Khamis, Disember 21, 2017

FELDA MAHU DAPATKAN SEMULA HAK KE ATAS TANAH DI JALAN SEMARAK

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- FELDA bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di sini susulan laporan yang menimbulkan tanda tanya berhubung urusan pindah milik tanah berkenaan.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata selain laporan polis yang dibuat pada 12 Dis lepas, tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Beliau berkata Unit Kawal Selia Jabatan Perdana Menteri akan melantik juruaudit bebas bagi memulakan siasatan dalaman berhubung keseluruhan isu itu.

"Kita jangkakan siasatan akan dimulakan seawal Januari depan," katanya dalam sidang berita tergempar di ibu pejabat FELDA hari ini, yang turut di hadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sidang berita itu diadakan berikutan pendedahan media yang melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang dicurigai.

Ditanya mengenai intipati laporan polis itu, Shahrir berkata syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah-tanah itu telah dinamakan, namun nama bekas pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad tidak disebut.

"Kita buat laporan polis kerana bimbang ada kes penipuan dalam hal tanah ini," katanya sambil menyifatkan perjanjian jual beli tanah itu pelik kerana ia melibatkan tanah institusi kerajaan yang seolah-olah ditukar milik dengan begitu mudah.

Shahrir berkata secara kebiasaannya, projek pembangunan membabitkan tanah milik kerajaan dan agensi kerajaan akan melibatkan hak milik strata sahaja bukannya penukaran hak milik tanah secara keseluruhan.

Beliau mendedahkan selaku pemegang PA (surat kuasa wakil) tanah, syarikat berkenaan didapati menjual tanah kepada pihak mereka sendiri.

"Sebagai pemegang PA, syarikat itu jual tanah kepada diri sendiri dengan jumlah nilai yang disebut itu, namun tiada wakil FELDA yang tanda tangan (dokumen penjualan). Mereka jual kepada pihak dia sendiri," katanya.

Shahrir berkata keseluruhan tindakan sejak Januari hingga April dilakukan FELDA setelah mendapat nasihat Jabatan Peguam Negara, selain ia dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari.

Beliau mendedahkan tanah-tanah itu merangkumi empat perjanjian jual beli dengan nilai keseluruhan RM269.78 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak, yang dibuat sejak 2015 hingga 2016.

Katanya sehingga kini tiada sebarang pembayaran diterima daripada syarikat tersebut malah Lembaga Pengarah FELDA juga tidak dimaklumkan mengenai tindakan pindah milik tersebut.

"Dengar juta-juta, tapi satu sen pun tidak dibayar. Langsung tidak dibayar," katanya sambil memberitahu syarikat itu telah dipanggil sebaik sahaja kes itu diketahui pihak pengurusan dan pentadbiran.

Ditanya sama ada FELDA sanggup menerima wang hasil jualan tanah itu jika gagal dalam proses rundingan dengan syarikat berkenaan, Shahrir berkata pihaknya langsung tidak berminat dengan wang sebaliknya mahu memberi keutamaan kepada pemilikan semula tanah itu.

-- BERNAMA

MUTALIF NAFI BUKAN ANAK TEMPATAN



oleh ABDULLAH KARIM





PETALING JAYA: Naib Ketua Umno Bahagian PJS, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim  (tiga dari kiri) berkata beliau sebenarnya membesar di Taman Medan. Adalah tidak benar sama sekali sesetengah pihak di kawasan Taman Medan mengatakan beliau bukan anak tempatan dan tidak layak dipertimbangkan untuk calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.




Beliau menambah sebenarnya banyak orang tidak tahu asal usul keluarganya dan dengan sewenangnya membuat cerita beliau bukanlah anak tempatan dan tidak seharusnya beliau diberi tempat pada pemilihan calon Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.




“Saya ada lima adik beradik dan saya anak ketiga dalam keluarga saya. Abang saya Datuk Azeez (Abdul Azeez Abdul Rahim) antara orang lama di Kampung Medan dan sama-sama duduk rumah setinggan dengan beliau,” katanya.




Beliau yang juga Penolong Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Taman Medan berkata beliau sebenarnya tidak kisah siapa yang akan diletakkan di DUN Taman Medan pada PRU 14 nanti.




Sebaliknya beliau serta dua lagi rakannya iaitu Pemangku Ketua, Jamaludin Razali dan Ketua Pemuda, Haji Riduan Mahidin telah bersepakat akan memberi kerjasama antara satu sama lain jika salah seorang daripada nama ini dipilih sebagai calon di Taman Medan.




“Kami bertiga sudah berikrar akan bantu membantu andai kata salah seorang daripada kami jadi calon. Jadi tak ada masalah andai kata Jamaludin naik ataupun Riduan naik, yang pasti kami akan bantu untuk pastikan calon ini menang,” katanya.




Datuk Mutalif turut membetulkan fakta calon yang mengatakan tujuh nama telah diserahkan kepada pucuk pimpinan Umno negeri. Sebaliknya hanya tiga nama sahaja yang telahpun berada di pejabat Tan Sri Noh Omar (Pengerusi Umno Selangor).




Beliau berkata terserahlah kepada kebijaksanaan Tan Sri Noh untuk memilih calon di Taman Medan ini. Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti negeri dan Pusat untuk menentukan siapa dikalangan ketiga-tiga ini akan dipilih sebagai calon.




Mengenai porla pengundi di kawasan ini, beliau menjelaskan penduduk di Taman Medan sudah berpecah kepada dua kumpulan. Satu yang menyokong Umno dan satu lagi pembangkang.




Datuk Mutalif berkata untuk Umno beroleh kemenangan, para pengundi kaum India mesti didekati. Ini ada kerana kaum ini kebanyakkannya menyokong pari Umno sejak dulu hinggalah sekarang.




Beliau mengakui akan cuba mendekati kaum India dan memberi kefahaman betapa pentingnya kaum tersebut memilih calon Umno pada PRU akan datang supaya nasib masa depan kaum mereka terbela.




“Secara jujur saya boleh cakap bahasa Tamil. Orang India ni mereka lebih senang dan mudah simpati kalau kita cakap sama bahasa dengan mereka. Sebab itu saya katakan tadi pengundi India akan kembali kepada kita jika kita yakinkan mereka bahawa parti BN ataupun Umno boleh membela nasib mereka,” katanya.




Datuk Mutalif seterusnya menasihatkan kepada semua pengundi di DUN Taman Medan supaya kembali memilih calon Umno sekiranya nasib mereka hendak dibela.




Sejak wakil rakyat pembangkang menang dua penggal lepas, tidak banyak pembanguan di bawa di DUN tersebut. Sebaliknya Umno telah memainkan peranan besar sehinggakan tol di Kampung Datuk Harun telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi secara percuma kepada pengguna jalan raya.




“Inilah hasil kerja yang telah dibuat oleh pemimpin Umno. Umno sentiasa ke depan memikirkan keperluan penduduk setempat. Jadi adalah elok kalau DUN Medan ini kita kembalikan semula kepada Umno sebab ternyata parti Umno banyak ambil berat penduduk di Taman Medan,” katanya.