Ahad, Julai 29, 2018

ORANG TAK BETUL PUN BERSATU LAYAN



KOTA BHARU: Seorang wakil rakyat Umno disebut-sebut bakal meninggalkan parti itu tidak hadir ke program khas pengumuman mengenainya di Machang, Kelantan, hari ini.

Dalam program yang dinamakan Hijrah 2.0 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan itu, spekulasi mengenai kedudukan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha, akhirnya ditamatkan.

Namun tanpa Bakri, program Hijrah 2.0 itu tetap diteruskan seperti dijadualkan. Lebih 500 pimpinan Umno di peringkat akar umbi parti terbabit mengisytiharkan keluar dari parti tersebut.

Mengetuai mereka ialah bekas ADUN Bukit Tuku, Datuk Mohd Zain Ismail.

Timbalan Pengerusi BERSATU Kelantan Datuk Sazmi Miah berkata, beliau sememangnya mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil rakyat Umno Kelantan yang berhasrat untuk keluar daripada parti itu.

Bagaimanapun katanya setakat ini belum ada antara ADUN terbabit yang memutuskan untuk bersama BERSATU.

"Ini kerja tuhan belaka, mungkin bukan hari ini. Tapi akan berlaku juga nanti, mereka (Umno) tak boleh nak tahan.

"Hari ini 500 bekas pemimpin akar umbi Umno berhijrah," katanya ketika berucap di program tersebut.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan spekulasi seorang ADUN Umno Kelantan akan menyertai BERSATU.

Bagaimanapun, Mohd Bakri yang dijangka ADUN yang terbabit semalam muncul membuat penafian.

Sementara itu, program Hijrah 2.0 turut dihiburkan dengan kemunculan Mat Tere yang tidak ketinggalan mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno.

Mat Tere - atau nama sebenarnya, Muhammad Zul Apis Baharum - merupakan orang kurang upaya (OKU) yang pernah menggemparkan negara apabila dikatakan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui satu rakaman video, tahun lalu.

"Saya Mohd Zul Apis Baharum isytihar keluar Umno, dan akan berjuang bersama BERSATU, " katanya ketika diminta berucap sebentar.

Hadir sama Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.