi ketua pemuda tetapi di atas kegigihan saya, saya menang pada tahun 2004 mengalahkan peguam,” katanya.
Katanya, dengan pengalaman pernah kalah dan menang, beliau yakin mampu memimpin pemuda dengan lebih berkesan lagi.
“Sebagai jurutera yang pernah bertugas membina tembok di sempadan Malaysia-Thailand, saya sudah biasa bekerja di tempat kritikal yang ada pengganas komunis. Oleh itu pengalaman ini amat berharga buat saya untuk menerajui pemuda di peringkat nasional,” katanya.
Abd Karim yang juga Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Sin pada mulanya mahu bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Merbok menentang Datuk Tajul Urus Mat Zin, tetapi beliau tidak jadi bertanding kerana mahu beri tumpuan kepada pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Beliau bersetuju dengan cadangan calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak yang mahu Pemuda Umno menganjurkan debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda.
“Saya bersetuju dengan debat ini supaya perwakilan dapat menilai siapa yang paling layak memimpin pemuda,” katanya.
IRWAN AMBAK CADANGKAN DEBAT CALON KETUA PEMUDA
PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak Khalid Izhar mencadangkan supaya Pemuda Umno mengadakan majlis debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda sebelum 12 Oktober ini.
Katanya, melalui debat ini, 70,000 orang perwakilan dapat menilai siapa yang layak menjadi Ketua Pemuda.
“Jika kelima-lima calon ini diberi peluang berdebat, perwakilan dapat memilih Ketua Pemuda yang terbaik,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di pejabat FMT hari ini.
Irwan Ambak yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Setiawangsa, adalah di antara empat calon yang mencabar penyandang Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda selain daripada Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Abdul Karim Ali dalam pemilihan Umno nanti.
Beliau yang juga anak saudara Toh Puan Endon Mahmud (isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berkata hasratnya menentang Khairy yang juga suami sepupunya, Nori Abdullah adalah untuk meneruskan agenda pemuda. Ayahnya, Khalid Izhar adalah adik kepada Endon.
Irwan mengatakan bahawa pendiriannya untuk bertanding bagi jawatan itu telah mendapat restu dan sokongan akar umbi.
Menghormati
“Sebenarnya, saya telah pun memberitahu Khairy Jamaluddin seawal Julai yang saya ingin bertanding pada pemilihan kali ini kerana saya menghormati dia sebagai Ketua Pemuda yang sedia ada. Pada masa itu, dia berkata terima kasih dan harapkan satu pertandingan yang sihat. Lantas, saya keluarkan satu‘public statement’ di blog sebelum mana-mana calon lain tampil ke hadapan seperti Akhramsyah, Syed Rosli dan Abdul Karim,” katanya.
Menurutnya, sistem kewangan sedunia yang bertunjangkan Dolar Amerika Syarikat bakal mengundang risiko pada jangka masa panjang.
“Dalam konteks global, sistem kewangan sedunia bertunjangkan US Dollar dan sekiranya anda lihat analisis dari pakar ekonomi, terdapat masalah besar yang melanda sistem kewangan sedunia yang berpaksikan kepada ‘World Reserve Currency US Dollar’,” jelasnya.
Malah, yang menjadi persoalan kepada Irwan adalah, apakah langkah yang diambil kepimpinan negara untuk mengatasi masalah ini, sekiranya sistem kewangan Malaysia yang bergantung kepada Dolar Amerika Syarikat, gagal.
Jelasnya, agenda ini wajar dilihat penting selaras dengan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia.
“Apabila saya memikirkan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang memerintah Malaysia, saya lihat tiada pemimpin pun yang memikirkan mengenai kepentingan jangka panjang bagi negara dan masyarakat umum dari segi sistem kewangan kita. Itu tawaran saya untuk mengetuai Ketua Pemuda,” katanya.
Kabur
Beliau yang merupakan junior Akramsyah Sanusi di MRSM Balik Pulau berkata sehingga kini idea pembaharuan kepada organisasi pergerakan pemuda semakin kabur kerana laungan yang dikitar semula.
“Secara amnya, saya lihat tiada banyak perbezaan dari segi pentadbiran atau pembaharuan yang dibawa kepada pemuda, dari zaman dahulu hingga sekarang. Kalau saya boleh kata, fungsi pemuda sebagai pembawa idea atau pembaharuan bernas itu, semakin kabur dan semakin tidak kelihatan.
“Jadi, sekiranya pemimpin pemuda hanya melaungkan atau mengulang semula apa yang pemimpin negara katakan, maka tidak memberi kesan dan tiada sumbangan berdaya maju kepada negara. Saya tidak merasakan bahawa tak terdapat apa-apa impak yang memberi manfaat pada hala tuju Pemuda UMNO masa depan,” tegasnya ketika ditanya mengenai perubahan zaman kepimpinan pemuda.
