Ahad, Julai 03, 2016

TERUS SETIA KEPADA UMNO KATA MUSA

SANDAKAN, 3 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan anggota dan pemimpin UMNO di negeri ini untuk terus setia dan taat kepada parti dan pemimpin.

Menurut Ketua Menteri Sabah itu, ia memerlukan semua anggota dan pemimpin UMNO memberi keutamaan kepada parti dalam membuat sesuatu keputusan berbanding kepentingan diri.

"Ini penting supaya UMNO terus kuat dan kukuh untuk perjuangan membela rakyat, bangsa dan negara.

"Sebagai pemimpin di mana-mana peringkat UMNO, pangkat dan darjat bukan menjadi ukuran tetapi yang menjadi keutamaan adalah perjuangan dalam parti," katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 5 Sabah di sini, semalam.

UMNO Zon 5 membabitkan Bahagian Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Kinabatangan.

Pada majlis sama, Musa turut merasmikan Masjid Kampung Lupak Meluas.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata mana-mana anggota UMNO yang diambil tindakan oleh MT kerana melanggar peraturan parti perlu akur dengan keputusan yang dibuat.

Katanya keputusan tersebut dilaksanakan secara teliti berdasarkan tindak tanduk anggota yang terlibat jika tindakan mereka itu boleh merosakkan parti dan perpaduan.

"Jika ada ahli melanggar peraturan parti, tindakan harus diambil. Sebagai ahli parti yang setia kepada parti dan pemimpin harus akur dengan keputusan MT," katanya.

-- BERNAMA

PENGESAHAN HUSNI TEPATI TULISAN BLOG INI PADA 28 JUN LALU


Pada 28 Jun lalu saya menulis dalam posting http://catatanzabidi.blogspot.my/2016/06/ramalan-blog-ini-mengenai-noh-omar-pada.html, bahawa "Mungkin dengan kenaikan pangkat Johari  Ghani sebagai Menteri Kewangan Kedua menyebabkan Husni mendapat jawatan yang lebih junior yang mendorong beliau enggan dilantik semula dalam kabinet."

Ternyata tulisan saya tepat kerana Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengesahkan beliau memilih untuk menamatkan karier politiknya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk memindahkannya ke kementerian lain.

Katanya, beliau pada asalnya hanya membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, namun mengubah keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan kedua.

"Pada 27 Jun (2016), selepas mesyuarat Majlis Ekonomi, saya bertanya perdana menteri, adakah benar PM akan menukar portfolio saya dalam rombakan Kabinet yang akan diumumkan pada petang itu?

"PM mengesahkan saya akan ditukar portfolio.

"Saya memaklumkan PM bahawa saya telah tetapkan dalam fikiran bahawa saya akan mengakhiri dunia politik di Kementerian Kewangan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut juga seperti mengesahkan spekulasi yang dibuat blogger Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Husni meletakkan jawatannya kerana kecewa apabila Najib ingin memindahkannya ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Akhbar itu melaporkan, Husni menjelaskan beliau membuat keputusan sedemikian memandangkan hanya mempunyai tempoh perkhidmatan selama satu setengah tahun.

Katanya lagi, sekiranya beliau ditukar ke portfolio lain dalam tempoh berkenaan, ia tidak mencukupi untuk membolehkannya berkhidmat dengan efektif.

Selain itu, anggota parlimen Tambun itu berkata, beliau juga perlu menghadiri pelbagai acara sekiranya perlu berkhidmat di usianya yang lewat 60-an sedangkan Husni berkata, beliau ingin melalui fasa lain dalam kehidupannya.

"Saya berasakan dunia pekerjaan kini lebih sesuai dilaksanakan oleh generasi yang lebih muda daripada diri saya. Dengan umur mencapai 60-an, adakah saya patut meneruskan perkhidmatan?


"Kerja-kerja sebagai menteri kewangan II begitu rumit membabitkan antara lain menguruskan Dasar Fiskal, bajet, memantau kedudukan kewangan, hutang negara, tender, 1MDB, syarikat-syarikat kewangan diperbadankan, menentukan harga minyak di pasaran, memantau pasaran kewangan serta pasaran modal, serta menghadapi pelbagai isu persepsi," katanya.

Najib pada 27 Jun lalu mengumumkan rombakan kabinet kali ketiga sejak menerajui negara. Najib juga mengumumkan 'kenaikan pangkat' Datuk Johari Abdul Ghani daripada timbalan menteri kewangan kepada menteri kewangan kedua bagi menggantikan Husni yang meminta untuk berundur atas sebab peribadi.


LIM GUAN ENG PATUT TANGGUNG SENDIRI KOS IKAT JAMIN

KEPALA BATAS, 2 Julai (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sepatutnya menanggung sendiri kos ikat jamin RM1 juta dan bukan membebankan orang ramai dengan membuat kutipan derma.

Beliau berkata walaupun DAP yang menganjurkan kutipan derma itu, Lim yang juga setiausaha agung parti sepatutnya mengambil sikap bertanggungjawab dengan menghalang kutipan derma itu daripada dianjurkan.

"Sebagai contoh beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) juga pernah didakwa di mahkamah ... tidak pula membuat kutipan derma bagi menampung kos ikat jamin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan bersempena Ramadan dan Aidilfitri
di sini Sabtu.....

SALLEH DAKWA DR MAHATHIR TIDAK FAHAM MAKNA "MENGKRITIK"

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas posting dalam blog bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang memberikan gambaran bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebenarnya ditangkap dan didakwa kerana mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata posting dalam blog Mahathir itu juga senada dengan laporan Wall Street Journal (WSJ) berhubung penangkapan Lim dan didakwa atas pertuduhan rasuah.

"Mahathir menyatakan bahawa orang ditangkap atau dipecat dari parti kerana menghina orang lain atau untuk menggelar orang lain dengan bermacam gelaran yang teruk.

"Tentu Mahathir tidak serius dengan mencadangkan sebagai contoh, jika seseorang berkata umat Islam mengikuti agama syaitan (seperti apa yang mereka katakan di sesetengah negara) itu bukan jenayah dan tiada tindakan harus diambil," kata Salleh menerusi posting dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Mahathir dalam posting terbaharu beliau dalam blog melemparkan beberapa tuduhan terhadap kerajaan dan para pemimpin negara.

Salleh menjelaskan bahawa Mahathir juga seolah-olah tidak faham makna perkataan "mengkritik".

"Menggelar seseorang anjing atau babi tidak boleh diklasifikasikan sebagai mengkritik. Kita juga mempunyai undang-undang berhubung libel dan fitnah yang mentakrifkan sebagai jenayah untuk mendakwa sesuatu terhadap seseorang dengan dakwaan yang tidak benar," kata beliau.

Beliau berkata dalam politik, seseorang tidak harus hilang nilai-nilai kesopanan, kebenaran dan kesahihan daripada segi undang-undang mengenai apa yang mereka lakukan.

Pada 30 Jun, Lim mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman serta pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah harga pasaran.

Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang membenarkan Lim diikat hamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan juga membenarkan beliau menyimpan pasportnya.

-- BERNAMA

KALAU TOK HIM JADI KM, SAYA DAH LETAK JAWATAN



Kumpulan pendesak Melayu PERKASA menyerahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memutuskan sama ada ingin meletakkan jawatannya sebagai pemimpin negeri itu atau sebaliknya selepas didakwa dibawah Akta Pencegahan Rasuah.

Malah, Presidennya Datuk Ibrahim Ali yang popular dengan panggilan Tok Him turut mengandaikan sekiranya memegang jawatan ketua menteri, beliau tidak akan menunggu sehingga didesak untuk meletakkan jawatan.

"Terpulang pada dia selaku ketua menteri. Kalau saya yang kena, tak perlu tanya orang lain. Tak perlu tunggu orang desak. Saya sendiri (akan letak jawatan) sama ada tuduhan terhadap saya bermotifkan politik atau tidak, itu tidak penting.

"Yang penting ialah kesedaran diri sendiri. Dan rakyat akan menilai. Kalau letak jawatan rakyat akan nilai dan kalau tak letak jawatan rakyat juga akan nilai," tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada anggota parlimen Bagan itu wajar meletakkan jawatan atau tidak, Ibrahim hanya memberitahu, beliau bukan orang yang layak untuk memberikan komen mengenai isu berkenaan.

"Siapa saya untuk kata dia patut atau tak patut letak jawatan. Biarlah rakyat yang menilai," katanya lagi.

Khamis lalu, Guan Eng didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.

Setiausaha Agung DAP itu juga akan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, dalam sidang media sama, bekas anggota parlimen Pasir Mas itu memberitahu bahawa pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja berhubung cadangan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara.

Menurut Ibrahim, memorandum yang akan diserahkan selepas hari raya itu nanti bertujuan memohon perkenan Baginda bagi mewujudkan institusi yang membincangkan isu berkaitan agama Islam.




"Dalam memorandum ini, kita berhujah dan mengambil kira perkembangan semasa dan sebelumnya. Dan antara perkara berbangkit ialah banyak berlakunya perpecahan (berkaitan agama Islam).

"Jadi kita tak nampak jalan lain untuk cari titik pertemuan dan persefahaman kecuali dengan sebuah institusi yang mendapat restu dan perkenan dari Majlis Raja-raja Melayu," katanya.

Ibrahim turut mencadangkan supaya institusi berkenaan dianggotai oleh NGO Islam serta diwakili oleh parti politik di negara ini seperti Umno, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH).