Ahad, Disember 14, 2008

RAHIM MAKIN HAMPIR


Pengerusi RISDA, Rahim Tamby Chik atau RTC semakin hampir untuk muncul sebagai calon Naib Presiden UMNO. Semalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah mencalonkan beliau selain Menteri Pelajaran, Hishamuddin dan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar.


Ini bermakna RTC memerlukan dua pencalonan lagi untuk dapat lesen untuk bertanding. Ada tiga bahagian lagi belum bersidang, Larut, Tenom dan Seremban. Berdasarkan senario ini, peluang untuk RTC dapat lesen untuk bertanding amat cerah.


RTC selaku bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO (1993-1994) tidak ketinggalan untuk bersaing dengan lapan calon lain iaitu Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Isa Samad, Dr. Rais Yatim, Dr. Jamaluddin Jarjis dan Shafie Afdal.


Nasib RTC tidak sebaik bekas pegawai khasnya, Ali Rustam yang sudah menjadi naib presiden sejak tahun 2004 lalu. Ini bermakna anak muridnya sudah mendahuluinya jadi naib presiden sedangkan RTC belum tentu menang pada bulan Mac depan.


Akan tetapi untuk mendapatkan dua pencalonan lagi, saya tidak nampak RTC tidak boleh dapat kerana beliau akan kejar juga untuk pastikan pencalonan itu walaupun harga yang terpaksa dibayar agak tinggi.


TERIMA KASIH


Terima kasih kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang sudi hadiri majlis perkahwinan anak sulung saya, Siti Zuhairatun dengan Hairul Faizal Haji Ahmad di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman semalam.




Juga terima kasih kepada semua penduduk Pasir Gajah yang sudi hadir. Kebetulan pengantin perempuan yang berasal dari Pasir Gajah kahwin dengan orang Batu Gajah, Perak.



Cuaca yang baik menyebabkan ramai yang hadir. Empat hari sebelum itu jalan raya ke Pasir Gajah telah terputus kerana banjir di Sungai Pinang. Alhamdulillah jalan raya dibuka semula menyebabkan ramai penduduk asal kampung saya dapat hadiri majlis itu.

Kebetulan semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke Kuala Terengganu maka semua ahli-ahli jawatankuasa bahagian,pemuda,wanita dan puteri UMNO Kemaman yang dijemput hadir tidak dapat datang ke majlis saya kerana mereka kena pergi ke Kuala Terengganu.

Namun demikian majlis rumah saya tetap meriah dengan kunjungan saudara mara dari Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang, Kuala Terengganu dan Dungun. Rakan-rakan seperti Omar Aziz, Sulong Derahman, Haji Din yang sudi menyumbang suara mereka turut memeriahkan majlis karaoke yang diadakan sepanjang majlis berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang.



Malah abang ipar, Zakaria dan adik-adik ipar Fauzi dan Nazri yang tak pernah saya dengar suara mereka turut menyanyi. Pendek kata majlis karaoke yang didjkan oleh Burn amat meriah sekali. Terima kasih kepada Burn yang sudi menyewa set karaokenya dan menjadi DJ pada majlis tersebut.

Pendek kata tanpa kehadiran VIP majlis semalam turut meriah. Juga terima kasih kepada Datuk Shahrir Samad yang menjawab sms saya dengan menulis,”terima kasih di atas jemputan. Maaf tapiberada di luar Kuala Lumpur pada hari itu. Tahniah kerana menerima menantu”.

Datuk Seri Dr. Khir Toyo turut menjawab sms saya ,” saya kebetulan berada di luar negara mempengerusikan mesyuarat Majlis Belia Asia”. Juga tidak ketinggalan kepada ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim yang sempat menemui saya di parlimen dan mengatakan maaf kerana tidak dapat hadir.

Melalui ruangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan tak dapat hadir tetapi sempat telefon saya dari Kota Kinabalu iaitu Datuk Haji Abdul Karim Ghani dan Datuk Salleh Said Keruak yang sms saya dari Kota Mekah memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat hadir. Budi kalian semua saya tak lupa. Juga kepada seorang kawan yang datang ke Kemaman pada tengah malam tapi segan nak singgah di rumah saya tetapi kirim duit kepada Azman Shah. Terima kasih.

ROYALTI MINYAK KEJAYAAN AHMAD SAID


Salah satu kejayaan Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu ialah membawa balik royalti minyak ke Terengganu setelah kerajaan pusat menariknya pada zaman PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999-2004.


Inilah kejayaan terbesar Ahmad Said setelah beliau menjadi Menteri Besar pada Mac lalu.Inilah kelebihan Ahmad Said berbanding dengan Idris Jusoh yang gagal memujuk Pak Lah supaya royalti minyak diuruskan oleh kerajaan negeri semula.


Pengumuman Najib Tun Razak bahawa kabinet telah meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) merupakan satu lagi kejayaan Ahmad Said yang melaksakan cadangan Yang di_Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Hari ini Utusan Malaysia melaporkan bahawa kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri ini dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.


Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam.


Menurutnya, TIA akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.


“Konsepnya ialah kerajaan negeri melabur bukan saja di Terengganu tetapi juga di luar negara. Mungkin sedikit (labur) di Terengganu dan sebahagian besar di luar Terengganu.


“Seandainya minyak pupus, Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di sini semalam.


Menurut Najib, royalti berkenaan adalah bagi akaun 2007/2008 setelah ditolak segala kos pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu.


Dengan kembalinya royalti minyak ke Terengganu, dapatkah ia menawan hati para pengundi Kuala Terengganu? Ia akan terjawab pada 17 Januari ini walaupun dari satu segi Ahmad Said sudah berjaya membawa royalti minyak ke pangkuan Terengganu. Adakah para pengundi Kuala Terengganu bersyukur dengan usaha Ahmad Ahmad Said ini?