Sabtu, Julai 23, 2016

ANAK TERENGGANU JADI GABENOR BANK NEGARA YANG BAHARU

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Buat kali pertama, temu bual media yang diberikan susulan pelantikan beliau sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) mulai 1 Mei, Datuk Muhammad Ibrahim didapati dalam keadaan relaks dan tenang meskipun mengetahui kami bertiga dari Bernama akan bertanyakan pelbagai soalan mengenai pelantikan beliau sebagai peneraju bank pusat.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang memperoleh pelbagai pengiktirafan, termasuk dinamakan sebagai antara gabenor terbaik bank pusat dunia selain menerima Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat pada Anugerah Perbankan Pusat pada Januari.

Sebagai antara tiga timbalan Zeti, Muhammad mengetahui betapa pentingnya tugasan yang dipegang oleh wanita pertama itu selama 16 tahun, menjadikannya gabenor kedua paling lama berkhidmat selepas Tun Ismail Ali.

"Tiada siapa yang cukup bersedia untuk menjadi Gabenor memandangkan peranan itu sangat penting. Penting untuk negara, ia memerlukan pemikiran dinamik dan sentiasa berfikiran ke hadapan dari segi isu yang mahu kami tangani," katanya dalam temu bual itu.

Zeti sebelum ini menyifatkan pelantikan Muhammad sebagai positif untuk negara.


"Sebagai sebahagian daripada pasukan dasar, Bank akan mempunyai kesinampungan dan kepastian yang sangat diperlukan dalam tempoh yang tidak menentu ini.

"Saya menaruh sepenuh keyakinan di atas keupayaan beliau untuk mengetuai Bank," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyuarakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Muhammad, BNM akan terus membantu dan memberi nasihat kepada kerajaan selain mengetengahkan pandangan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Kami mula bertanyakan perasaan beliau selepas pelantikannya diumumkan secara rasmi, setelah media menulis pelbagai spekulasi bahawa orang luar dari Bank Negara mungkin akan menggantikan Zeti?

"Bagi saya, jawatan ini merupakan kesinambungan kerjaya saya dengan bank pusat. Ia merupakan tugasan dan peluang untuk berkhidmat kepada negara. Saya mengetahui bahawa jika anda berada di Bank Negara, anda boleh membuat perubahan sebenar. Sejak 32 tahun yang lepas, saya tahu bahawa saya akan membuat perubahan di Bank Negara.

"Dan menerusi pasukan yang kuat di bank pusat, kami dapat membuat perubahan yang perlu. Itulah yang paling penting bagi saya selaku Gabenor - keupayaan untuk berkhidmat kepada negara. Ia merupakan suatu penghormatan memandangkan tidak semua orang mempunyai peluang itu. Ia meupakan pelantikan yang sangat penting bagi sesiapa sahaja," kata Muhammad.

Berikut ialah temu bual penuh:

S: Bolehkah anda berkongsi perasaan dan moral staf secara keseluruhannya apabila personaliti Bank Negara dilantik menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz disebalik spekulasi bahawa orang dari luar bank pusat mungkin dilantik?

J: Saya berpendapat ia lebih kepada rasa lega dan bangga kerana pada asasnya kami dapat menyusun langkah ke hadapan memandangkan kami telah menyusun banyak rancangan. Sebagai contoh, kami mempunyai Pelan Induk Perbankan yang telah dilaksanakan sejak 2011, oleh itu perlu ada kesinambungan dalam melaksanakan semua tindakan, saya fikir ini sangat penting bagi mengelak sebarang masalah. Setakat ini pelaksanaan rancangan ini berjalan lancar dan ada kesinambungan. Saya rasa itulah yang paling penting.

S: Anda menyertai Bank Negara pada 1984 dan memegang pelbagai jawatan sejak itu. Pada peringkat awal dengan bank pusat, pernahkan anda terfikir bahawa pada suatu hari kelak anda akan menjadi Gabenor?

J: Saya rasa perkara paling penting ketika memulakan kerjaya pertama, kita hanya mahu melakukan yang terbaik. Saya pemegang biasiswa bank dan hakikat saya mendapat tempat di bank pusat merupakan keistimewaan hebat bagi saya kerana memperoleh peluang untuk belajar mengenai perbankan dan ekonomi secara menyeluruh. Inilah yang saya mahukan sejak di bangku sekolah. Oleh itu menyertai bank pusat merupakan impian menjadi kenyataan bagi saya, dari segi kerjaya.

S: Apakah pandangan anda mengenai bekas Gabenor, Tan Sri Zeti?

J: Kepimpinan berteladan. Beliau memberikan banyak ruang kepada kami. Bagi kebanyakan kami di bank. Beliau memberikan banyak peluang untuk kami merealisasikan sepenuhnya potensi kami, memberikan kami autonomi dalam menguruskan beberapa dasar utama yang dimulakan oleh bank. Saya berpendapat inilah pencapaian terbesar beliau - membangunkan pemimpin masa hadapan.

S: Sejauh mana sukarnya menggantikan Zeti?

J: Kami bermula dari akar umbi, oleh itu pada asasnya kami belajar dari peringkat bawah. Apa yang dilakukan oleh Gabenor Zeti sekian lama (beliau bersama Bank Negara selama 35 tahun) ialah mempersiapkan ramai pemimpin di bawahnya supaya kami sentiasa bersedia untuk bertanggungjawab serta menerima cabaran. Oleh itu pelaburan untuk modal insan sangat penting.

S: Bila kami akan dapat melihat tandatangan anda pada wang kertas ringgit?

J: (terus ketawa). Ia akan mengambil masa, tiga hingga empat bulan. Ini disebabkan kami menempah mata wang secara berkala. Apabila stok sedia ada selesai, kami akan menambah stok baharu, dan itulah masanya (wang kertas) mempunyai tanda tangan saya. Saya tidak menjangkakan soalan ini.

S: Apakah peristiwa yang paling sukar dilupakan dan mencabar dalam menangani krisis kewangan?

J: Ada banyak perkara mencabar yang kami lakukan di bank pusat. Jika anda lihat sejarah kami, termasuk tahun 80-an dan 90-an, berlaku beberapa krisis, namun tidaklah sebesar krisis kewangan Asia. Sebagai contoh, (seperti ) koperasi, pengambilan deposit dan sebelum itu, ada isu berkaitan ledakan sektor hartanah semasa kepimpinan Gabenor Tan Sri Ahmad Don. Kita telah melalui pelbagai proses. Namun krisis Asia 1997/98, memang ternyata antara yang paling mencabar yang pernah dihadapi oleh bank pusat, dan oleh sebab kami melaksanakan dasar yang tidak ortodoks, kami dikritik hebat oleh dunia secara meluas. Ini amat ironis sekali memandangkan kini ia (langkah itu) menjadi amalan biasa, ia menjadi dasar arus perdana. Ia sangat mencabar dan ada ketikanya menarik kerana kami perlu memikirkan langkah dan tindakan yang sudah pun dilakukan sebelum ini. Kami tidak pernah melaluinya, namun kami berjaya melaksanakan beberapa langkah dasar yang berkesan dan unik dalam persekitaran yang kami hadapi ketika itu.

S: Bagaimana anda merangka dan melaksanakan langkah-langkah ini?

J: Inilah sebab mengapa pelaburan untuk sumber insan sangat penting. Kami membuat pelaburan yang besar untuk petugas kami. Kami menyediakan program biasiswa, kami menghantar mereka untuk penempatan, kami menghantar mereka ke tempat lain untuk pendedahan, kami gilirkan tugas mereka dalam bank pusat ini sendiri supaya mereka boleh mempelajari pelbagai aspek mengenai bank pusat. Oleh itu pembangunan sumber insan kami sangat kukuh, malah semasa yang menyertai bank pusat, saya telah melalui pelbagai fasa dan diberikan pelbagai peluang untuk memajukan diri sendiri, dan memberi pendedahan kepada orang lain. Kami menerusikan legasi itu. Manfaat utama pembangunan sumber insan ialah apabila anda berhadapan dengan kesukaran dan isu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mereka akan dapat bersatu, berfikir secara kumpulan dan menyediakan dasar yang kami rasa paling sesuai untuk negara.

S: Masih adakah kebebasan dalam mengurus dasar kewangan?

J: Selama bertahun-tahun, Gabenor Zeti banyak kali membangkitkan perkara ini, supaya bank pusat dapat melaksanakan pelbagai dasar. Tidak ada campur tangan daripada Menteri-menteri Kewangan, malah semasa zaman Tun Mahathir, sehingga sekarang. Kami diberikan kebebasan untuk melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada negara. Kami tidak pernah menghadapi masalah dalam aspek kebebasan untuk membuat keputusan yang tepat.

S: Mengenai KDNK suku kedua?

J: Kami belum dapat lagi angka bagi Q2, oleh itu saya tidak mengetahui angkanya setakat ini. Namun dalam mana-mana dasar monetari di dunia, apabila kami melihat paras yang sepatutnya, kami sentiasa memandang ke hadapan. Sentiasa beberapa suku akan datang bagi melihat sejauh mana ekonomi akan berkembang. Kami tidak menoleh ke belakang, kami membuat unjuran apakah pertumbuhan bagi separuh kedua 2016 & separuh pertama 2017 untuk membuat perkiraan kadar faedah.

Angka bagi Q2 akan diumumkan bulan depan, pada Ogos, terlalu awal untuk menyatakan, namun kami ada unjuran sendiri. Pada asasnya, ia sangat luas, separuh kedua akan lebih baik daripada separuh pertama. Oleh itu dasar monetari sentiasa memandang ke hadapan, dan ia sangat penting, tindakan (menurunkan OPR pada 13 Julai) duluan.

S: Bagaimana anda memutuskan kadar faedah dan dasar monetari?

J: Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka. Import dan eksport negara kini kira-kira 116 peratus daripada KDNK. Jika anda perhatikan sejak dekad lepas sistem kewangan dan ekonomi lebih bersepadu dengan ekonomi dunia. Apa yang berlaku di rantau Eropah, Amerika Utara, kita akan merasakan kesannya. Malaysia tidak terpisah daripada apa yang berlaku di seluruh dunia. Kami mengambil maklum apa yang berlaku, sebagai contoh EU, apa yang berlaku di rantau itu, Amerika Utara dan perkembangan geopolitik. Kita tidak terpecil, tiada negara di dunia kini yang terasing, kecuali Korea Utara. Kita tidak terpencil, kita berada dalam dunia yang saling berkait rapat dan saling bergantungan, kewangan dan ekonomi.

Kami melihat angka ekonomi negara. Dasar monetari bermatlamatkan ekonomi domestik walaupun kami melihat perkembangan ekonomi luar Malaysia. Kami melihat angka, dan mengkaji model ekonomi kita, dan unjuran kita, dan membuat keputusan apabila diperlukan memandangkan dasar monetari mempunyai banyak dinamik, dan tidak hanya bergantung kepada satu faktor. Ada pelbagai faktor untuk dikaji, sama ada paras kadar faedah akomodatif dan kondusif untuk pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama memastikan harga kita terus stabil.

S: Impak BREXIT dan kelembapan ekonomi dunia dan perlunya kembali kepada langkah bukan ortodoks?

