Jumaat, Oktober 11, 2013
PEMUDA PERLUKAN KETUA YANG SENIOR
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno memerlukan ketua yang “senior” untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14.
Menurut calon Ketua Pemuda, Abd Karim Ali, hanya pemimpin yang berumur dapat membawa pemuda ke arah yang lebih gemilang.
“Saya kini berumur 49 tahun. Tetapi oleh kerana jawatan ketua pemuda terbuka kepada semua calon tanpa had umur, maka hanya orang yang berumur yang dapat memimpin pemuda supaya lebih dihormati dan disegani,” kata beliau dalam wawancara khas dengan FMT di sini malam tadi.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok (2004-2008) di Kedah mengakui bahawa beliau adalah proksi Datuk Mukhriz Mahathir yang menentang Khairy Jamaluddin pada pemilihan Ketua Pemuda Umno pada tahun 2009.
Dalam pertandingan itu, Khairy mengalahkan Mukhriz dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertandingan tiga penjuru.
Manakala dalam pertandingan 12 Oktober ini, Khairy ditentang empat calon iaitu Abd Karim Ali, Akramsyah Sanusi, Izwan Ambak dan Syed Rosli Syed Harman Jamalulail.
Abd Karim berkata beliau akan berusaha mendapatkan undi daripada ketua-ketua pemuda yang menyokong Mukhriz pada tahun 2009 dahulu. Beliau terlibat secara langsung berkempen untuk Mukhriz dalam pertandingan Ketua Pemuda tersebut.
Ditanya kenapa beliau lambat membuat pengumuman, beliau berkata ini adalah kerana beliau mahu menunggu pengumuman Menteri Besar Kedah terlebih dahulu.
“Apabila Mukhriz mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden Umno, barulah saya buat keputusan untuk menentang Khairy,” katanya.
Beliau kesal kerana ada juga calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda tidak ada pengalaman memimpin pemuda Bahagian sebaliknya beliau dengan Khairy yang pernah menjadi ketua pemuda bahagian.
“Bagaimana nak memimpin pemuda di peringkat pusat sedangkan calon tidak ada pengalaman memimpin pemuda di peringkat Bahagian,” katanya.
Sebagai jurutera awam, beliau berikar akan membawa lebih ramai golongan proseional menyertai Umno apabila menang jadi Ketua Pemuda nanti.
“Khairy sudah diberi peluang sebagai Naib Ketua Pemuda (2004-2008) dan Ketua Pemuda (2008-2013). Ternyata beliau gagal menarik golongan muda mengundi BN. Maka pemuda perlukan ketua yang baru untuk menerajui perubahan ini,” tegasnya lagi.
Katanya, BN akan kalah lagi pada PRU ke 14 kalau Umno terus meminggirkan golongan profesional menyertai parti itu.
“Saya sendiri pernah disekat aktif dalam pemudaUmno. Pada tahun 2000, saya kalah bertanding Ketua Pemuda Bahagian Merbok kerana mereka tidak mahu jurutera jadi ketua pemuda tetapi di atas kegigihan saya, saya menang pada tahun 2004 mengalahkan peguam,” katanya.
Katanya, dengan pengalaman pernah kalah dan menang, beliau yakin mampu memimpin pemuda dengan lebih berkesan lagi.
“Sebagai jurutera yang pernah bertugas membina tembok di sempadan Malaysia-Thailand, saya sudah biasa bekerja di tempat kritikal yang ada pengganas komunis. Oleh itu pengalaman ini amat berharga buat saya untuk menerajui pemuda di peringkat nasional,” katanya.
Abd Karim yang juga Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Sin pada mulanya mahu bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Merbok menentang Datuk Tajul Urus Mat Zin, tetapi beliau tidak jadi bertanding kerana mahu beri tumpuan kepada pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Beliau bersetuju dengan cadangan calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak yang mahu Pemuda Umno menganjurkan debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda.
“Saya bersetuju dengan debat ini supaya perwakilan dapat menilai siapa yang paling layak memimpin pemuda,” katanya.