Ahad, Mac 19, 2017

TOK PA NAFI PERTEMUAN SULIT DENGAN MAT YAAKOB

KOTA BHARU, 19 Mac (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas kerana BN tetap dengan keputusan untuk merampas negeri itu daripada tangan PAS.

"Saya tidak pernah bincang perkara ini dengan mana-mana pihak lebih-lebih lagi dengan Menteri Besar (Ahmad). Kita (cuma) kerjasama dalam hal tertentu seperti banjir, pelaburan dan hal berkaitan faedah untuk rakyat Kelantan.

"(Cita-cita untuk menawan Kelantan) masih sama...tiada perubahan. Kami berjuang untuk mengambil alih kerajaan negeri Kelantan (dari pimpinan PAS).

"Anak buah saya cukup bersemangat dan Insya Allah kita akan teruskan usaha dan kerja keras untuk pastikan penantian begitu lama akan menjadi kenyataan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala YB Tok Pa anjuran persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden HIMSAK Datuk Mohd Faizal Daud dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Madya Abdul Aziz Ab Latif.

Pertandingan pidato selama tiga hari itu bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini disertai 83 pemidato dari kalangan pelajar universiti, sekolah dan orang awam.

Sebelum ini, dakwaan bahawa Mustapa mengadakan pertemuan sulit dengan Ahmad bagi membincangkan kerjasama berkenaan tular di laman sosial.

Mustapa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku pada masa depan kerana keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah.

"(Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak kata dalam politik kita tak boleh ramalkan apa yang akan berlaku, tidak ada ketentuan," katanya.

Dalam masa yang sama, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak menolak kemungkinan menubuhkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bayangan daripada BN selepas ini.

-- BERNAMA

KES SOSILAWATI KES PALING DIINGATI TUN ARIFIN

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Menyifatkan perbicaraan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya sebagai kes paling diingatinya sebagai hakim, Tun Arifin Zakaria berkata Mahkamah Persekutuan bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan untuk mensabitkan tiga lelaki termasuk seorang bekas peguam.

Ketua Hakim Negara itu berkata perbicaraan kes bunuh Sosilawati merupakan yang kedua, selepas kes bunuh Sunny Ang Soo Suan pada 1965, yang mahkamah bergantung pada bukti keadaan untuk mensabitkan tertuduh tanpa mayat mangsa dijumpai.

"Sudah tentu, kes terakhir yang kami ada ialah kes bunuh Sosilawati. Ia diingati atas beberapa sebab iaitu melibatkan banyak tertuduh dan bersejarah dari segi ia merupakan kes kedua selepas kes Sunny Ang iaitu kami bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan. Polis tidak menjumpai mayat (Sosilawati), sama seperti dalam kes Sunny Ang.

"Jadi, ia bersejarah dari aspek itu dan kebetulan ia juga merupakan kes jenayah terakhir dikendalikan saya," katanya semasa ditanya kes apa yang paling diingati, sebagai hakim.

Soalan itu diajukan kepada Arifin pada sidang media selepas pelancaran bukunya bertajuk 'Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries', oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di sebuah hotel di sini, semalam.


Dalam kes Sunny Ang, lelaki itu didapati bersalah membunuh teman wanitanya yang mayatnya tidak dijumpai.

Pada 16 Mac, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati diputuskan terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan, 47, dan dua pekerja ladangnya, tetapi membebaskan seorang daripada perayu daripada pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga pembantunya kira-kira tujuh tahun lepas.

Dua pekerja ladang itu ialah T. Thilaiyalagan, 25, dan R. Kathavarayan, 37.

Dalam penghakimannya, panel lima hakim dipengerusikan Arifin berkata terdapat bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa Sosilawati dan tiga pembantunya dibunuh di ladang milik Pathmanabhan di Banting.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim, sementara itu membebaskan seorang lagi perayu R. Matan, 26, atas alasan kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan tersebut.

Pada 23 Mei, 2013, empat lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Sosilawati dan ketiga-tiga pembantunya itu dilaporkan hilang selepas pergi ke Banting bagi urusan tanah.

Kehilangan mereka telah menjadi topik utama di seluruh negara.

-- BERNAMA