Jumaat, Oktober 01, 2010

KALAU ISA SAMAD BOLEH JADI CALON, MASAKAN KU LI TIDAK?


Kalau bekas Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Isa Samad boleh dijadikan calon BN bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang pada tahun lepas, apa salahnya BN kali ini mencalonkan ahli parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon bagi pilihanraya kecil DUN Galas.

BN lebih mudah bekerja kalau Ku Li dijadikan calon kerana semua orang sudah kenal Ku Li. Kalau letak orang baru, menjadi masalah bagi Bn untuk memperkenalkan calon baru dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Justru itu cadangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian wajar diambil kira oleh pucuk pimpinan parti. Ku Li bukannya mahu jadi Menteri Besar Kelantan pada pilihanraya umum akan datang tetapi beliau diperlukan di saat-saat ini untuk merampas kembali kerusi DUN Galas.

Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya yakin kewibawaan dan kepemimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang satu kelebihan bagi BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS.

Saya percaya dengan berkat kepimpinan beliau sebagai Ahli Parlimen selama lebih 30 tahun serta sudah memimpin UMNO Gua Musang selama lebih 20 tahun akan memberikan kekuatan baru kepada UMNO Kelantan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sudah tiba masanya Ku Li diberi peranan yang lebih termasuk sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan keupayaan beliau sebagai orang lama parti selain boleh memainkan peranan yang lebih di DUN Kelantan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima yang merampas kerusi itu daripada BN pada pilihan raya umum lalu apabila menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 Mohamad Saufi memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,729 undi. Kerusi itu sebelum ini adalah kubu kuat BN dan peranan Tengku Razaleigh diperlukan bagi merampasnya kembali.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ketua UMNO bahagian Gua Musang itu sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN bagi pilihan raya kecil itu.
Anuar berkata, pucuk pimpinan parti perlu memikirkan perkara itu dengan serius kerana khidmat bakti Tengku Razaleigh diperlukan bagi membantu masyarakat Kelantan terutama di Gua Musang.

Rakyat Kelantan, sedikit sebanyak memerlukan orang seperti Ku Li untuk membantu negeri ini keluar dari kepompong kedaifan dan fahaman songsang PAS yang menular dikalangan masyarakat luar bandar dengan perpecahan yang boleh menyebabkan masa depan orang Melayu hancur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda Kelantan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang akan bertanding dan pihaknya akan memberi sepenuh sokongan bagi memastikan kemenangan BN.