Jumaat, Oktober 11, 2013
IRWAN AMBAK CADANGKAN DEBAT CALON KETUA PEMUDA
PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak Khalid Izhar mencadangkan supaya Pemuda Umno mengadakan majlis debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda sebelum 12 Oktober ini.
Katanya, melalui debat ini, 70,000 orang perwakilan dapat menilai siapa yang layak menjadi Ketua Pemuda.
“Jika kelima-lima calon ini diberi peluang berdebat, perwakilan dapat memilih Ketua Pemuda yang terbaik,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di pejabat FMT hari ini.
Irwan Ambak yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Setiawangsa, adalah di antara empat calon yang mencabar penyandang Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda selain daripada Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Abdul Karim Ali dalam pemilihan Umno nanti.
Beliau yang juga anak saudara Toh Puan Endon Mahmud (isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berkata hasratnya menentang Khairy yang juga suami sepupunya, Nori Abdullah adalah untuk meneruskan agenda pemuda. Ayahnya, Khalid Izhar adalah adik kepada Endon.
Irwan mengatakan bahawa pendiriannya untuk bertanding bagi jawatan itu telah mendapat restu dan sokongan akar umbi.
Menghormati
“Sebenarnya, saya telah pun memberitahu Khairy Jamaluddin seawal Julai yang saya ingin bertanding pada pemilihan kali ini kerana saya menghormati dia sebagai Ketua Pemuda yang sedia ada. Pada masa itu, dia berkata terima kasih dan harapkan satu pertandingan yang sihat. Lantas, saya keluarkan satu‘public statement’ di blog sebelum mana-mana calon lain tampil ke hadapan seperti Akhramsyah, Syed Rosli dan Abdul Karim,” katanya.
Menurutnya, sistem kewangan sedunia yang bertunjangkan Dolar Amerika Syarikat bakal mengundang risiko pada jangka masa panjang.
“Dalam konteks global, sistem kewangan sedunia bertunjangkan US Dollar dan sekiranya anda lihat analisis dari pakar ekonomi, terdapat masalah besar yang melanda sistem kewangan sedunia yang berpaksikan kepada ‘World Reserve Currency US Dollar’,” jelasnya.
Malah, yang menjadi persoalan kepada Irwan adalah, apakah langkah yang diambil kepimpinan negara untuk mengatasi masalah ini, sekiranya sistem kewangan Malaysia yang bergantung kepada Dolar Amerika Syarikat, gagal.
Jelasnya, agenda ini wajar dilihat penting selaras dengan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia.
“Apabila saya memikirkan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang memerintah Malaysia, saya lihat tiada pemimpin pun yang memikirkan mengenai kepentingan jangka panjang bagi negara dan masyarakat umum dari segi sistem kewangan kita. Itu tawaran saya untuk mengetuai Ketua Pemuda,” katanya.
Kabur
Beliau yang merupakan junior Akramsyah Sanusi di MRSM Balik Pulau berkata sehingga kini idea pembaharuan kepada organisasi pergerakan pemuda semakin kabur kerana laungan yang dikitar semula.
“Secara amnya, saya lihat tiada banyak perbezaan dari segi pentadbiran atau pembaharuan yang dibawa kepada pemuda, dari zaman dahulu hingga sekarang. Kalau saya boleh kata, fungsi pemuda sebagai pembawa idea atau pembaharuan bernas itu, semakin kabur dan semakin tidak kelihatan.
“Jadi, sekiranya pemimpin pemuda hanya melaungkan atau mengulang semula apa yang pemimpin negara katakan, maka tidak memberi kesan dan tiada sumbangan berdaya maju kepada negara. Saya tidak merasakan bahawa tak terdapat apa-apa impak yang memberi manfaat pada hala tuju Pemuda UMNO masa depan,” tegasnya ketika ditanya mengenai perubahan zaman kepimpinan pemuda.
Dengan slogan “Pemuda Berkat, Masyarakat Rahmat’, Irwan Ambak berkata, syariah Islam menekankan perjuangan yang membawa kebenaran kepada masyarakat bagi mendapatkan kerahmatan dari Allah dan keberkatan dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin.