Sabtu, September 12, 2009

NAJIB IKHLAS BUAT PEMBAHARUAN


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang selama ini kelihatan pro kepada Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu lagi pembaharuan kepada dasar Dr. Mahathir. Tidak lama dahulu beliau membatalkan keputusan Dr Mahathir iaitu belajar sains dan metamatik dalam BahasaI nggeris kini beliau menghapuskan pula sistem kuota dalam pemilihan UMNO yang dicipta oleh Dr. Mahathir.

Ini menunjukkan Najib ikhlas untuk membuat pembaharuan dalam UMNO berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT) semalam bersetuju menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan parti dan menambah jumlah perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan agung parti itu.


Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu bertujuan membanteras politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik selain menunjukkan Umno benar-benar parti yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat.

"MT hari ini berbincang mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentang pada mesyuarat agung khas Oktober depan. Pada prinsipnya MT bersetuju bahawa perubahan kepada sistem pemilihan dalam Umno perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri berkata jumlah perwakilan yang akan ke perhimpunan agung bagaimanapun belum lagi diputuskan tetapi bilangannya akan lebih ramai berbanding sekarang iaitu 2,500 perwakilan.

"Kita belum putuskan secara muktamad kerana ini melibatkan soal logistik dan persiapan yang perlu dilakukan ialah saiz perwakilan yang akan memilih jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

"Sama ada kita hendak buka seluas-luasnya ataupun kita hadkan kepada perwakilan tertentu. Waima keputusan kita nanti ia tentu sekali jauh lebih besar perwakilannya daripada jumlah 2,500 yang kita telah amalkan sebelum ini," katanya.

Najib berkata beliau mahu lebih banyak perwakilan diberi hak dan kuasa untuk menentukan dan memilih calon-calon terbaik bagi jawatan tertinggi Umno.

Berkenaan sistem kuota, beliau berkata secara prinsipnya, MT berpendapat bahawa sistem kuota tidak diperlukan tetapi akan mewujudkan kriteria tertentu untuk jawatan-jawatan tertinggi yang akan dipertandingkan.

"Bagi jawatan-jawatan ini mungkin ada kriteria, tetapi kriteria untuk bertanding itu mestilah tidak dilihat sebagai mengongkong tetapi lebih menjurus kepada kebebasan dan untuk menentukan mereka yang bertanding benar-benar memahami dan menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik parti akan diadakan untuk memuktamadkan cadangan pindaan Perlembagaan dalam masa terdekat sebelum dibentangkan kepada mesyuarat MT akan datang dan kemudian ke Perhimpunan Agung Khas parti bulan depan.

Najib berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai cadangan- cadangan pindaan daripada sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri dan cadangan berkenaan akan dimuktamadkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik nanti.

Perhimpunan Agung Khas Umno akan diadakan bulan depan untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan ahli memilih kepimpinan tertinggi parti secara serentak di 191 bahagian.