Jumaat, Oktober 29, 2010
KU LI REDAH BELANTARA 12 JAM JUMPA PENGUNDI
Di usia 73 tahun, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah sanggup meredah belantara hampir 12 jam dalam usahanya untuk bertemu dengan lebih dekat pengundi Orang Asli.
Untuk memastikan Barisan Nasional mencapai kemenangan besar, Tengku Razaleigh menaiki kereta pacuan empat roda berkonvoi dengan jentera BN seawal 8.30 pagi melalui jalan tanah merah berdebu selama empat jam menuju ke Pos Balar.
Walaupun menghadapi perjalanan yang sukar dengan beberapa kenderaan konvoi tersangkut dalam selut tanah merah, namun ia tidak mematahkan semangat Tengku Razaleigh untuk mendengar rintihan dan keluhan masyarakat di situ.
Dalam ucapannya, ketika mengadakan pertemuan lebih 100 penduduk Orang Asli di Pos Balar, Tengku Razaleigh berkata kehadirannya ke situ adalah untuk meninjau lebih dekat permasalahan Orang Asli bagi memastikan mereka turut mendapat pembelaan sama seperti rakyat lain.
"Kerajaan BN tidak pernah meminggirkan Orang Asli dari arus pembangunan dan ia terbukti apabila kerajaan Pusat menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti klinik kesihatan dan sekolah serta peruntukan RM10.8 juta untuk pembangunan Orang Asli di Gua Musang," katanya.
Beliau berkata, ia berbeza dengan kerajaan Pas Kelantan yang kononnya hendak menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli tetapi dalam masa yang sama sanggup menggadai tanah yang diduduki mereka kepada pihak lain bagi tujuan pembalakan dan Ladang Rakyat.
"Kita akan berunding dengan kerajaan negeri supaya memberikan hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli untuk dijadikan tapak rumah, tanah perkuburan dan tanah pertanian supaya mereka juga mempunyai harta pusaka untuk diwariskan kepada generasi mereka.
"Ladang rakyat yang kononnya dilaksanakan untuk kebaikan Orang Asli hanya karut kerana mereka hanya menjadi kuli dan sedangkan mereka (Orang Asli) mahukan tanah sendiri," katanya.
Selepas berada di situ selama sejam, Tengku Razaleigh kemudian pergi ke Pos Hau, yang mengambil masa empat jam perjalanan lagi dengan laluan yang lebih sukar berikutan hujan.
Tanpa menghiraukan penat, Tengku Razaleigh menunjukkan sikap pemimpin yang berjiwa rakyat melayan mesra penduduk Pos Hau yang mempunyai kira-kira 200 penduduk.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Razaleigh berkata, hasil pertemuannya dengan masyarakat Orang Asli kebanyakan mereka membangkitkan soal tanah.
"Mereka mahukan pemilikan tanah dan mahu kekalkan tanah rezab mereka tanpa pencabulan mana-mana pihak. Apa yang berlaku sekarang, banyak tanaman dan kawasan perburuan musnah menyebabkan mata pencarian mereka hilang.
"Walaupun tanah mereka diceroboh kadangkala secara haram, namun masyarakat Orang Asli ini tidak berani mengambil tindakan sendiri kerana mereka takut kepada undang-undang. Jadi kita akan bantu rundingkan perkara ini dengan kerajaan negeri," katanya sebelum bertolak pulang ke Bandar Gua Musang.