Isnin, Januari 25, 2016

DATO MOHD NOOR DAN DATO SHAMSUDDIN AWANG SUDAH TIADA

Semalam penduduk Kemaman menerima berita dua kematian. Paginya, seorang bekas AJK Umno Bahagian Kemaman, Dato Mohd Noor Yusof atau Mat Nor Taja meninggal dunia di Hospital Selayang. Jenazahnya dibawa ke Chukai untuk dikebumikan.

Manakala sebelah malam pula bekas Pengerusi 4B Kemaman, Dato Shamsudin Awang meninggal dunia. Mat Nor Taja yang berasal dari Kg Tok Dir, Bukit Payong menetap di Kemaman dari tahun 60an. Pada mulanya beliau bekerja sebagai attendan hospital Kemaman. Selepas itu beliau  menjadi kontraktor dan beliau amat rapat dengan MB Terengganu dan ADUN Chukai, Wan Mokhtar Wan Ahmad.

Dengan naungan politik yang kuat, Mat Nor Taja menjadi orang Kemaman yang paling kaya dan akhirnya menjadi pemaju perumahan yang terkemuka dengan syarikat SMNY. Anaknya Zaki pernah menjadi Bendahari Pemuda ketika Dr Ramli Taib menjadi ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman dari tahun 1998-2001 tetapi selepas BN kalah di Terengganu, Zaki bersara terus dari politik.

Yang lucu Wan Mokhtar selaku MB pernah mengumumkan dalam akhbar bahawa kerajaan telah menemui galian baru di Rantau Abang. Kawan saya bekas AJK Umno Bahagian Kemaman pergi ke pejabat PTG di Kuala Terengganu untuk membuat permohonan kawasan galian itu tetapi rupa rupanya PTG sudah luluskan kawasan itu kepada Mat Nor Taja. Betapa rapatnya Wan Mokhtar dengan Mat Nor Taja.

Setiap kali pilihanraya bagi DUN Chukai, arwah adalah financiernya. Bukan sahaja untuk DUN Chukai tetapi untuk seluruh DUN di Terengganu. Pernah seorang rakan beritahu arwah panggilnya  pegang wang tunai RM1 juta di rumahnya pada pilihanraya  umum 1995 kerana arwah tidak percaya kepada anaknya.

 Masa itu ahli Semangat 46 melanggar kereta anaknya Zaki di Geliga. Jadi arwah pergi ke Geliga untuk selesaikan kes kemalangan itu dan kawan tadi terpaksa menunggu sampai malam di rumah arwah pegang duit itu dalam bag bertroli sehingga arwah balik.tetapi selepas itu arwah masukkan semula wang itu ke dalam peti besinya kerana dah lewat malam nak hantar duit itu ke Kuala Terengganu.

Saya tak biasa berurusan dengan arwah kerana arwah pun tak kenali saya. Tetapi beliau king maker dalam politik Kemaman. Orang yang nak jadi calon mesti dapat restu beliau. Wan Mokhtar amat mempercayainya. Pernah Wan Mokhtar mahu memberi pingat Dato kepada Ahmad Said selaku Exco Kerajaan Negeri tetapi arwah berpendapat lebih baik pingat itu diberi kepada timbalan ketua bahagian, Dato Abu Bakar Ali kerana Ahmad Said ketua pemuda. Beliau dikatakan tidak ngam dengan Ahmad Said.

Saya lebih rapat dengan arwah Shamsudin Awang yang juga bekas Penolong Pentadbir Tanah Kemaman. Dengan bantuan Setiausaha Belia 4B Kemaman, Yusof Jaafar , Shamsudin Awang berjaya mengalahkan Tuan Kecil Tuan Tengah dalam perebutan jawatan Pengerusi Belia 4B Kemaman pada tahun 1990an.

Selepas menjadi Pengerusi Belia 4B Kemaman, arwah berhasrat nak jadi ADUN Ayer Putih menggantikan Dato Harun Hassan. Pada tahun 1999, beliau kecewa tak dapat jadi calon BN apabila Wan Mokhtar memilih Dr Ramli Taib dari Kijal sebagai calon Ayer Puteh.Hasrat pengundi Ayer Puteh mahu anak tempatan sebagai calon berkecai.

 Selepas itu arwah meletakkan jawatan sebagai TCS dan bergiat dalam perniagaan sehingga menerima gelaran Dato dari Sultan Pahang.Sudah lama saya tidak temui arwah selepas beliau letak jawatan TCS kerana beliau sibuk ke Kuala Lumpur dengan urusan perniagaannya. Oleh itu saya terkejut menerima berita kematiannya kerana beliau masih muda 56 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua. Alfatihah.