Rabu, Julai 19, 2017

5,000 ORANG HADIRI RUMAH TERBUKA KKMM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Lebih 5,000 tetamu memeriahkan majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Puspanitapuri di sini, hari ini.

Tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri Datin Seri Raya Erom.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Timbalan Menteri KKMM Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad serta Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Bertemakan 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian', majlis itu mencerminkan pelbagai jabatan dan agensi yang terdapat di bawah KKMM.

Pada majlis itu, Salleh turut memotong kek sempena ulang tahun kelahiran beliau pada 10 Julai lepas.

Sharifah Zarah kemudian menyampaikan hadiah berupa lukisan potret Salleh.

Selain dijamu dengan pelbagai hidangan dan kuih muih, para tetamu dihiburkan dengan persembahan para penyanyi termasuk Datuk Nassier Wahab dan Khai Bahar sepanjang majlis itu yang berlangsung dari 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.

-- BERNAMA