Jumaat, Disember 15, 2017

SYAMSUL DEBAT TERIMA ANUGERAH SUMBANGSIH USIM

NILAI, 14 Dis (Bernama) -- Personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau lebih terkenal dengan gelaran Syamsul Debat menerima Anugerah Sumbangsih dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM (Aksis) 2016/2017 di Dewan Tuanku Canselor USIM, malam tadi.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM Mohd Zaini Othman berkata anugerah itu disampaikan kepada Syamsul Amri sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau yang signifikan kepada kejayaan program kemahasiswaan di USIM, khususnya dalam pembangunan pengucapan awam iaitu debat dan pidato.

Katanya Syamsul Amri merupakan jurulatih debat Bahasa Melayu USIM semenjak tahun 2008 dan sehingga kini telah membimbing dan melahirkan ramai pendebat berkebolehan serta menaikkan nama USIM dalam arena perdebatan institusi pengajian tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Pelbagai kejayaan besar dirangkul pasukan debat Bahasa Melayu USIM di bawah bimbingan beliau dan antaranya muncul johan dalam pertandingan debat yang berprestij seperti Debat Diraja Kategori Muda (2009); Bahas Pendidikan Islam ASEAN di Brunei (2011); Debat Piala Perdana Menteri (2011); Debat Alam Sekitar (2011); Pertandingan Debat Ibnu Khaldun (2015); Debat Saham Piala MISEE (2016) dan Cabaran Debat Muda (2016).

"Pasukan debat Bahasa Melayu USIM yang dilatih Syamsul Amri turut berjaya mara dalam beberapa pertandingan akhir debat dan kejayaan terkini adalah Naib Juara Debat Piala Menteri Besar Johor 2017 yang menyaksikan pendebat USIM turut dinobatkan Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir, " katanya di sini, hari ini