J: Malaysia, sejak krisis kewangan Asia 1997/98, telah melaksanakan banyak pembaharuan. Ada pembaharuan yang sangat asas. sebagai contoh, penyepaduan sektor kewangan daripada lebih 60 institusi kepada 10 dan kini lapan kumpulan perbankan, dan inilah langkah yang mempunyai kesan yang meluas yang kami laksanakan. Selain itu, kami juga melaksanakan penyusunan istitusi, membangunkan entiti baharu seperti insurans jaminan deposit atau Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang telah mengukuhkan sektor perbankan bagi menjamin sepenuhnya wang pendeposit. Dan kami juga memperkenalkan pelbagai langkah dalam sektor perbankan seperti pengurusan risiko dan tadbir urus korporat yang lebih kukuh. Ini berjalan dengan baik, sebagai contoh, lebihan modal dalam industri perbankan kira-kira RM120 bilion. Jumlah ini besar dan menunjukkan kapasiit kita untuk menyerap sebarang kejutan.

S: Mengenai pengeluaran lesen perbankan?

J: Ada dua langkah yang kami lakukan. Kami mengeluarkan lima lesen perbankan untuk institusi Islam. Selepas itu, kami mengeluarkan beberapa lagi untuk asing. Sumitomo antarannya, BNP Paribas, National Bank of Abu Dhabi untuk beroperasi di Malaysia, Bank of China dan ICBC. Ideanya ialah kita mahu berdagang dengan rakan dagang. Kita tahu bahawa perdagangan akan meningkat jika bank-bank berada di Kuala Lumpur. Ahli perniagaan akan selesa untuk berurusan dengan bank-bank mereka sendiri. Sebagai contoh, Maybank di Jakarta, perniagaan kita akan ke sana. Kami memberi kepada bank-bank China kerana mahu mengukuhkan hubungan kewangan dan perdagangan dengan China. Kami membenarkan beberapa bank Islam dari Timur Tengah dan juga National Bank of Abu Dhabi, supaya kita boleh mengukuhkan hubungan ekonomi memandangkan bank akan membawa rangkaian mereka sendiri serta perniagaan.

S: Permohonan lesen baharu perbankan?

J: Tiada (permohonan baharu sekarang), tetapi menerusi undang-undang baharu, kita boleh melihat kelulusan lesen perbankan baharu. Memanfaatkan kepentingan Malaysia, kami mengkaji permohonan tersebut untuk melihat sama ada ia membawa manfaat kepada ekonomi dan sektor kewangan. Kami melihat kepada nilai cadangan pemohon. Mereka perlu membuktikan bahawa ia memberi manfaat terbaik kepada Malaysia.

S: Mengenai penggabungan bank?

J: Ia merupakan langkah yang tepat, seperti yang anda lihat, sebelum ini terdapat 10 kumpulan perbankan dan kini tinggal lapan kumpulan. Jika anda melihat institusi perbankan domestik, mereka berdaya saing seperti bank-bank asing. Ini gambaran yang jauh berbeza, katakan 20 tahun yang lalu, bank-bank tempatan kita tidak mampu bersaing dengan bank-bank asing. Sekarang mereka boleh bersaing. Ujian yang paling besar ialah mereka boleh mengembangkan operasi ke luar Malaysia, dan mereka berjaya dalam ekonomi baharu tempat mereka beroperasi. Ini menunjukkan mereka kini berdaya saing dan ia merupakan kemajuan besar bagi industri perbankan domestik. Mereka mampu berdikari.

S: Mengenai bank butik dan sumber/entiti pembiayaan?

J: Ekonomi Malaysia menjadi semakin kompleks. Ia membesar daripada sebelumnya, dan bukan sahaja bank yang perlu menyediakan pembiayaan kepada ekonomi. Pasaran ekuiti, pasaran bon juga perlu menyediakan pembiayaan kepada agen ekonomi. Ini merupakan satu lagi perkara yang kita perlu teliti - institusi berasaskan pasaran. Sebagai contoh, pajakan, dana angle, syarikat kredit, ekuiti persendirian. Inilah jenis pembiayaan untuk beberapa jenis aktiviti ekonomi, seperti syarikat tunas (start ups). Ekuiti persendirian atau dana angle lebih sesuai untuk tujuan itu. Kita perlu membangunkan jenis pembiayaan daripada entiti yang berbeza supaya ekonomi mempunyai beberapa sumber pembiayaan dan bukan semata-mata bergantung kepada sektor perbankan.

