Sabtu, Februari 28, 2009

KHAIRY MINTA JAWATANKUASA SIASAT KARPAL


Naib Ketua Pergerakan UMNO, Khairy Jamaluddin akan bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat untuk meminta sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam.

Beliau berkata, siasatan perlu dibuat meliputi apa juga provokasi yang berpunca daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

''Saya tidak mahu seolah-olah jawatankuasa yang ditubuh untuk siasat Pemuda UMNO sahaja sebab semalam Parlimen luluskan usul siasat tindakan Pemuda UMNO Selangor yang masuk ke Parlimen tanpa izin.

''Saya rasa kita juga perlu siasat apa juga provokasi yang datang daripada seorang ahli Parlimen iaitu Karpal kerana ia sama penting. Jangan kita hanya berat sebelah, siasat Pemuda UMNO tanpa melihat punca segala masalah," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perjumpaan dengan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di Kedah, di Alor Star semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kekecohan yang berlaku di perkarangan bangunan Parlimen semalam apabila sekumpulan ahli Pemuda UMNO Selangor mendesak karpal meminta maaf kerana menuduh anggota pergerakan itu mengirim dua butir peluru ke kediamannya.

Kumpulan tersebut juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan ungkapan 'celaka' yang dibuat oleh Karpal.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, punca segala masalah bukannya Pemuda UMNO tetapi Karpal dan beliau akan cuba untuk membawa perkara tersebut ke pengetahuan Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, Karpal perlu menghentikan provokasi serta tuduhan liar, gila dan berniat jahat yang dibuatnya itu sehingga menyebabkan seluruh 700,000 ahli pergerakan berkenaan hilang kesabaran.

''Inilah sebenarnya menimbulkan kemarahan, melibatkan Pemuda UMNO Selangor yang pergi ke Parlimen, inilah kemarahan dicetuskan Karpal sendiri, provokasi dibuat Karpal telah menimbulkan keadaan tegang," tambah beliau.

Katanya, kemarahan Pemuda UMNO tidak dapat dibendung apabila pergerakan itu dipanggil 'celaka' dan dituduh hantar peluru pistol dan sebagainya.

''Kalau kita melihat yang menjadi mangsa bukanlah Karpal sedangkan beliaulah yang memulakan segala-galanya, beliaulah yang bermula bermain dengan api dan apabila api itu tak dapat dipadam kerana provokasinya, janganlah persalahkan UMNO," kata beliau.

Khairy berkata, Karpal tidak bertanggungjawab dengan tuduhan dan dakwaan beliau serta seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan serta ketandusan modal.

Katanya, beliau telah cabar Karpal dalam tempoh 24 jam supaya beri penjelasan, tapi sehingga kini masih tidak. Sebagai kesimpulan apa yang disebut oleh Karpal dua hari lalu adalah rekaan.

''Ia adalah satu fitnah yang membuktikan beliau seorang penipu dan pengecut kerana sebut dalam Dewan Rakyat di mana beliau ada kekebalan dari segi undang undang, kalau dia berani mestilah dia mengulangi tuduhan itu di luar dewan," katanya.

SYED HAMID PERLU BUAT SESUATU


Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria terkejut dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Tokoh Maal Hijrah itu menegaskan Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan berbeza dengan agama lain.

“Mengapa hendak bertolak-ansur sangat dalam hal ini? Kalau ikut enakmen jabatan agama islam negeri pun memang tidak dibenarkan,” katanya.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia mendesak kerajaan membatalkan semula pewartaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah pewartaan tersebut mampu mencetuskan kegelisahan di kalangan orang Islam.

“Keputusan itu juga dilihat melanggar arahan Jemaah Menteri yang dibuat pada 19 Mei 1986,” katanya.

Zainul Rijal memberitahu, mahkamah sepatutnya tidak membenarkan penggunaan kalimah tersebut bagi digunakan oleh orang bukan Islam, tambahan lagi 10 buah negeri telah menggubal undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Enakmen tersebut memperuntukkan adalah menjadi kesalahan menggunakan kalimah tersebut untuk kegunaan orang bukan Islam.

Dalam perkembangan sama, Zainul Rijal memberitahu, mahkamah tidak sepatutnya mengatasi keputusan Jemaah Menteri dan undang-undang yang diperkenankan oleh raja Melayu.

‘‘Hal ini seolah-olah ingkar dengan titah perintah raja yang melibatkan hal ehwal agama Islam,” katanya.

Di PULAU PINANG pula, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya terkejut dengan keputusan KDN membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama Kristian.

Beliau, yang bimbang dengan perkembangan itu, menggesa KDN membuat penelitian sedalam-dalamnya berhubung perkara itu kerana ia menyentuh sensitiviti agama suci itu dan umat Islam di negara ini.

“Bagi saya ini amat bahaya kerana ia boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat terutama yang beragama Islam.

“Dalam kes penerbitan Herald – The Catholic Weekly, perkara tersebut masih menjadi perdebatan. Kenapa warta ini boleh dikeluarkan?’’ soalnya.

Lebih menghairankan Shabudin, mengapa isu itu dibangkitkan pada masa sekarang walaupun agama Islam sudah diangkat sebagai agama rasmi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar perlu menggunakan kuasanya untuk membatalkan arahan ini kerana jika beliau tidak peka, ia boleh mengurangkan undinya yang bertanding sebagai calon Naib Presiden UMNO pada Mac depan.

Kenapa KDN perlu buat keputusan ini menjelang pemilihan UMNO? Adakah ia mahu mengalahkan Syed Hamid? Ada orang berkata jika KDN tak buat begini pun, Syed Hamid tetap kalah. Tetapi mungkin beliau tidak kalah teruk.

Oleh itu Syed Hamid perlu gunakan kuasanya supaya para perwakilan UMNO tidak memulaunya.