Isnin, September 29, 2008

JIKA PAK LAH BERUNDUR, KU LI SUKAR DAPAT PENCALONAN?


Tengahari Sabtu lalu pula saya ikuti sidang akhbar di rumah Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li tetap menolak pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Pak Lah dan beliau menolak penangguhan Perhimpunan Agung UMNO ke bulan Mac 2009.


Ku Li yakin dapat 140 pencalonan walau pun saya sendiri sangsi. Saya sempat bertanya Ku Li, "Tengku, jika Pak Lah berundur, mungkin Datuk Seri Najib dapat banyak pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO".

Ku Li menjawab ringkas, "Kalau itu kehendak akar umbi, saya terimalah"

Datuk Kadar Shah yang turut hadiri majlis sidang akhbar itu menegur saya selepas majlis itu.
“Sedap I baca tulisan u, Melawat semula Muar dalam WATAN” katanya.
“Datuk dah baca ke?’ tanya saya.
“Dah. Malam ini jangan lupa jumpa di Don di Sri Hartamas,” kata lagi anak bekas Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Tun Sulaiman Ninam Shah.

MUHAMMAD TAIB TANDING TIMBALAN PRESIDEN?


Pagi Jumaat lalu saya sampai awal di Riverside PWTC. Sang Kelembai sudah ada di situ. Dia baru balik dari Makasar, Indonesia. Rakan baiknya, Eman Jr sampai tidak lama selepas itu. Dia beritahu Tan Sri Muhammad Taib mahu tanding jawatan Timbalan Presiden UMNO lawan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Eman Jr yakin Muhyiddin akan menang.

Selepas sidang akhbar mesyuarat majlis tertinggi jam 12, saya menunggu Muhammad Muhd. Taib untuk minta ulasannya. Dia baru habis diwawancara oleh wartawan di depan pintu utama PWTC. Saya kejarnya ke kereta,

“Tan Sri, saya dengar Tan Sri mahu tanding Timbalan Presiden” kata saya.
“Siapa cakap?” tanya Muhammad.
“UMNO Selangor” jawab saya
“Nanti saya tanya dengan UMNO Selangor” katanya tersenyum
“You dari mana?” soal Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
“Dari WATAN,” jawab saya. Nampak beliau terkejut bila dengar saya dari WATAN.

Hari itu heboh Pak Lah akan berundur sebelum 9 Oktober ini selepas selesai mesyuarat majlis tertinggi UMNO. Kita tunggulah 9 Oktober ini.

DARI KT KE SHAH ALAM


Rabu lalu saya telah berbuka puasa dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Kebetulan MB meraikan para wartawan dalam majlis anjuran KAWAT. Presiden KAWAT, Ayob Mamat turut hadir. Sudah dua tahun saya tidak menemuinya setelah saya berhenti kerja dengan akhbar Terengganu Bestari terbitan UMNO Terengganu. Ketika itu Ayob adalah Editornya manakala saya adalah wartawannya.

Walaupun saya kini bertugas sebagai Editor Watan di Kuala Lumpur, saya menerima undangan Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan untuk hadir ke majlis itu walaupun kedatangan saya mungkin tidak disenangi oleh orang tertentu dalam KAWAT. Bagaimanapun, terima kasih di atas ingatan Datuk Rosli kepada saya.
Malam itu saya terpaksa balik ke Kuala Lumpur kerana pagi esoknya saya terpaksa mewawancara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Bersama Hafiz, kami sampai di Kuala Lumpur tepat jam 4 pagi. Jam 8 sudah bangun untuk pergi ke Shah Alam.

Inilah kali pertama saya berpeluang menemuramah Tan Sri Khalid. Sepanjang wawancara selama sejam itu pelbagai isu dikupas oleh Tan Sri Khalid. WATAN akan menyiarkan wawancara penuh beliau dalam edisi 12 Oktober nanti. Bagi saya, Tan Sri Khalid adalah seorang Menteri Besar yang simple dan tidak ada protokol. Di luar pejabatnya kelihatan Datuk Dr. Goh Cheng Teik bekas ahli parlimen Gerakan sedang menunggu seseorang. Mungkin tokoh politik veteran ini akan menyertai pembangkang juga. Nampaknya BN di ambang bahaya kerana selepas SAPP, UPKO akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN selain dari Gerakan.

BERTEMU DENGAN CALON KETUA PEMUDA


Hasrat untuk bertemu dengan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir telah lama terbuku dalam hati. Akhirnya hasrat itu menjadi kenyataan pada petang Ahad, 28 September lalu apabila saya bersama dua rakan, Abdul Mubin Ismail dan Fairus berpeluang berbuka puasa dengan beliau di Menara Kuala Lumpur.

Ini adalah calon kedua Ketua Pemuda yang saya sempat saya temui selepas Datuk Zahidi Zainol Abidin yang sempat saya interbiunya untuk Watan minggu lepas. Kali ini saya dapat berborak lebih lama dengan Mukriz kerana kebetulan saya paling awal datang ke situ.

Tambahan pula pihak penganjur dapati saya adalah satu-satunya Editor akhbar yang hadir maka saya diberi peluang duduk di sebelah Mukriz. Satu penghormatan yang tak akan saya perolehi lagi. Saya dapati Mukriz adalah salah seorang calon yang layak menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tetapi dia tidak sama dengan ayahnya yang mahu Tengku Razaleigh menerajui UMNO. Mukhriz lebih suka Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui UMNO pada bulan Mac 2009.

