Ahad, November 11, 2018

MACAM MANA RAZIF PILIH BUKAN ORANG POLITIK JADI CALON BN?

KUALA TERENGGANU: Heboh satu negara apabila Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membayangkan kemungkinan bekas calon parlimen BN Kuala Nerus Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad akan menyertai Parti Amanah.

Namun demikian beliau tidak hadiri majlis Makan Malam Pemuda Parti Amanah Terengganu dua malam lepas dan beliau menafikan akan meninggalkan Umno.

Beliau mengaku bahawa Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda adalah bekas pelajar Motivasi Alihan Pelajar beliau dan rakan beliau.

Dr Tengku Asmadi dijemput menghadiri majlis tersebut dan beliau tidak sangka pula kesedian beliau untuk hadiri majlis itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

Beliau akhirnya tak jadi hadir apabila ia telah menjadi viral.

"Saya bukan orang politik saya orang motivasi. Saya bersetuju hadir atas sifat orang motivasi maka saya bebas memenuhi apa juga jemputan daripada mana-mana pihak," katanya lagi.

Itu yang peliknya macam mana bekas ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Razif Abdul Rahman memilih bukan orang politik sebagai calon BN parlimen Kuala Nerus.

Sepatutnya orang yang ada jawatan di bahagian yang diutamakan sebagai calon BN. Tetapi oleh kerana Razif mahu menonjolkan kawan baiknya yang ada kelulusan PhD maka pengundi Kuala  Nerus menolak Dr Tengku Asmadi.

Beliau dikalahkan calon PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dengan majoriti 8,447 undi. Khairuddin mendapat 37,974 undi manakala Dr Tengku Asmadi memungut 29,527 undi dan calon PKR, Abdullah Muhamad mendapat 4,604 undi.

Kesimpulannya, setinggi mana pun kelulusan yang ada, selalu keluar di kaca televisyen belum menentukan kemenangan calon BN kerana beliau dianggap sebagai calon payung terjun. Oleh itu untuk PRU akan datang BN kena pilih calon yang disukai pengundi tempatan yang bergaul dengan penduduk Kuala Nerus selama lima tahun. Jangan pilih lagi calon payung terjun kerana zaman BN meletakkan songkok sebagai calon sudah berlalu.


LUCU SERU BOIKOT FILEM TANPA TONTON FILEM TAPI BACA SINOPSIS SAHAJA



KUALA LUMPUR: Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Md Nor  (gambar )hari ini menggesa rakyat Malaysia memboikot filem Polis Evo 2 yang kini ditayangkan di pawagam.

Beliau mendakwa filem itu cuba memberi imej buruk kepada Islam dan tindakan boikot itu boleh memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat dalam filem itu.

"Apabila saya membaca sinopsis filem (Polis) Evo 2 yang diarahkan pengarah suam-suam kuku yang cuba memalitkan imej buruk pada umat Islam, maka saya mengajak rakyat memboikot filem sampah ini.

"Berikan pengajaran kepada penerbit, pengarah bahkan pelakon yang berada dalam industri seni negara ini, hargailah nikmat keamanan negara dan hormatilah perasaan umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Filem bergenre aksi komedi itu mengisahkan tindakan polis membanteras sekumpulan pengganas yang menduduki sebuah pulau terpencil, bersama beberapa ratus penduduk.

Konflik timbul apabila kumpulan itu - diketuai Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat - menjadikan penduduk pulau itu sebagai tebusan.


Menerusi trailer yang dimuat naik di Youtube, Hafsyam dilihat mengenakan serban dan memberikan ceramah berbentuk agama. Dia juga dipaparkan mendesak polis memulangkan seorang individu bernama "Imam Husyairi".

Mengulas lanjut, Riduan berkata memaparkan Islam sebagai agama pengganas bukanlah perkara baru di luar negara, tetapi beliau mempersoalkan mengapa filem tempatan juga perlu mengikut jejak langkah sama.

"Kini industri filem Malaysia juga terjebak dalam naratif jelik menyudutkan Islam sebagai pemicu keganasan.

"Dalam drama Melayu, watak antagonis bertudung labuh, berjubah dan meminta serban sejak dekad 1980-an melatari drama dan filem Melayu. Tajuk seperti Fenomena, Guru Yahya dan puluhan yang lain adalah memualkan intelek," katanya lagi.

Beliau mengambil pengajaran sebuah filem Mesir bertajuk Irhabi yang memaparkan watak seorang imam sebagai pengganas yang akhirnya gagal di pawagam kerana diboikot orang ramai.

Filem tersebut diterbitkan pada 1994 menampilkan pelakon terkenal negara itu, Adel Imam.

"Watak antagonis ini disolek dengan lebam hitam pada dahinya...susuk seorang pengganas ini diwajahkan dengan berpakaian serban, berjubah dan antisosial."

Katanya, bantahan orang awam serta ancaman golongan radikal menyebabkan filem itu tidak mendapat sambutan.

"Selepas kegagalan filem propaganda itu, penerbit filem di Mesir lebih berhati-hati berkenaan sentuhan pada ajaran Islam dan watak berpakaian agama...penggiat filem (di negara itu) telah belajar sesuatu, menghormati Islam dan penganutnya.

"Ayuh buktikan, rakyat Malaysia. Tolak perlecehan kepada mana-mana agama. Diam kita akan membenarkan kebejatan mereka," katanya lagi.