KAJANG: Genap tujuh bulan lalu, Fasa Pertama Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) iaitu dari Sungai Buloh ke Semantan dilancarkan di Stesen Kwasa Damansara.
Kelmarin 17 Julai, sejarah tercipta apabila projek infra-rakyat bertaraf dunia Fasa Kedua SBK iaitu dari Semantan ke Kajang yang melengkapkan laluan itu menjadi realiti.
Komitmen itu direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mengungkapkan janji untuk membina jaringan sistem pengangkutan awam bersepadu tujuh tahun lalu selepas mengambil alih pentadbiran negara yang telah dikotakan kepada seluruh rakyat.
Lebih membanggakan, projek mega itu mampu disiapkan dua minggu lebih awal, malah lebih rendah daripada bajet yang telah dibentangkan kerajaan sebanyak RM2 bilion daripada sasaran kos asal berjumlah RM23 bilion.
Bermula Isnin lalu tepat pukul 4 petang, kesemua 31 stesen bagi sistem rel yang paling moden dan terbaharu di dunia itu akan membuka pintu kepada seluruh rakyat dan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.
Kira-kira 25,000 menjadi saksi pelancaran projek ‘dekat di hati’ Perdana Menteri itu iaitu satu lagi lonjakan berganda yang pastinya akan membawa perubahan kepada kehidupan warga kota dan keseluruhan rakyat Malaysia termasuk pelancong.
Laluan MRT SBK sepanjang 51 kilometer itu merangkumi 31 stesen bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia melibatkan 19 stesen dalam Fasa Kedua yang mana tujuh terletak di bawah tanah.
Kesemua 19 stesen berkenaan adalah Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.
Setiap tren SBK mempunyai empat gerabak membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan seramai 400,000 orang.
Dianggarkan 160,000 kenderaan dijangka tidak lagi berada di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan 752,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun yang akan memberi impak positif kepada alam sekitar.
Tren ini akan bergerak pada frekuensi 3.5 minit pada waktu puncak.
Tempoh perjalanan pastinya lebih menjimatkan berbanding penggunaan bas dari Sungai Buloh ke Kajang yang akan memakan masa dua jam setengah tanpa kesesakan lalu lintas.
Ini bererti pengguna terpaksa menghabiskan masa pergi-balik selama lima jam berbanding naik MRT yang hanya mengambil masa 88 minit.
Kos sara hidup rakyat pastinya dapat dikurangkan.
Penggunaan kereta contohnya, dengan kos minyak, tol, penyelenggaraannya sehala dari Sungai Buloh ke Kajang, kosnya lebih kurang RM54.
Jika menggunakan MRT, pengguna cuma membayar RM6.40. Rakyat boleh jimat terlalu banyak.
Fasa pertama projek MRT telah dapat memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat apabila 130,000 peluang pekerjaan ditawarkan termasuk 70,000 secara langsung.
Setakat ini di 31 stesen, 41 peluang perniagaan dibuka dan dijangka akan ditambah.
Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek 'infra-rakyat' di negara ini.
Perdana Menteri berkata pelbagai lagi projek akan dilaksanakan termasuk MRT kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT3 Bandar Utama-Johan Setia; kereta api ke Pantai Timur; Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura; serta menaik taraf sistem monorail dan KTM.
"Ini semua akan dilaksanakan pihak kerajaan, apatah lagi apabila MRT3 atau MRT circle line siap, bererti menjelang tahun 2027 nanti, kita akan menyaksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita.
"Berdasarkan rekod prestasi, kita (kerajaan) akan dapat memenuhi objektif ini," katanya ketika merasmikan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen bawah tanah, Tun Razak Exchange di sini Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.
"Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalu lintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya.
"Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila keadaan hujan," tambahnya.
Katanya, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekaligus dapat memberikan manfaat kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan kos perjalanan ke sesuatu tempat, meningkatkan produktiviti dan semangat kerja selain membantu mengurangkan kos sara hidup.
Semalam, saya menaiki MRT dari Bandar Tun Hussein Onn ke Pasar Seni. Saya rasa kagum kerana menaiki MRT yang lebih cepat berbanding dengan menaiki kereta dari Semenyih ke Kuala Lumpur yang kadangkala makan masa hampir dua jam apabila jalan raya mengalami jem yang teruk,
Semoga dengan adanya MRT ini dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dari Kajang ke Kuala Lumpur. Ternyata menaiki pengangkutan awam seperti MRT ini menjimatkan kos.