Ramai rakan media yang hadir termasuk Zulkifli Abu Bakar dari Utusan Malaysia yang pernah menjadi wartawan Watan ketika kami sebumbung di Kumpulan Karangkraf pada tahun 80an dahulu. Paling saya terkejut saya dapat temui rakan lama di MRSM Seremban, Salahuddin Hisham yang merupakan seorang blogger. Saya dah nampak dia tetapi lupa nama kerana maklum sajalah sudah 32 tahun tak jumpa. Kali terakhir pada tahun 1976. Masa itu saya tingkatan lima sedangkan Salahuddin baru tingkatan dua. Tapi dia masih ingati saya.

“Ini Zabidi ke?” tanyanya.
“Yalah.” Jawab saya.

Dia pun bercerita kepada Mukhriz bahawa saya adalah juga produk Ansara yang kebetulan Mukhriz adalah Presiden Ansara (Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia).

MELAWAT SEMULA MUAR


Kali terakhir saya berkunjung ke Muar ialah pada tahun 2005 bersama bekas isteri saya, Rozalin Arshad. Kami ketika itu bertemu dengan seorang kawan, Khairul yang tinggal di Muar. Khairul masuk satu jenis Multi Level Marketing (MLM) yang mana jika wangnya dilabur sekian banyak dalam masa enam bulan dapat hasil yang lumayan.

Saya sudah lupa nama MLM itu yang macam Up-trend tetapi tidak fokus kepada jualan produk sebaliknya fokus kepada pelaburan ala skim piramid. Bekas isteri saya baru terima RM150 ribu dari refinance rumahnya. Maka saya cadangkan kepadanya supaya melabur dalam skim itu tetapi akhirnya dia tidak yakin dengan penjelasan Khairul. Dia tak jadi melabur. Saya pun sudah tiga tahun lost contact dengan Khairul, Nombor handphonenya sudah hilang walaupun saya tahu dia masih bekerja dengan Public Bank Muar.

Sudah tiga tahun saya tidak menjejakkan kaki ke bandar tua itu yang pernah menjadi ibu negeri Johor. Malah daerah Muar juga melahirkan ramai Menteri Besar Johor antaranya Tan Sri Othman Saad. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ghani Othman.

Pada 11 September lalu, Datuk Kamal Amir, boss lama saya di Karangkraf ajak saya mengikuti program Tengku Razaleigh Hamzah ke sana. Sekarang Kamal bekerja dengan Ku Li dan beliau yakin Ku Li akan menjadi Presiden UMNO pada Disember ini.

Kami bertolak jam 2.30 petang dari pejabat Ku Li di Langgak Golf. Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman yang jadi tuan rumah majlis Ku Li petang itu suka memandu sendiri Range Rovernya dari Kuala Lumpur ke Muar.

Anak bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Ghafar, Datuk Tamrin ikut sama serta bekas Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mustafa Mohd. Yassin yang pernah saya kenalinya di Sabah dahulu. Ketika itu beliau adalah Pengarah KEMAS Sabah manakala saya adalah wakil akhbar Watan di Sabah.

Ku Li yang sampai jam 6.45 petang di rumah tamu arwah Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Tun Sulaiman Ninam Shah disambut oleh kami semua. Beberapa pemberita tempatan turut hadir termasuk Hamdan Raja Abdullah dari The Star yang pernah menjadi stringer Watan dahulu.

Ku Li tetap ceria seperti dahulu. Semangatnya tidak pernah hilang walaupun hasratnya untuk menjadi Presiden UMNO tidak pernah kesampaian. Petang itu Ku Li memberi sumbangan kepada anak-anak yatim di Masjid Muar.

Hampir 500 orang yang hadiri majlis berbuka puasa petang itu. Sambutan di luar dugaan. Kadar Shah selaku tuan rumah puas hati dengan sambutan orang ramai.Agak unik bila sampai waktu berbuka puasa, masjid membunyikan siren selama lima minit. Siren itu boleh didengar dalam lingkungan 5 km dari bandar Muar. Sewaktu makan malam saya sempat meninjau pandangan orang Muar yang rata-rata marah kepada UMNO kerana menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail. Kita tentu masih ingat Ku Li mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Muar. Malah ketika Ku Li menerajui Semangat 46, aruah Cikgu Kahar pernah dipilih ADUN Parit Bakar yang merupakan wakil rakyat tunggal Semangat 46 di Johor.

Ramainya orang datang berbuka puasa sehingga solat maghrib, isyak dan solat sunat terawih penuh dengan saf. Kami yang solat terawih lapan rakaat terpaksa menunggu Ku Li yang menghabiskan terawihnya 20 rakaat.

Tepat jam 10.45 kami sudah sampai di bilik gerakan Kadar di belakang rumah arwah Sulaiman Ninam Shah. Malam itu Ku Li menemui jenteranya dari seluruh Johor yang akan mempastikan Ku Li mendapat sekurang-kurangnya 19 pencalonan dari Johor untuk bertanding jawatan Presiden UMNO Disember ini. Walaupun majlis berakhir hampir jam 1 pagi, tidak nampak tanda penat di wajah Ku Li. Beliau tetap seperti dahulu tersenyum melayan para penyokongnya dari Muar.

Kami bertolak balik pada jam 1.30 pagi ke Kuala Lumpur. Sesungguhnya lawatan semula ke Muar walaupun untuk beberapa jam sahaja amat mengesankan.


(untuk keterangan lanjut, sila dapatkan Watan keluaran 06/08, 28 September - 4 Oktober 2008)

TERIMA KASIH MUKHRIZ


Ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama teman-teman media di Menara Kuala Lumpur petang ini. Saya turut hadir dan inilah kali pertama saya berpeluang bersembang dengan Mukhriz yang merupakan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia.