Selasa, Oktober 16, 2018

JANGAN SALAHKAN WARTAWAN BESARKAN ISU WARNA STOKIN



KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menasihati Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya tidak terperangkap dengan propaganda Umno dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya menasihati Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk berhenti bercakap mengenai stokin dan kasut sekolah.

"Ini supaya beliau tidak terjerumus dengan perangkap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan cybertrooper serta tukang propaganda Umno yang mahu mempamerkan imej beliau sebagai menteri yang biasa-biasa dan kurang mempunyai visi serta matlamat dalam transformasi pendidikan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim secara menyindir berkata Maszlee sebaliknya perlu membuktikan beliau merupakan menteri pendidikan yang lebih baik berbanding Najib ketika memegang jawatan berkenaan sejak tahun 1995 hingga 2000.

“Sebab itulah Maszlee kena cepat belajar komunikasi moden dan menumpukan tenaganya untuk membuktikan yang beliau adalah menteri pendidikan yang lebih baik daripada Najib sendiri,” kata Lim.

Anggota parlimen Iskandar Puteri itu berkata kenyataan dibuat Najib terhadap Maszlee bertujuan mengalih perhatian daripada penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Menurutnya hanya satu peratus kenyataan Maszlee dipetik daripada temu bual dengan Sinar Harian, manakala selebihnya mengenai reformasi pendidikan "diabaikan sepenuhnya".

Terdahulu, Najib menerusi tulisan di Facebook semalam menyindir kenyataan Maszlee yang dipetik Utusan Malaysia berhubung pemakaian warna stokin pelajar di sekolah.

Maszlee dilaporkan berkata perkara itu akan diputuskan kementerian pendidikan selepas perbincangan dengan semua pihak selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam pada 2021.

“Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna,” sindir Najib menerusi akaun media sosialnya.

Susulan itu Maszlee mengkritik semula bekas perdana menteri itu kerana cepat mensensasikan “perkara remeh”, namun mengabaikan isu yang lebih penting yang diusahakan kementeriannya.

Menerusi akaun Twitternya beliau berkata: “Saya cakap perkara trivial kurang satu minit @UMonline sensasikan, DS @NajibRazak pun berminat.

“Saya bincang perkara penting, hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?” soalnya dalam sidang media selepas program lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

TERPULANG KEPADA INDIVIDU UNTUK MENERIMA PINGAT

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Terpulang pada individu untuk menerima pencalonan darjah, bintang dan pingat kebesaran, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina, yang merupakan seorang daripada lima menteri Kabinet yang menerima darjah kebesaran negeri Melaka bergelar 'Datuk Seri' minggu lepas berkata, penanugerahan itu akan meningkatkan semangatnya untuk terus menabur khidmat dan bakti kepada masyarakat.

"Boleh beri pandangan dan pendapat. Agaknya kalau yang komen itu diberikan pangkat dia akan terima atau tolak?" katanya secara berseloroh kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Rina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob minggu lepas.

Gelaran Datuk Seri yang diterima oleh barisan Kabinet baharu itu dipertikai segelintir pengguna media sosial yang mempersoalkan bakti mereka yang baharu lima bulan memegang jawatan selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.

Empat pemimpin DAP yang menerima gelaran Datuk ialah Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fat; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon Ming Fung; Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Wong Fort Pin

-- BERNAMA