Ahad, Julai 03, 2016

TERUS SETIA KEPADA UMNO KATA MUSA

SANDAKAN, 3 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan anggota dan pemimpin UMNO di negeri ini untuk terus setia dan taat kepada parti dan pemimpin.

Menurut Ketua Menteri Sabah itu, ia memerlukan semua anggota dan pemimpin UMNO memberi keutamaan kepada parti dalam membuat sesuatu keputusan berbanding kepentingan diri.

"Ini penting supaya UMNO terus kuat dan kukuh untuk perjuangan membela rakyat, bangsa dan negara.

"Sebagai pemimpin di mana-mana peringkat UMNO, pangkat dan darjat bukan menjadi ukuran tetapi yang menjadi keutamaan adalah perjuangan dalam parti," katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 5 Sabah di sini, semalam.

UMNO Zon 5 membabitkan Bahagian Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Kinabatangan.

Pada majlis sama, Musa turut merasmikan Masjid Kampung Lupak Meluas.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata mana-mana anggota UMNO yang diambil tindakan oleh MT kerana melanggar peraturan parti perlu akur dengan keputusan yang dibuat.

Katanya keputusan tersebut dilaksanakan secara teliti berdasarkan tindak tanduk anggota yang terlibat jika tindakan mereka itu boleh merosakkan parti dan perpaduan.

"Jika ada ahli melanggar peraturan parti, tindakan harus diambil. Sebagai ahli parti yang setia kepada parti dan pemimpin harus akur dengan keputusan MT," katanya.

-- BERNAMA