Rabu, Julai 12, 2017

MRT SUNGAI BULOH-KAJANG BEROPERASI SEPENUHNYA MULAI 17 JULAI

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Laluan Pertama Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT-1), Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara tiga jaringan laluan rel bandar, akan beroperasi sepenuhnya dengan pembukaan fasa kedua laluan Semantan-Kajang minggu depan.

Laluan Semantan-Kajang akan melengkapkan Laluan SBK sepanjang 51km dengan melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni.

Fasa pertama laluan Sungai Buloh-Semantan, yang mempunyai 12 stesen mula beroperasi pada 16 Dis lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan Laluan Semantan-Kajang, 17 Julai ini.




Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah, fasa kedua Laluan SBK sejauh 30km itu, mempunyai 19 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah dengan majoriti stesen dibina di kawasan strategik yang tidak ada perkhidmatan rel bandar.

Daripada jumlah stesen itu, 14 stesen terletak di kawasan strategik dan berpopulasi tinggi bagi memudahkan orang awam berulang-alik ke pusat bandar, katanya kepada Bernama di sini.

Stesen berkenaan ialah Muzium Negara, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught, Taman Mutiara, Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11, Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih dan Merdeka.

Beliau berkata stesen MRT juga dibina bagi mengintegrasikan dengan stesen Komunter, Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen Monorel bagi meningkatkan kemudahan kesalinghubungan perjalanan untuk pengguna.

Misalnya, kata Najmuddin, pembinaan laluan pejalan kaki menghubungkan Stesen MRT Muzium Negara dengan KL Sentral adalah bagi tujuan mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan di pusat bandar.

"Kesalinghubungan dengan perkhidmatan pengangkutan lain adalah amat penting bagi pengguna dan setiap stesen MRT memainkan peranan penting antara satu sama lain," katanya.

Projek Laluan Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, dengan kos RM23 bilion, mula dibina pada 8 Julai 2011, dan akan memberi perkhidmatan di sepanjang koridor yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Setiap set tren untuk laluan berkenaan mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang dengan kekerapan 3.5 minit di antara setiap tren dan dianggarkan bilangan penumpang harian kira-kira 430,000 orang.

Laluan MRT Kedua (MRT-2) melibatkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP), sepanjang 52.5km, dijangka siap pada suku kedua 2022 manakala laluan terakhir, MRT-3, melibatkan kawasan pusat bandar masih di peringkat perancangan dan pembangunan.

-- BERNAMA