Isnin, Januari 06, 2014
TEMBAKAN KEDUA TAHUN INI BERLAKU DI BESUT
BESUT, 6 Jan (Bernama) -- Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Yang
Dipertua (YDP) Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kapas di sini hari ini.
Ketika kejadian pada 6.15 pagi, Ibrahim Mohamad, 55, bersama isteri dan
seorang anak mereka berada di dalam rumah dan mereka terdengar beberapa bunyi
letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah
kediaman mereka.
Kejadian itu hanya disedari pada 8.30 pagi apabila isteri YDP majlis daerah
itu keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin
keretanya serta menemui serpihan peluru di perkarangan rumah banglo setingkat
itu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata wanita berkenaan
kemudian menelefon suaminya yang ketika itu berada di pejabat dan memaklumkan
mengenai perkara itu.
Polis dapati enam das tembakan dilepaskan iaitu dua terkena pada rumah
manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz CLK320 mangsa, katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Jamshah berkata polis tidak menolak kemungkinan tembakan itu dilepaskan
sebagai tanda amaran.
"Mangsa memaklumkan dia tidak mempuyai musuh dan kami tidak menolak
kemungkinan kejadian ini bermotifkan rasa tidak senang hati pihak tertentu
terhadap tugas mangsa," katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya tembakan dilepaskan
dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter dan dilakukan oleh lebih seorang
suspek.
Pihak forensik menemui satu kelongsong peluru jenis 9mm Luger Speer di atas
jalan di hadapan rumah itu.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)