Ahad, Julai 03, 2016

KALAU TOK HIM JADI KM, SAYA DAH LETAK JAWATAN



Kumpulan pendesak Melayu PERKASA menyerahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memutuskan sama ada ingin meletakkan jawatannya sebagai pemimpin negeri itu atau sebaliknya selepas didakwa dibawah Akta Pencegahan Rasuah.

Malah, Presidennya Datuk Ibrahim Ali yang popular dengan panggilan Tok Him turut mengandaikan sekiranya memegang jawatan ketua menteri, beliau tidak akan menunggu sehingga didesak untuk meletakkan jawatan.

"Terpulang pada dia selaku ketua menteri. Kalau saya yang kena, tak perlu tanya orang lain. Tak perlu tunggu orang desak. Saya sendiri (akan letak jawatan) sama ada tuduhan terhadap saya bermotifkan politik atau tidak, itu tidak penting.

"Yang penting ialah kesedaran diri sendiri. Dan rakyat akan menilai. Kalau letak jawatan rakyat akan nilai dan kalau tak letak jawatan rakyat juga akan nilai," tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada anggota parlimen Bagan itu wajar meletakkan jawatan atau tidak, Ibrahim hanya memberitahu, beliau bukan orang yang layak untuk memberikan komen mengenai isu berkenaan.

"Siapa saya untuk kata dia patut atau tak patut letak jawatan. Biarlah rakyat yang menilai," katanya lagi.

Khamis lalu, Guan Eng didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.

Setiausaha Agung DAP itu juga akan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, dalam sidang media sama, bekas anggota parlimen Pasir Mas itu memberitahu bahawa pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja berhubung cadangan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara.

Menurut Ibrahim, memorandum yang akan diserahkan selepas hari raya itu nanti bertujuan memohon perkenan Baginda bagi mewujudkan institusi yang membincangkan isu berkaitan agama Islam.




"Dalam memorandum ini, kita berhujah dan mengambil kira perkembangan semasa dan sebelumnya. Dan antara perkara berbangkit ialah banyak berlakunya perpecahan (berkaitan agama Islam).

"Jadi kita tak nampak jalan lain untuk cari titik pertemuan dan persefahaman kecuali dengan sebuah institusi yang mendapat restu dan perkenan dari Majlis Raja-raja Melayu," katanya.

Ibrahim turut mencadangkan supaya institusi berkenaan dianggotai oleh NGO Islam serta diwakili oleh parti politik di negara ini seperti Umno, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH).