Jumaat, Oktober 16, 2015

BILA LAGI ZAM MAHU TINGGALKAN KAPAL NAJIB?

Semalam bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin meramalkan lebih ramai lagi pemimpin Umno akan meninggalkan kapal Umno yang mahu tenggelam.

Kata Zam, mereka akan mengikut jejak langkah bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang mengisytiharkan menyertai PKR semalam.

Apa yang hairannya Saifuddin menyertai PKR kerana dari dahulu beliau adalah orang kuat Anwar Ibrahim. Bukan Saifuddin tidak sayang kepada Umno tetapi Umno yang mahu memecatnya selepas beliau menyertai majlis pelancaran Parti Amanah yang dipimpin oleh Mat Sabu.

Soal Saifuddin satu liabiliti kepada Umno tidak timbul kerana pada perkiraaan beliau, beliau boleh menang dalam PRU akan datang jika beliau bertanding dalam PRU akan datang. Pada tahun 2013, beliau selaku calon BN parlimen Temerloh kalah kepada calon PAS, Nasruddin Hassan.

Kenapa calon PAS menang? Kerana orang Cina mengundi PAS. Dengan teori yang sama orang Cina tidak akan mengundi BN lagi, maka perkiraan Saifuddin beliau akan menang kalau bertanding atas tiket PKR. DAP tidak mahu menerima PAS dalam Pakatan Harapan, maka kerusi Temerloh akan menjadi pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PKR.

Mampukah PKR menang dalam pertandingan tiga penjuru ini? Sejauh mana DAP mampu membantu kemenangan Saifuddin nanti. Pengundi Melayu akan berpecah tiga kepada BN, PKR dan PAS maka siapa yang untung dalam PRU akan datang?

Justru itu Saifuddin sudah mencongak kemenangan ini maka pilihannya menyertai PKR dirasakan amat tepat. Saifuddin adalah satu-satunya pemimpin kedekut yang menang bertanding majlis tertinggi Umno pada tahun 2008. Kawan saya yang rapat dengan Saifuddin berkata Saifuddin bukan sahaja kedekut dengan pemgundi malah takut bini pula. Kalau beliau tukar imej menjadi pemimpin yang pemurah dan tidak takut bini, mungkin beliau menang dalam PRU akan datang. Sama sama kita lihat keputusan PRU akan datang.

Menurut Zam, ramai yang akan keluar dari kapal Umno yang mahu tenggelam. Kita mengalu-alukan Dr Mahathir Mohamad, Sanudi Junid, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal keluar dari Umno kerana mereka adalah duri dalam daging. Malah saya ingin bertanya kepada Zam, bila Tan Sri mahu ikut jejak langkah Saifuddin?

Umno mahu pemimpin yang setia dengan parti dalam apa keadaan sekalipun. Dalam suasana Umno diasak dengan isu 1MDB, perlu ada keseragaman pendapat mempertahankan Umno dan bukannya mengkritik Umno secara terbuka yang jelas memberi peluru hidup kepada pembangkang untuk terus menyerang Umno.

 Umnolah yang memberi mereka mewah ketika berkuasa dahulu, bila tiada kuasa mereka sudah lupa kepada jasa Umno seolah-olah Umno ini hanya untuk orang yang berkuasa sahaja. Orang kampung yang kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang tetap setia dengan Umno kerana bagi mereka hanya Umno penyelamat orang Melayu. Mereka tidak peduli pemimpin mereka memperalatkan undi mereka untuk jadi kaya asalkan BN kekal memerintah negara.