Dengan slogan “Pemuda Berkat, Masyarakat Rahmat’, Irwan Ambak berkata, syariah Islam menekankan perjuangan yang membawa kebenaran kepada masyarakat bagi mendapatkan kerahmatan dari Allah dan keberkatan dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin.
MAZNAH TERKEJUT DAPAT UNDIAN TERTINGGI FMT
KUALA LUMPUR: Calon Ketua Wanita, Senator Datuk Maznah Mazlan terkejut kerana beliau menjadi pilihan pembaca FMT yang mengundinya sebagai Ketua Wanita pada 12 Oktober ini.
Menurutnya, itu pilihan pembaca FMT.
“Tetapi saya harap majoriti 80,000 perwakilan wanita akan mengundi saya,” katanya dalam satu wawancara khas dengan FMT di parlimen pagi ini.
Pada jam 1 tengahari tadi undian FMT menunjukkan bahawa beliau mendapat 258 undi (59 peratus) daripada 440 undi. Manakala Raihan Sulaiman Palestine mendapat 161 undi (37 peratus) dan Datuk Seri Shahrizat Jalil mendapat 21 undi (5 peratus).
“Saya ucapkan terima kasih kepada pembaca FMT yang mengundi saya. Saya harap momentum ini berkekalan pada hari pengundian sebenar oleh para perwakilan Wanita Umno,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Muazam Shah menafikan bahawa beliau adalah proksi bekas Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz.
“Saya tidak ditaja oleh sesiapa untuk menentang Shahrizat,” kata beliau yang akan berhadapan dengan Shahrizat Jalil dan Raihan Sulaiman Palestine pada 12 Oktober ini.
Beliau yang masih Exco Wanita Umno mengejutkan semua pihak kerana menghantar borang pencalonannya pada pukul 4.30 petang setengah jam sebelum penamaan calon ditutup pada 21 September lalu.
Beliau mendakwa sambutan akar umbi terhadap beliau amat menggalakkan walaupun Ketua Wanita Umno Negeri tidak menyokong beliau.
“Namun demikian hasrat saya menentang Shahrizat direstui oleh Badan Perhubungan Umno Pahang,” katanya.
Beliau berharap para perwakilan dapat menerimanya secara terbuka memandangkan penglibatannya yang lama dalam wanita Umno bermula dari cawangan, bahagian dan Exco Wanita Umno Malaysia serta sebagai pernah menjadi pembuat dasar ketika menjadi Exco Kerajaan Pahang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Beliau yang turut bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Rompin berkata jika beliau menang jawatan Ketua Wanita lusa, beliau akan memulihkan semula imej Wanita Umno yang dipersendakan oleh pihak pembangkang.
“Wanita Umno telah diperlekehkan, dipersendakan oleh para pengundi. Oleh itu saya mahu pulihkan semula imej pergerakan Wanita Umno yang sudah tercemar,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu menarik lebih ramai golongan profesional menyertai wanita Umno supaya BN terus kekal memerintah pada PRU ke 14.
SHAHRIZAT YAKIN KALAHKAN MAZNAH DAN RAIHAN
KUALA LUMPUR : Penyandang ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin dapat mengekalkan jawatannya dalam pemilihan lusa.
Menurut beliau, sambutan yang diberikan kepada beliau amat memberansangkan.
“Saya sudah turun ke akar umbi sejak memenangi jawatan ketua Wanita empat tahun lalu bermula dengan pilihanraya kecil Bukit Gantang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan Wanita di PWTC petang ini.
Justru itu, katanya, beliau yakin dapat mengalahkan dua calon lain iaitu Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman Palestine.
Namun beliau menyerahkan nasibnya kepada 110,765 orang perwakilan wanita dari 19,663 cawangan di seluruh negara.
Katanya lagi, sepanjang empat tahun memimpin pergerakan tersebut, telah menghadapi 16 pilihan raya kecil yang mana jentera Wanita adalah penggerak utama kepada kemenangan BN dalam pilihanraya kecil tersebut.
Beliau berkata jika beliau menang beliau akan bawa pergerakan itu ke tahap yang lebih gemilang.
“Dahulu Wanita adalah sampingan sahaja. Kini Wanita sudah masuk dalam arus perdana dan wanita tidak mahu jadi sayap lagi tapi jadi tulang belakang Umno,” kata Shahrizat.
RAIHAN KESAL CALON TIDAK BEBAS BERKEMPEN
PETALING JAYA: Calon Ketua Wanita Umno, Raihan Sulaiman Palestine kesal kerana calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno tidak bebas berkempen.
