Jumaat, Oktober 29, 2010

ANSARI JATUH KE LAUT LAGI


Baru dua hari selepas jatuh ke laut, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi Ansari Abdullah tergelincir lagi ke laut selepas jambatan kayu menuju ke sebuah perkampungan nelayan runtuh hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.45 petang ketika Ansari dan rombongan kempennya, termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Kampung Gas.

"Kejadian berlaku sejurus selepas Tan Sri Khalid (Ibrahim) melepasi jambatan itu menghala ke sebuah rumah yang dibina dalam laut.

"Beliau bergayut pada sebuah papan bila lima pekerja kempen cuba mengangkatnya. Bagaimanapun, mereka semua jatuh ke laut, kata Jumin Jeffrey Masuling, pengurus media pilihan raya PKR.

Jumin, yang juga setiausaha cabang PKR Tuaran itu berkata Ansari, pengerusi cabang PKR Tuaran, diselamatkan oleh penduduk kampung.

"Beliau mengalami cedera ringan di lutut dan dada dan dihantar ke Hospital Sandakan," katanya.

Selepas rawatan, beliau meneruskan kempen.

Pada Rabu, Ansari dan pengurus kempennya Oting Enchi dan seorang wartawan NTV7 jatuh ke laut selepas titi kayu di sebuah kampung berhampiran Pulau Api Api runtuh.

KU LI REDAH BELANTARA 12 JAM JUMPA PENGUNDI


Di usia 73 tahun, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah sanggup meredah belantara hampir 12 jam dalam usahanya untuk bertemu dengan lebih dekat pengundi Orang Asli.

Untuk memastikan Barisan Nasional mencapai kemenangan besar, Tengku Razaleigh menaiki kereta pacuan empat roda berkonvoi dengan jentera BN seawal 8.30 pagi melalui jalan tanah merah berdebu selama empat jam menuju ke Pos Balar.

Walaupun menghadapi perjalanan yang sukar dengan beberapa kenderaan konvoi tersangkut dalam selut tanah merah, namun ia tidak mematahkan semangat Tengku Razaleigh untuk mendengar rintihan dan keluhan masyarakat di situ.

Dalam ucapannya, ketika mengadakan pertemuan lebih 100 penduduk Orang Asli di Pos Balar, Tengku Razaleigh berkata kehadirannya ke situ adalah untuk meninjau lebih dekat permasalahan Orang Asli bagi memastikan mereka turut mendapat pembelaan sama seperti rakyat lain.

"Kerajaan BN tidak pernah meminggirkan Orang Asli dari arus pembangunan dan ia terbukti apabila kerajaan Pusat menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti klinik kesihatan dan sekolah serta peruntukan RM10.8 juta untuk pembangunan Orang Asli di Gua Musang," katanya.

Beliau berkata, ia berbeza dengan kerajaan Pas Kelantan yang kononnya hendak menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli tetapi dalam masa yang sama sanggup menggadai tanah yang diduduki mereka kepada pihak lain bagi tujuan pembalakan dan Ladang Rakyat.

"Kita akan berunding dengan kerajaan negeri supaya memberikan hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli untuk dijadikan tapak rumah, tanah perkuburan dan tanah pertanian supaya mereka juga mempunyai harta pusaka untuk diwariskan kepada generasi mereka.

"Ladang rakyat yang kononnya dilaksanakan untuk kebaikan Orang Asli hanya karut kerana mereka hanya menjadi kuli dan sedangkan mereka (Orang Asli) mahukan tanah sendiri," katanya.

Selepas berada di situ selama sejam, Tengku Razaleigh kemudian pergi ke Pos Hau, yang mengambil masa empat jam perjalanan lagi dengan laluan yang lebih sukar berikutan hujan.

Tanpa menghiraukan penat, Tengku Razaleigh menunjukkan sikap pemimpin yang berjiwa rakyat melayan mesra penduduk Pos Hau yang mempunyai kira-kira 200 penduduk.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Razaleigh berkata, hasil pertemuannya dengan masyarakat Orang Asli kebanyakan mereka membangkitkan soal tanah.

"Mereka mahukan pemilikan tanah dan mahu kekalkan tanah rezab mereka tanpa pencabulan mana-mana pihak. Apa yang berlaku sekarang, banyak tanaman dan kawasan perburuan musnah menyebabkan mata pencarian mereka hilang.

"Walaupun tanah mereka diceroboh kadangkala secara haram, namun masyarakat Orang Asli ini tidak berani mengambil tindakan sendiri kerana mereka takut kepada undang-undang. Jadi kita akan bantu rundingkan perkara ini dengan kerajaan negeri," katanya sebelum bertolak pulang ke Bandar Gua Musang.

PKR SUSAH HATI BALU JADI CALON BN


PKR hari ini membidas BN kerana mengemukakan Datin Linda Tsen sebagai calon pada pilihan raya di Batu Sapi ketika beliau masih lagi berkabung atas kematian suaminya, Datuk Edmund Chung, bekas ahli parlimen Batu Sapi.

Ketika sidang media di Bandar Ramai-ramai hari ini, pengarah pilihan raya PKR, Fuziah berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi BN untuk mencalonkan Tsen yang masih bersedih dan terpaksa membesarkan empat orang anaknya.


“Saya rasa begitu sedih. Saya tahu bagaimana susahnya jadi seorang ahli parlimen wanita. Dalam keadaan suami baru meninggal, seorang wanita masih lagi berkabung, saya rasa cukup sedih kerana beliau dipergunakan sedemikian.

“Kalau saya jadi beliau, saya rasa cukup cukup tertekan kerana dipergunakan untuk jadi calon sedangkan tanggungjawab untuk mengantikan MP Batu Sapi adalah tanggungjawab parti, bukan tanggungjawap isterinya,” katanya.

Menurut Fuziah, sebagai seorang balu, Tsen bukan sahaja terpaksa memikirkan tentang dirinya tetapi juga kepentingan anak-anaknya.

“Seorang balu perlu memikirkan tentang anaknya yang perlu menerima kematian seorang ayah yang mati secara mengejut, anak-anak yang masih dalam trauma, beliau yang masih dalam trauma, perlu berhadapan dengan pilihan raya yang begitu sengit, “ katanya.


Sambil menyifatkan tindakan BN itu sebagai tidak adil, Fuziah berkata ia juga membuktikan mereka tidak sensitif terhadap keperluan seorang balu dan seorang wanita.

Tsen seorang suri rumah adalah juga guru piano sementara dipilih sebagai calon berdasarkan sentimen bahawa belai mampu meneruskan legasi suaminya.

Dari segi politik, Tsen adalah ahli exco Wanita PBS. Beliau juga adalah timbalan pengerusi Wanita PBS bahagian Elopura.

Dari segi kerjaya, beliau adalah pemain piano yang berbakat dan fello Kolej Muzik Trinitydan mengajar piano secara separuh masa.

Mengulas kelayakan Tsen, Fuziah berkata balu itu tidak layak menjadi perwakilan di Dewan Rakyat.

“Untuk meletakkan seorang suri rumahtangga untuk bertanding di Parlimen, saya rasa tidak adil, bukan mudah untuknya. Bukan mudah untuk berdebat di peringkat Parlimen,” kata Fuziah.

SIAPA YANG TIDAK CERDIK?


Bukan main sedap tuduhan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kepada Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani bahawa pemimpin UMNO tidak cerdik.

Yang lebih lucu katanya dia akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan BN supaya pemimpin UMNO yang tidak cerdik ini tidak dicalonkan dalam pilihanraya umum akan datang.

Bila pemimpin UMNO bercakap begitu, dia dituduh tidak cerdik tetapi bila pemimpin MCA bercakap perkauman tidak apa pula.Jadi siapa yang sebenarnya tidak cerdik? Pemimpin UMNO atau pemimpin MCA?

MCA nampaknya masih tidak insaf bahawa MCA menang kerana bertanding di kawasan majoriti Melayu. Di kawasan Cina, jangan harap MCA menang. Oleh itu ucapan Johari bahawa BN tidak perlukan sokongan China di kerusi majoriti Melayu memanglah tepat kerana orang Cina tidak akan mengundi BN lagi. Mereka sudah nampak Lim Kit Siang bakal PM Malaysia. Jadi mereka tidak perlu undi calon MCA sebaliknya mengundi calon DAP supaya orang Cina dapat jadi PM Malaysia suatu hari nanti.

Ikutilah laporan Malaysiakini terhadap ucapan Presiden MCA yang terkenal dengan video lucahnya itu sepertimana berikut:-

Rakaman video di internet yang memaparkan seorang pemimpin bahagian Umno yang membuat ucapan bahawa partinya tidak memerlukan sokongan Cina dan India, dijangka tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Cina dalam pilihan raya kecil DUN Galas, kata presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya, pemimpin seumpama itu tidak mencerminkan pandangan pemimpin atasan Umno.


“Jika kita mahu jawapan yang jelas, tanya perdana menteri. Perdana Menteri dengan jelas mempromosikan polisi 1Malaysia untuk setiap kaum. Ini amat jelas," katanya kepada wartawan di pekan Gua Musang hari ini.

Chua berkata MCA tidak akan menyokong pemimpin akar umbi seumpama itu dan malah akan mencadangkan kepada pemimpin Umno agar mereka tidak dikemukakan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pemimpin Umno itu gagal bertindak atas semangat BN bagi menjaga kepentingan semua kaum.

“Ini (klip vedeo) memberitahu kita bahawa ada pemimpin akar umbi Umno yang tidak berapa cerdik dari segi politik. Mereka ini kurang bijak. Kita akan laporkan kepada perdana menteri.


“Mereka tidak sepatutnya keluar. Kita akan ikuti kes ini. Mereka tidak tidak mewakili BN dan sepatutnya bersara dan pulang,” kata Chua.

Chua mengulas klip video yang memaparkan ucapan ketua Umno bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani di Pusat Dagangan Dunia Putra pada tarikh yang tidak disebut.

Menurut Johari, bagi membolehkan Umno menawan semula kerusi parlimen Titiwangsa, mereka memerlukan sokongan 70 peratus undi Melayu di sana.

“Tuan-tuan, jika kita dapat 70 peratus daripada 32,000 undi Melayu, maka kita tidak lagi perlu undi Cina dan India,” kata Johari sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin di majlis itu.

Ketika berita ini ditulis, video yang dimuat-naik di Youtube itu telah menarik minat 50,000 orang menontonnya dengan 600 komen yang kebanyakan mereka membidas Johari.