Dan, kita berjaya lakukan dengan baik. Antara perkara terbesar yang kita telah laksanakan sejak krisis 97/98, ialah keupayaan kita untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk ekonomi. Pada satu masa kita terlalu bergantung kepada perbankan. Sekarang kita telah membangunkan pasaran bon yang besar. Bon kita adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di Asia dan oleh itu dapat menawarkan ruang baharu untuk syarikat memperoleh dana. Bank-bank tidak dapat memberi pembiayaan untuk projek bertempoh lama, dan jenis pembiayaan ini seharusnya disumbangkan oleh pasaran bon. Jika anda memiliki pasaran bon komprehensif, anda mampu untuk membiayai projek-projek jangka matang yang panjang, sebagai contoh, infrastruktur seperti membina jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, dan ini boleh mengurangkan risiko terlalu bergantung kepada industri perbankan.

S: Mengenai teknologi kewangan (fintech) perbankan?

J: Bulan ini kami mengeluarkan kertas konsep mengenai FinTech, dan kami akan menjemput pasaran untuk memberi maklum balas untuk tempoh sebulan sebelum kami memuktamadkannya. Menjelang September atau awal Oktober, kami akan mengeluarkan rangka kerja yang baik. Kami mahu mewujudkan persekitaran yang boleh memakmurkan inovasi. Kami mahu mengurangkan kerenah birokrasi. Kami telah mewujudkan kumpulan pemboleh FinTech di bank pusat yang diketuai seorang pegawai kanan dan beliau akan meneliti kesemua aspek FinTech. Dan kami akan melibatkan semua pemimpin syarikat kerana kami memastikan persekitaran yang tidak menyekat inovasi. Kami mempunyai pemikiran terbuka terhadap FinTech, inovasi boleh melibatkan apa sahaja, sesuatu yang kita tidak dapat jangkakan. Saya boleh memberi contoh mengenai pelbagai inisiatif yang kami laksanakan dalam sistem pembayaran sejak sekian lama. Contoh terbaik FinTech dan teknologi membabitkan platform akaun pelaburan terbaharu oleh beberapa bank Islam yang membolehkan orang ramai yang memerlukan pembiayaan, menggunakan platform ini. Platform ini akan melihat cadangan dan meminta agensi penarafan menyemak cadangan itu bagi menilai daya maju projek dan akan memasukkan semula ke platform itu. Akan ada syarikat, individu, orang lain yang boleh membiayai usaha tersebut. Bank Islam sudah lebih awal memperkenalkan FinTech. Saya gembira kerana mereka dapat bersatu sebagai satu kumpulan dalam platform ini. Inilah kaedah masa depan.

Teknologi yang membolehkan pakatan strategik yang bukan sahaja antara bank, bahkan antara bank dan usahawan, antara bank dan pembekal perkhidmatan seperti syarikat telekomunikasi.

S: Mengenai keselamatan dan jaminan perbankan?

J: Ini merupakan antara bidang di mana institusi perbankan perlu melihat dari segi manfaat masa panjang menginstitusikan langkah-langkah keselamatan baharu. Sebagai contoh teknologi kesan dakwat. Mereka telah mula memasang ATM dengan teknologi itu. Pelaburan untuk langkah-langkah baharu keselamatan, teknologi baharu, memberi manfaat memadangkan orang ramai akan merasa selamat pergi ke ATM. Keyakinan ke atas sektor perbankan akan dapat dikekalkan. Ia merupakan proses berterusan, lebih banyak ATM akan ditambah dengan langkah keselamatan baharu ini, teknologi kesan dakwat yang menjadikan mata wang tidak laku jika digodam.

