Isnin, September 29, 2008

DARI KT KE SHAH ALAM


Rabu lalu saya telah berbuka puasa dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Kebetulan MB meraikan para wartawan dalam majlis anjuran KAWAT. Presiden KAWAT, Ayob Mamat turut hadir. Sudah dua tahun saya tidak menemuinya setelah saya berhenti kerja dengan akhbar Terengganu Bestari terbitan UMNO Terengganu. Ketika itu Ayob adalah Editornya manakala saya adalah wartawannya.

Walaupun saya kini bertugas sebagai Editor Watan di Kuala Lumpur, saya menerima undangan Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan untuk hadir ke majlis itu walaupun kedatangan saya mungkin tidak disenangi oleh orang tertentu dalam KAWAT. Bagaimanapun, terima kasih di atas ingatan Datuk Rosli kepada saya.
Malam itu saya terpaksa balik ke Kuala Lumpur kerana pagi esoknya saya terpaksa mewawancara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Bersama Hafiz, kami sampai di Kuala Lumpur tepat jam 4 pagi. Jam 8 sudah bangun untuk pergi ke Shah Alam.

Inilah kali pertama saya berpeluang menemuramah Tan Sri Khalid. Sepanjang wawancara selama sejam itu pelbagai isu dikupas oleh Tan Sri Khalid. WATAN akan menyiarkan wawancara penuh beliau dalam edisi 12 Oktober nanti. Bagi saya, Tan Sri Khalid adalah seorang Menteri Besar yang simple dan tidak ada protokol. Di luar pejabatnya kelihatan Datuk Dr. Goh Cheng Teik bekas ahli parlimen Gerakan sedang menunggu seseorang. Mungkin tokoh politik veteran ini akan menyertai pembangkang juga. Nampaknya BN di ambang bahaya kerana selepas SAPP, UPKO akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN selain dari Gerakan.