Sabtu, September 12, 2009

WARTAWAN DAN DUIT RAYA


Saya baru sampai di rumah setelah pulang dari majlis berbuka puasa dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Hotel Seri Pacific. Pagi Khamis Pegawai Penyelidik Kanan di Pejabat MB, Hambali Abdul Latif menelefon saya menjemput saya untuk hadiri majlis tersebut.

Saya pun sms kepada beberapa blogger lain seperti diarah oleh Hambali iaitu menjemput Zaharin Mohd. Yassin, Eman Jr, Zakarian Bidin, Sayuti Omar dan Pak Habib Syed Hussein Al Attas. Semalam saya menerima sms dari Timbalan Pengarah Unit Komunikasi, Ruslan Abdul Rahman yang turut menjemput saya menghadiri majlis tersebut.

Petang ini ketika saya sampai pada jam 6.30 petang di hotel tersebut, Ahmad Said sedang berucap. Emar Jr yang baru sampai duduk di sebelah saya. Begitu juga Abang Zek yang datang lambat. Zaharin yang datang awal duduk semeja dengan Hambali. Sayuti tidak datang. Begitu juga Pak Habib tidak datang kerana katanya, " kalau makan ramai-ramai, tak payah jemputlah.Kalau makan lima enam orang sesama penulis untuk beramah mesra dengan MB, baru kita datang".

Petang tadi Pak Habib call saya suruh saya sampaikan salam kepada MB. Katanya, "Zabidi, beritahu MB saya sedang tulis buku baru bertajuk TEGANU: KELUAR DARI MULUT HARIMAU, MASUK MULUT BUAYA".

Rupa-rupanya petang tadi majlis berbuka puasa dengan para pelajar universiti anjuran Yayasan Terengganu. Inisiatif Hambali menjemput sama blogger dalam majlis ini wajar diberi pujian. Sekurang-kurangnya mereka dapat dengar perkembangan terbaru di Terengganu.

Baru-baru ini majlis berbuka puasa dengan Timbalan Perdana Menteri pun, media, blogger dijemput sekaligus dengan NGO dan para pelajar universiti. Jadi apa salahnya blogger datang ke majlis ramai seperti ini dan bukan ekslusif seperti yang dikehendaki oleh Pak Habib.

Selepas berbuka puasa,Hambali ajak beberapa blogger minum di coffee house. Hambali pandai jaga blogger. Tidak seperti Ruslan ketika menjadi Setiausaha Akhbar Wan Mokhtar dahulu tidak pandai jaga wartawan.

"Zabidi, dah baca blog Ayob? Dia tulis kamu sanggup balik dari Kuala Lumpur untuk ambil duit raya RM500 dari MB sedangkan kamu tidak ada kena mengena langsung dengan media Terengganu?" tanya Hambali.

"Belum lagi," jawab saya.

Ingin saya jelaskan bahawa tahun lepas saya disuruh balik oleh Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan untuk ambil duit raya. Terima kasih kepada Pok Li di atas ingatannya itu kepada saya. Kenapa pula saya dikatakan tidak ada kena mengena dengan media Terengganu sedangkan sebagai editor WATAN saya banyak menyiarkan rencana-rencana mengenai politik Terengganu walaupun tidak disenangi oleh Pok Li terutamanya rencana yang ditulis oleh Abdul Mubin Ismail. Oleh itu tuduhan Ayob Mamat yang mengatakan saya tidak ada kena mengena dengan media Terengganu adalah tuduhan yang tidak berasas.

Tahun ini saya tidak pasti sama ada nama saya ada dalam senarai 100 orang wartawan Terengganu menerima duit raya dari Menteri Besar. Kalau Setiausaha Perhubungan UMNO yang baru, Tengku Putera masih ingati saya, mungkin ada nama saya dalam senarai itu.

NAJIB IKHLAS BUAT PEMBAHARUAN


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang selama ini kelihatan pro kepada Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu lagi pembaharuan kepada dasar Dr. Mahathir. Tidak lama dahulu beliau membatalkan keputusan Dr Mahathir iaitu belajar sains dan metamatik dalam BahasaI nggeris kini beliau menghapuskan pula sistem kuota dalam pemilihan UMNO yang dicipta oleh Dr. Mahathir.

Ini menunjukkan Najib ikhlas untuk membuat pembaharuan dalam UMNO berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT) semalam bersetuju menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan parti dan menambah jumlah perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan agung parti itu.


Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu bertujuan membanteras politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik selain menunjukkan Umno benar-benar parti yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat.

"MT hari ini berbincang mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentang pada mesyuarat agung khas Oktober depan. Pada prinsipnya MT bersetuju bahawa perubahan kepada sistem pemilihan dalam Umno perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri berkata jumlah perwakilan yang akan ke perhimpunan agung bagaimanapun belum lagi diputuskan tetapi bilangannya akan lebih ramai berbanding sekarang iaitu 2,500 perwakilan.

"Kita belum putuskan secara muktamad kerana ini melibatkan soal logistik dan persiapan yang perlu dilakukan ialah saiz perwakilan yang akan memilih jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

"Sama ada kita hendak buka seluas-luasnya ataupun kita hadkan kepada perwakilan tertentu. Waima keputusan kita nanti ia tentu sekali jauh lebih besar perwakilannya daripada jumlah 2,500 yang kita telah amalkan sebelum ini," katanya.

Najib berkata beliau mahu lebih banyak perwakilan diberi hak dan kuasa untuk menentukan dan memilih calon-calon terbaik bagi jawatan tertinggi Umno.

Berkenaan sistem kuota, beliau berkata secara prinsipnya, MT berpendapat bahawa sistem kuota tidak diperlukan tetapi akan mewujudkan kriteria tertentu untuk jawatan-jawatan tertinggi yang akan dipertandingkan.

"Bagi jawatan-jawatan ini mungkin ada kriteria, tetapi kriteria untuk bertanding itu mestilah tidak dilihat sebagai mengongkong tetapi lebih menjurus kepada kebebasan dan untuk menentukan mereka yang bertanding benar-benar memahami dan menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik parti akan diadakan untuk memuktamadkan cadangan pindaan Perlembagaan dalam masa terdekat sebelum dibentangkan kepada mesyuarat MT akan datang dan kemudian ke Perhimpunan Agung Khas parti bulan depan.

Najib berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai cadangan- cadangan pindaan daripada sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri dan cadangan berkenaan akan dimuktamadkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik nanti.

Perhimpunan Agung Khas Umno akan diadakan bulan depan untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan ahli memilih kepimpinan tertinggi parti secara serentak di 191 bahagian.