Ahad, Mei 01, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN APRIL 2016

Seperti biasa pembaca blog ini terdiri dari rakyat Malaysia yang berada dalam negara ini dan di luar negara seprti di Amerika Syarikat,United Kingdom, China, Taiwan dan Russia.

Rating tertinggi bagi bulan April lepas ialah:-

1. Bekas suami Sahara Yaacob beli kelab bolasepak Itali (16 April)
2.MB enggan ulas tarik balik Dato Seri (24 April)
3.Apa lagi Ahmad Said mahu? (2 April)
4.Pegawai kerajaan tak suka terima arahan Boss melalui whatsapp? (22 April)
5.DAP ambil tindakan kepada Dr Tan Seng Giaw? (14 April)
6. Jins Shamsuddin menjadi YB diluar dan di dalam filem (3 April)
7.Zaharin terima DIMP Pahang (19 April)
8.MB reda dengan titah Sultan Terengganu (26 April)
9.Pelajar Ranaco peluk Islam setelah dengar ceramah Dr Zakir (15 April)
10.PM menghadap Sultan Terengganu esok? (25 April)

BELI KELAB BOLA KERANA TERHUTANG BUDI KEPADA ITALI



Berita tentang pembelian kelab FC Bari 1908 dari Itali oleh seorang ahli perniagaan dari Malaysia, Datuk Dr. Noordin Ahmad yang tersebar pada 12 April lalu bukan membuatkan sebahagian besar rakyat Malaysia terkejut kerana tidak mengenali langsung beliau.


Persoalan yang bermain dalam minda mereka ialah “siapa Noordin?”

Kalau Tan Sri Vincent Tan yang membeli Cardiff City dan Tan Sri Tony Fernandes yang memiliki Queens Park Rangers memang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang pelik. Sejak kebelakangan ini, banyak ahli perniagaan dari Asia membeli kelab-kelab bola sepak di Eropah terutama di Liga Perdana Inggeris.

Selain merungkai siapa Noordin, Rencam minggu ini memaparkan tentang bilionair Asia yang menjadi tauke kelab-kelab bola sepak di Eropah.



Pemilik FC Bari 1908, Datuk Dr. Noordin Ahmad adalah seorang lelaki misteri bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Ahli perniagaan dari Malaysia yang tidak dikenali ramai tiba-tiba dilaporkan membeli sebuah kelab Serie B pada harga 12 juta euro (RM52.82 juta) pada 4 April lalu.

Selain berasa bangga, sudah tentu berita itu menyebabkan ramai terpinga-pinga dan lebih ingin mengetahui siapakah Noordin dan perniagaan apakah yang dijalankan sehingga mampu membeli sebuah kelab bola sepak Eropah.

Menurut portal berita Bari Repubblica, Duta Itali di Kuala Lumpur, Mario Sammartino memberitahu, tidak ada kerajaan dari Asia Tenggara yang berminat melabur di Apulia. Beliau juga tidak mengetahui sekiranya Malaysia mempunyai sebarang perancangan pelaburan di Itali.

Setakat ini, tidak banyak maklumat tentang Noordin yang diketahui. Berdasarkan beberapa laporan berita sebelum ini, beliau dilahirkan di Pulau Pinang pada 23 Oktober 1957 dan membesar di Manjoi, Ipoh, Perak. Noordin pernah belajar bersama beberapa pemimpin negara ketika memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1972.

Ketika belajar di MTD, Noordin memberitahu beliau merupakan kapten pasukan ragbi dan pernah menjadi juara sukan tinju. Beliau yang memiliki ijazah dalam jurusan perniagaan dan kewangan, merupakan pengasas Malaysia France Institute yang kini dikenali sebagai Universiti Kuala Lumpur. Noordin pernah bekerja dengan Finmeccanica iaitu sebuah syarikat Itali di Malaysia selama 20 tahun. Beliau adalah seorang ahli perniagaan berjaya yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk minyak dan gas, hartanah, perlombongan dan sistem pertahanan.

Lelaki kaya yang merendah diri dan pemurah itu, dilaporkan mempunyai 11 adik-beradik, tujuh anak dan empat cucu. Beliau juga adalah sahabat baik kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam sidang akhbar pertamanya sebagai pemilik kelab itu, Noordin menceritakan bahawa beliau membeli FC Bari 1908 kerana berasa terhutang budi dengan Itali. Semasa bercuti di Rom, Itali pada Disember lalu, beliau mengalami serangan jantung yang sangat serius tetapi doktor Itali telah menyelamatkannya.

Langkah pertama yang diambil oleh beliau bagi membalas budi Itali ialah dengan melabur di sebuah butik fesyen milik pereka fesyen muda Itali, Louis de Bourbon. Beliau kemudian membeli kelab FC Bari 1908 pula.

Selain membalas balas budi Itali, langkah tersebut didorong oleh kekecewaannya terhadap prestasi skuad Harimau Malaya yang sekadar seri 0-0 dengan Macau dalam perlawanan persahabatan pada 29 Mac lalu.

Noordin merancang untuk membantu FC Bari 1908 yang kini berada di tangga ketiga Serie B untuk layak ke Serie A pada musim depan dan menjadi pasukan hebat dalam Serie A dalam tempoh lima tahun akan datang. Beliau juga mahu membawa pelaburan dari Malaysia bagi membantu kelab tersebut, termasuk bekerjasama dalam pembangunan bakat bola sepak di Asia dan khususnya di Malaysia dengan bantuan FC Bari 1908.