Jumaat, Oktober 11, 2013
RAIHAN KESAL CALON TIDAK BEBAS BERKEMPEN
PETALING JAYA: Calon Ketua Wanita Umno, Raihan Sulaiman Palestine kesal kerana calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno tidak bebas berkempen.
Katanya, dalam pilihanraya umum kita bebas berkempen tetapi dalam pemilihan Umno calon-calon tidak bebas berkempen untuk menemui 146,000 orang perwakilan.
“Sudah tentu penyandang jawatan yang jadi menteri dan timbalan menteri ada kelebihan menemui para perwakilan berselindung di sebalik program kementerian, “ katanya dalam wawancara khas dengan FMT di pejabat FMT semalam.
Katanya lagi, syarat yang dikenakan kepada calon-calon tidak adil, memberi peluang kepada calon untuk kalah sebelum berjuang.
Beliau yang juga anak bekas Ketua Penerangan Umno, Sulaiman Palestine akan mencabar Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Jalil.
Ayahandanya Sulaiman Palestine pernah mengejutkan ahli Umno apabila menentang Presiden Umno, Tun Hussein Onn pada tahun 1978. Hussein Onn menang dengan majoriti 648 undi di mana Perdana Menteri itu mendapat 898 undi dan Sulaiman mendapat 250 undi.
Fitrah
Raihan yang menggunakan slogan “Wanita wasatiyyah kembali kepada fitrah” berharap dalam waktu yang terhad mesej yang ingin disampaikan kepada semua perwakilan wanita dapat diterima mereka.
Beliau yang pernah menjadi pegawai khas kepada Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Said) hairan walaupun beliau bukan Exco Wanita Umno tetapi dijemput berceramah sepanjang pilihanraya umum lalu di Terengganu selama 13 hari.
“Saya ahli biasa wanita tetapi dijemput berceramah seolah-olah Wanita Umno tiada penceramah lain,” katanya.
Sejak Raihan mengumumkan bertanding Ketua Wanita, beliau menerima panggilan telefon dari banyak bahagian wanita yang memintanya supaya tidak menarik diri.
Katanya, ini menunjukkan ramai yang tidak puas hati dengan kepimpinan Shahrizat.
Katanya lagi, memanglah bukan Sharizat yang terlibat dengan skandal NFC tetapi skandal itu memberi liabiliti kepada Umno.
Terlambat
“Saya buat pengumuman bertanding selepas Datuk Seri Azalina Othman umum bertanding. Bila Datuk Maznah Mazlan buat keputusan di saat-saat akhir, saya kira beliau sudah terlambat,” katanya yang pernah tewas di tangan Azalina bagi pertandingan Ketua Puteri Umno pada tahun 2000.
Raihan tidak percaya nama bapanya, Sulaiman Palestine dapat menagih undi dari para perwakilan.
“Saya bukan menagih simpati kerana saya tak perlu undi simpati. Saya pun tak pernah bergantung kepada Umno untuk survive. Tetapi perwakilan hendaklah menilai manifesto saya untuk membawa Wanita Umno ke era yang lebih gemilang, “katanya lagi.
Walaupun menentang Shahrizat dalam pemilihan ini, Raihan bersetuju dengan pandangan Shahrizat bahawa suatu hari nanti wanita patut juga bertanding Naib Presiden Umno.
Trainer
“Kalau MCA boleh ada Naib Presiden wanita, Umno juga perlu buat transformasi ini dengan memilih wanita sebagai Naib Presiden Umno,” katanya.
Beliau yang merupakan seorang trainer adalah kolumnis dalam sebuah akhbar tabloid. Sebagai trainer beliau telah berjaya melatih seramai 14,000 orang beliau.
Beliau yang terlibat dalam 18 NGO seperti NGO yang mengurus anak yatim dan ibu tunggal berkata beliau bertanding untuk membawa wasatiyyah (kesederhanaan) dalam politik seperti yang dilaungkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya tak mampu membeli baju kurung putih dan kain merah untuk perwakilan wanita tetapi saya hanya mampu curahkan idea untuk memajukan wanita bila saya menang nanti,” katanya sambil tak pasti sama ada pemberian kain untuk perwakilan dianggap sebagai politik wang atau tidak.