Katanya, dalam pilihanraya umum kita bebas berkempen tetapi dalam pemilihan Umno calon-calon tidak bebas berkempen untuk menemui 146,000 orang perwakilan.
“Sudah tentu penyandang jawatan yang jadi menteri dan timbalan menteri ada kelebihan menemui para perwakilan berselindung di sebalik program kementerian, “ katanya dalam wawancara khas dengan FMT di pejabat FMT semalam.
Katanya lagi, syarat yang dikenakan kepada calon-calon tidak adil, memberi peluang kepada calon untuk kalah sebelum berjuang.
Beliau yang juga anak bekas Ketua Penerangan Umno, Sulaiman Palestine akan mencabar Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Jalil.
Ayahandanya Sulaiman Palestine pernah mengejutkan ahli Umno apabila menentang Presiden Umno, Tun Hussein Onn pada tahun 1978. Hussein Onn menang dengan majoriti 648 undi di mana Perdana Menteri itu mendapat 898 undi dan Sulaiman mendapat 250 undi.
Fitrah
Raihan yang menggunakan slogan “Wanita wasatiyyah kembali kepada fitrah” berharap dalam waktu yang terhad mesej yang ingin disampaikan kepada semua perwakilan wanita dapat diterima mereka.
Beliau yang pernah menjadi pegawai khas kepada Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Said) hairan walaupun beliau bukan Exco Wanita Umno tetapi dijemput berceramah sepanjang pilihanraya umum lalu di Terengganu selama 13 hari.
“Saya ahli biasa wanita tetapi dijemput berceramah seolah-olah Wanita Umno tiada penceramah lain,” katanya.
Sejak Raihan mengumumkan bertanding Ketua Wanita, beliau menerima panggilan telefon dari banyak bahagian wanita yang memintanya supaya tidak menarik diri.
Katanya, ini menunjukkan ramai yang tidak puas hati dengan kepimpinan Shahrizat.
Katanya lagi, memanglah bukan Sharizat yang terlibat dengan skandal NFC tetapi skandal itu memberi liabiliti kepada Umno.
Terlambat
“Saya buat pengumuman bertanding selepas Datuk Seri Azalina Othman umum bertanding. Bila Datuk Maznah Mazlan buat keputusan di saat-saat akhir, saya kira beliau sudah terlambat,” katanya yang pernah tewas di tangan Azalina bagi pertandingan Ketua Puteri Umno pada tahun 2000.
Raihan tidak percaya nama bapanya, Sulaiman Palestine dapat menagih undi dari para perwakilan.
“Saya bukan menagih simpati kerana saya tak perlu undi simpati. Saya pun tak pernah bergantung kepada Umno untuk survive. Tetapi perwakilan hendaklah menilai manifesto saya untuk membawa Wanita Umno ke era yang lebih gemilang, “katanya lagi.
Walaupun menentang Shahrizat dalam pemilihan ini, Raihan bersetuju dengan pandangan Shahrizat bahawa suatu hari nanti wanita patut juga bertanding Naib Presiden Umno.
Trainer
“Kalau MCA boleh ada Naib Presiden wanita, Umno juga perlu buat transformasi ini dengan memilih wanita sebagai Naib Presiden Umno,” katanya.
Beliau yang merupakan seorang trainer adalah kolumnis dalam sebuah akhbar tabloid. Sebagai trainer beliau telah berjaya melatih seramai 14,000 orang beliau.
Beliau yang terlibat dalam 18 NGO seperti NGO yang mengurus anak yatim dan ibu tunggal berkata beliau bertanding untuk membawa wasatiyyah (kesederhanaan) dalam politik seperti yang dilaungkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya tak mampu membeli baju kurung putih dan kain merah untuk perwakilan wanita tetapi saya hanya mampu curahkan idea untuk memajukan wanita bila saya menang nanti,” katanya sambil tak pasti sama ada pemberian kain untuk perwakilan dianggap sebagai politik wang atau tidak.
JAMILAH AKAN FOKUS KEPADA EMPAT KUASA UTAMA
PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri Umno Malaysia, Jamilah Hanim Othman berkata beliau akan memberi fokus kepada empat kuasa utama rakyat iaitu politik, ekonomi, sosial dan teknologi yang mempengaruhi kehidupan sehari-hari mereka jika beliau menang pada 12 Oktober ini.
Katanya, beliau percaya sekiranya keadaan politik stabil maka ekonomi pun baik sekali gus masalah sosial akan berkurangan.
Katanya lagi, aspek sosial juga berhubung kait dengan teknologi kerana keadaan dunia tanpa sempadan kini telah mengakibatkan banyak berlaku masalah sosial.
