Jumaat, Oktober 01, 2010

KALAU ISA SAMAD BOLEH JADI CALON, MASAKAN KU LI TIDAK?


Kalau bekas Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Isa Samad boleh dijadikan calon BN bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang pada tahun lepas, apa salahnya BN kali ini mencalonkan ahli parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon bagi pilihanraya kecil DUN Galas.

BN lebih mudah bekerja kalau Ku Li dijadikan calon kerana semua orang sudah kenal Ku Li. Kalau letak orang baru, menjadi masalah bagi Bn untuk memperkenalkan calon baru dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Justru itu cadangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian wajar diambil kira oleh pucuk pimpinan parti. Ku Li bukannya mahu jadi Menteri Besar Kelantan pada pilihanraya umum akan datang tetapi beliau diperlukan di saat-saat ini untuk merampas kembali kerusi DUN Galas.

Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya yakin kewibawaan dan kepemimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang satu kelebihan bagi BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS.

Saya percaya dengan berkat kepimpinan beliau sebagai Ahli Parlimen selama lebih 30 tahun serta sudah memimpin UMNO Gua Musang selama lebih 20 tahun akan memberikan kekuatan baru kepada UMNO Kelantan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sudah tiba masanya Ku Li diberi peranan yang lebih termasuk sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan keupayaan beliau sebagai orang lama parti selain boleh memainkan peranan yang lebih di DUN Kelantan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima yang merampas kerusi itu daripada BN pada pilihan raya umum lalu apabila menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 Mohamad Saufi memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,729 undi. Kerusi itu sebelum ini adalah kubu kuat BN dan peranan Tengku Razaleigh diperlukan bagi merampasnya kembali.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ketua UMNO bahagian Gua Musang itu sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN bagi pilihan raya kecil itu.
Anuar berkata, pucuk pimpinan parti perlu memikirkan perkara itu dengan serius kerana khidmat bakti Tengku Razaleigh diperlukan bagi membantu masyarakat Kelantan terutama di Gua Musang.

Rakyat Kelantan, sedikit sebanyak memerlukan orang seperti Ku Li untuk membantu negeri ini keluar dari kepompong kedaifan dan fahaman songsang PAS yang menular dikalangan masyarakat luar bandar dengan perpecahan yang boleh menyebabkan masa depan orang Melayu hancur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda Kelantan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang akan bertanding dan pihaknya akan memberi sepenuh sokongan bagi memastikan kemenangan BN.

APA FAEDAH UTUSAN SIAR BERITA SUARA MINTA TOLONG


Hairan juga dengan sikap akhbar harian Utusan Malaysia. Apa faedahnya Utusan menyiarkan berita seram terdengar suara orang minta tolong di Ladang Gadong tempat pembunuhan tokoh usahawan kosmetik, Datuk Sosilawaty?

Adakah Utusan nak menjadi akhbar misteri pula seperti Warta Perdana? Sebagai akhbar harian, tidak perlulah Utusan menyiarkan berita seperti ini kerana ia tidak menguntungkan masyarakat.

Baca berita penuh ini seperti berikut:-

Ladang Gadong di Kuala Langat, Selangor yang menyimpan kisah tragis melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, kini mula menerima gangguan suara misteri.

Beberapa anggota polis yang bertugas mengawal lokasi pembunuhan kejam itu mendakwa mendengar 'suara-suara' meminta tolong hampir setiap malam.

Ekoran itu, polis dikatakan terpaksa menambah bilangan anggota yang berkawal daripada dua kepada lima hingga enam orang mengikut syif setiap hari.

"Pada mulanya, hanya dua anggota bertugas namun bilangannya terpaksa ditambah kerana ada yang mengalami gangguan-gangguan ketika bertugas.

"Mereka diganggu 'suara-suara' itu yang sayup-sayup kedengaran meminta tolong," kata sumber sambil memberitahu salah seorang suspek kes itu juga mengakui 'didatangi' lembaga.

Menurutnya, 'suara-suara' itu biasanya muncul dari dalam ladang kelapa sawit terbabit di waktu tengah malam semasa anggota-anggota sedang berehat di pondok kecil yang dibina mereka tidak jauh dari tali air.

Katanya, anggota-anggota terbabit juga tidak dapat memastikan dari arah mana 'suara-suara' itu kerana keadaan ladang yang amat gelap selain ia hanya sayup-sayup kedengaran.

Katanya lagi, bagi langkah berjaga-jaga anggota tidak melakukan rondaan seorang diri sebaliknya dijalankan secara berkawan pada setiap jam.

Sementara itu, menurutnya, sebatang tali air di ladang tersebut dipercayai telah dijadikan oleh suspek-suspek sebagai tempat pembuangan tulang-tulang mangsa di dalam kes berkenaan.

Katanya, bagi mengumpul bahan-bahan bukti itu, sebuah jengkaut digunakan untuk membuat dua tambak di bahagian kiri dan kanan tali air tersebut.

"Sebuah jentera Bomba dan Penyelamat pula ditugaskan untuk menyedut air di dalam tali air itu. Setelah kering, barulah forensik menjalankan kerja-kerja mengumpul bukti seperti tulang.

"Ia bagaimanapun terpaksa mengambil masa kerana tulang-tulang yang bercampur dengan selut itu terpaksa dibersih satu persatu," ujarnya.

Kata sumber itu lagi, cabaran lain dihadapi anggota bertugas adalah kawasan tersebut mempunyai bilangan lalat yang luar biasa dipercayai ekoran kematian ternakan seperti kambing serta haiwan peliharaan, iaitu anjing.

"Kalau duduk sebentar sahaja, lalat akan memenuhi muka. Haiwan-haiwan itu mati kerana kini tidak lagi diberi makan sejak tuannya ditahan polis," ujarnya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.

Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.