Sabtu, Februari 28, 2009

KHAIRY MINTA JAWATANKUASA SIASAT KARPAL


Naib Ketua Pergerakan UMNO, Khairy Jamaluddin akan bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat untuk meminta sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam.

Beliau berkata, siasatan perlu dibuat meliputi apa juga provokasi yang berpunca daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

''Saya tidak mahu seolah-olah jawatankuasa yang ditubuh untuk siasat Pemuda UMNO sahaja sebab semalam Parlimen luluskan usul siasat tindakan Pemuda UMNO Selangor yang masuk ke Parlimen tanpa izin.

''Saya rasa kita juga perlu siasat apa juga provokasi yang datang daripada seorang ahli Parlimen iaitu Karpal kerana ia sama penting. Jangan kita hanya berat sebelah, siasat Pemuda UMNO tanpa melihat punca segala masalah," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perjumpaan dengan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di Kedah, di Alor Star semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kekecohan yang berlaku di perkarangan bangunan Parlimen semalam apabila sekumpulan ahli Pemuda UMNO Selangor mendesak karpal meminta maaf kerana menuduh anggota pergerakan itu mengirim dua butir peluru ke kediamannya.

Kumpulan tersebut juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan ungkapan 'celaka' yang dibuat oleh Karpal.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, punca segala masalah bukannya Pemuda UMNO tetapi Karpal dan beliau akan cuba untuk membawa perkara tersebut ke pengetahuan Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, Karpal perlu menghentikan provokasi serta tuduhan liar, gila dan berniat jahat yang dibuatnya itu sehingga menyebabkan seluruh 700,000 ahli pergerakan berkenaan hilang kesabaran.

''Inilah sebenarnya menimbulkan kemarahan, melibatkan Pemuda UMNO Selangor yang pergi ke Parlimen, inilah kemarahan dicetuskan Karpal sendiri, provokasi dibuat Karpal telah menimbulkan keadaan tegang," tambah beliau.

Katanya, kemarahan Pemuda UMNO tidak dapat dibendung apabila pergerakan itu dipanggil 'celaka' dan dituduh hantar peluru pistol dan sebagainya.

''Kalau kita melihat yang menjadi mangsa bukanlah Karpal sedangkan beliaulah yang memulakan segala-galanya, beliaulah yang bermula bermain dengan api dan apabila api itu tak dapat dipadam kerana provokasinya, janganlah persalahkan UMNO," kata beliau.

Khairy berkata, Karpal tidak bertanggungjawab dengan tuduhan dan dakwaan beliau serta seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan serta ketandusan modal.

Katanya, beliau telah cabar Karpal dalam tempoh 24 jam supaya beri penjelasan, tapi sehingga kini masih tidak. Sebagai kesimpulan apa yang disebut oleh Karpal dua hari lalu adalah rekaan.

''Ia adalah satu fitnah yang membuktikan beliau seorang penipu dan pengecut kerana sebut dalam Dewan Rakyat di mana beliau ada kekebalan dari segi undang undang, kalau dia berani mestilah dia mengulangi tuduhan itu di luar dewan," katanya.