“Jadi, sekiranya diberi mandat, saya akan memberi fokus kepada empat perkara ini selari dengan inisiatif dan aspirasi Umno dan kerajaan, “ katanya dalam wawancara dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan menambah bahawa beliau mempunyai bekalan pengalaman yang mencukupi memandangkan penyertaan beliau bersama Puteri sejak awal penubuhan pergerakan ini pada tahun 2001 serta pernah menjawat jawatan Ketua Puteri bahagian selama tiga penggal manakala sebagai Exco satu penggal.
“Oleh sebab keterujaan saya yang masih mahu bersama Puteri, saya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ini ekoran faktor umur saya yang kini mencecah 38 tahun yang hanya melayakkan saya memegang jawatan Ketua Puteri,” katanya lagi.
Beliau yang dianggap sebagai calon “underdog” akan berhadapan dengan ahi parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyanti Samsuddin pada pertandingan 12 Oktober ini.
Beliau yakin mereka akan membuat pilihan terbaik sekiranya mereka mengambil pertimbangan terhadap janji-janji beliau demi membawa Puteri dekat di hati pengundi wanita muda khususnya melalui beberapa program yang telah dijenamakan semula seperti program sukarelawan, Vogue (Volunteery Group For Everyone) khusus untuk menarik minat mereka yang tidak begitu gemar berpolitik.
Jamilah menggunakan tagline sendiri iaitu KID demi menunjukkan kesungguhan beliau untuk menggalas tanggungjawab berat ini .
“Saya berikrar sekiranya diberi mandat, saya akan memberikan fokus dan sepenuh perhatian serta komitmen kepada Puteri memandangkan saya tidak memegang apa-apa jawatan penting selain hanya bekerja sendiri,” tegasnya.
MAS ERMIEYATI MAHU UBAH PERSEPSI TERHADAP PUTERI
PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin mahu mengubah persepsi banyak pihak terhadap Puteri yang dilabelkan sebagai sosial dan seksi.
Katanya, perubahan ini perlu dilakukan segera agar kehadiran Puteri tidak disalahtafsir.
“Kita adalah antara sayap yang turut memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Kita perlu barisan yang paling mantap terutama membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Beliau yang juga ahli parlimen Masjid Tanah berkata jika beliau menang perkara penting akan beliau titik-beratkan ialah soal agama.
“Saya lihat ramai anak-anak muda mempunyai latar belakang agama yang cukup bagus tetapi di mana mereka ini? Malah ada di antara yang bergelar ustazah condong kepada kem pembangkang. Oleh itu, Puteri perlu memperbanyakkan program keagamaan bagi menarik minat mereka ini,” katanya.
Berhadapan
Beliau akan berhadapan satu lawan satu dengan Ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman pada 12 Oktober ini mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Mas Ermieyati menambah beliau membuat keputusan menawarkan diri setelah menilai dari segi pengalaman selama hampir 12 tahun menjadi ahli Puteri Umno bermula seawal 2001 iaitu sewaktu di zaman penaja lagi hingga dilantik sebagai Ketua Puteri negeri selama tiga penggal.
“Saya juga berkhidmat di bawah tiga ketua bermula dari zaman Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin,” jelasnya.
Katanya, setelah menilai komitmen dan sumbangan beliau kepada Puteri di peringkat bahagian, negeri dan pusat, beliau merasakan wajar menawarkan diri kerana Puteri Umno memerlukan pemimpin berpengalaman untuk meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu.
Beliau berkata sepanjang berkempen beliau lebih menonjolkan kelebihan yang ada pada beliau berdasarkan pengalaman selama 12 tahun sewaktu zaman penaja berkhidmat di bawah legasi tiga kepimpinan yang terdahulu.
“Saya juga memperlihatkan kepada perwakilan siapa diri saya sebenarnya sebagai seorang yang mudah didekati, mudah diajak berbincang dan ramah,” jelasnya.
Mendakwa
Beliau mendakwa ramai antara ahli akar umbi hingga kepada Ketua Puteri di peringkat bahagian mengenali beliau.
“Setakat ini, alhamdulillah penerimaan ahli akar umbi apabila saya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri mendapat sokongan padu,” katanya lagi,
Mas Ermieyati menegaskan misi beliau menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri pada pemilihan parti kali ini adalah untuk memperkasakan wanita muda iaitu Puteri Umno sebagai ejen survival perjuangan parti.
“ Visi saya pula ialah menyediakan dan menggerakkan wanita muda itu supaya lebih setia dan ikhlas dalam perjuangan parti di samping membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Selain itu, beliau ingin perjuangkan isu-isu yang dialami wanita muda dan pendekatan yang beliau lakukan ialah menggalakkan lebih ramai wanita muda menyertai Puteri.
“Saya akan fokuskan mereka di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) kerana mereka adalah pengundi muda untuk Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya lagi.
Langgan:
Catatan (Atom)