Selasa, November 04, 2008

SELAMATKAH NASIR DI KUALA NERUS?

Seorang lagi hulubalang Mat Said dijangka tumbang!!!” Mat Said akan melenting lagi. Mat Said akan memecat Exco lagi dan sesiapa sahaja yang ada kepentingan di bawah bidang kuasanya. Itu cakap-cakap umum berdasarkan perkiraan di atas kertas dan cakap-cakap sentimen keyakinan kem yang bertanding.

YB Dato’ Nasir Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, berhadapan laluan sukar. Jauh lebih sukar sewaktu beliau bersaing bersama Datuk Rahin Said dalam pemilihan 2004 lalu. Saingan ketika itu agak seimbang, walaupun ramai yang meramalkan Rahin boleh menang mudah, yang berlaku Nasir berjaya menerajui Bahagian Kuala Nerus walaupun dengan majoriti tipis 10 undi.
Kali ini Nasir berhadapan dengan Che Azmi Abd Rahman, Timbalan Ketua Bahagian yang pernah menjadi regunya pada pemilihan 2004 lalu di samping turut menghadapi Basir Ismail, Naib Ketua Bahagian. Azmi dan Basir mempunyai satu tekad. Bekerja untuk menumbangkan Nasir di Kuala Nerus.

Sama ada Azmi dan Basir akan bersaing dalam pertembungan tiga penjuru atau kemudiannya mereka bergabung menjadi dua penjuru, Nasir tetap akan bersendirian.Nasir yang diuar-uarkan akan dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, serta dengan rasmi telah menawarkan diri bertanding jawatan MKT itu, kali ini hanya bergandingan bersama Haji Ismail Nik, Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Tunggal untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua.

Manakala Azmi dan Basir menyediakan jalur kepimpinan yang didokong setiap seorang dengan seorang Exco Kerajaan negeri. Di belakang Azmi ada adiknya YB Ahmad Razif (ADUN Seberang Takir / Exco Kerajaan negeri), manakala di belakang Basir ada YB Datuk Rahin Said (ADUN Teluk Pasu / Exco Kerajaan negeri) dan ada juga YB Ustaz Ramli Noh (ADUN Tepuh).Nasir hampir lemas.

Amaran MB supaya Ketua Bahagian tidak dicabar dan amaran MB kepada Exco menjadi pelampung utama Nasir bagi menyelamatkan dirinya agar tidak terus tenggelam begitu saja. Nasir amat mengharapkan tindakan memecat Exco yang ‘keras kepala’ dan bersubahat dengan pencabar Ketua Bahagian dapat dilaksanakan oleh Mat Said sesegera mungkin, paling tidak sebelum persidangan Bahagian Kuala Nerus 8 November ini.

Ini penting kerana kalau benar berlaku tiga pemecatan (Yahya Khatib dan dua Exco yang bersekongkol dengan calon yang menyanggah Ketua Bahagian), dua Exco di Bahagian Kuala Nerus akan turut kecut perut. Nasir berkeadaan sedikit selamat, sekiranya Rahin dan Razif dipaksa terjun dulu ke dalam sungai Nerus sebelum rakit mereka merempuh rakit Nasir dan menenggelamkannya.

Tumbangnya Azmi atau/dan Basir 8 November ini tidak meninggalkan impak yang besar, tetapi tumbangnya Nasir akan bertambah parahnya luka MB, selain perihnya nyilu keaiban Nasir. Nasir perlu menang seperti menangnya Dato’ Mat Jidin di Setiu, walaupun secara bersendirian terpaksa berhadapan dengan 4 sekawan.

Nasir ada resepi tersendiri untuk menutup maruah dirinya yang cuba diaibkan itu.Berjayakah Nasir atau apakah Nasir juga akan menerima nasib seperti Man Bakar? Mungkinkah Rahin dan Razif akan turut mengikuti jejak Yahya Khatib Mohamad? Kuala Nerus yang menentukan dan Mat Said yang akan melaksana. Marang dan Kuala Nerus mungkin memiliki aura dan sentimen politik yang sama tetapi tidak serupa.

(dipetik dari www.jaranganakmelayu.blogspot.com)

DILEMMA SHAHRIZAT


Shahrizat Abdul Jalil kini dalam dilemma. Dia kini mendapat 66 pencalonan untuk mencabar ketua wanita, Rafidah Aziz. Sedangkan sebelum ini Rafidah telah mengatakan bahawa beliau akan serahkan jawatannya pada bulan Jun 2009.

Perhimpunan agung UMNO diadakan dari 24-28 Mac 2009. Maknanya jika Shahrizat tidak langgar Rafidah, Shahrizat akan jadi pemangku ketua wanita untuk tiga tahun manakala kerusi naib ketua akan kosong sepanjang tiga tahun tersebut. Alangkah ruginya pergerakan wanita UMNO tiga tahun tanpa naib ketua.

Sebaliknya jika Shahrizat lawan Rafidah, ada dua kemungkinan berlaku. Pertama, jika Shahrizat menang, dia selamat dan Rafidah bersara dari politik.Tetapi jika dia kalah, Shahrizat akan kempunan jadi ketua wanita kerana Kamelia Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebagai naib ketua akan menjadi pemangku ketua wanita yang baru pada Jun ini.

Oleh itu Shahrizat perlu solat istiqarah. Biar dapat petunjuk dari Allah supaya keputusan menentang Rafidah ini mendapat restu dari Allah. Peluang begini datang sekali dalam seumur hidup. Jika dia tak langgar Rafidah, mungkin peluang seperti ini tidak datang lagi. Oleh itu menghadaplah Allah untuk mendapat jawapan selepas 9 November ini.