(Bagaimanapun) banyak lagi perlu dilakukan dan kami telah menghantar pekeliling kepada semua institusi perbankan supaya mereka menyediakan langkah-langkah substantif bagi meningkatkan keselamatan ATM termasuk memasang teknologi kesan dakwat.

Setakat ini prestasi syarikat 'tunai dalam transit' berjalan lancar, namun apa yang kami perlu beri tumpuan ialah kepada ATM yang terletak di kawasan berisiko tinggi, dengan keselamatan perlu lebih kukuh berbanding ATM di cawangan.

S: Mengenai perbankan Islam?

J: Saya gembira untuk menyatakan perbankan Islam telah mencapai kejayaan. Angka sebelum ini 36 peratus daripada aset perbankan, dan ia mencatat prestasi yang baik. Pada 1984, semasa kami memulakan kewangan Islam, Bank Islam Malaysia, ia amat kecil. Ia idea yang baik yang telah menjadi arus perdana. Suatu yang baik mengenai kewangan Islam adalah ia diterima oleh semua pihak, separuh daripada pengguna adalah bukan Islam. Ia berjaya menarik perhatian antarabangsa, di UK, sukuk dan pelbagai institusi membiayai operasi mereka.

Apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah mengantarabangsakan kewangan Islam. Setakat ini, dua atau tiga dekad pertama pembangunan, kebanyakannya berpusatkan dalam negeri, ia beroperasi dalam bidang kuasa tempatan. Apa yang kita perlu lakukan, untuk ke tahap pembangunan seterusnya adalah menghubungkan negara, misalnya, pasaran antara bank, pasaran pertukaran asing, untuk menjadi lebih besar, supaya akan terdapat pengantaraan dana yang lancar, antara mereka yang mempunyai lebihan dana dan yang kekurangan dana. Kewangan Islam akan berkembang seiring dengan kemajuan ekonomi.

S: Mengenai hutang isi rumah yang membimbangkan?

J: Hutang isi rumah merupakan antara perkara yang kami sentiasa memantau dengan teliti. Dalam kenyataan dasar monetari, kami menyatakan bahawa ketidakseimbangan kewangan telah susut. Apa yang kami lihat adalah pelbagai langkah berhemat makro yang kami laksanakan dan pengawasan penyeliaan kami yang diperkukuhkan menghasilkan standard pinjaman yang lebih berhemat. Penggunaan swasta telah berkurangan dan menjadi sederhana dengan ketara. Misalnya, penggunaan swasta pada 2010, berkembang kira-kira 12 peratus setahun, pertumbuhan sebanyak 4-5 peratus dalam beberapa bulan ini. Dan kami mendapati, apabila melihat kepada penilaian kemampuan bank, DSR, atau nisbah khidmat hutang meningkat dengan ketara, kini pada purata 40 peratus berbanding 60-70 peratus sebelum ini bagi peminjam. Ekonomi kita bergantung kepada permintaan dalam negeri, kita tidak mahu berasa bimbang, yang akan menjejaskan penggunaan swasta. Apa yang kita tidak mahu berlaku adalah mereka yang boleh meminjam wang, tidak mempunyai akses kepada kredit. Kami mahu memastikan mereka yang layak untuk kredit akan mendapat kredit jika mereka mahu. Kita perlu jelas, rakyat tidak meminjam berlebihan dan memahami perkara-perkara berkaitan perkhidmatan kewangan. Itu sebabnya kami mewujudkan entiti, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK telah melaksanakan tugas dengan cemerlang untuk membantu orang ramai dalam menguruskan perkara berkaitan kewangan. Orang ramai yang mempunyai masalah dengan bank akan mengunjungi AKPK dan menyusun semula pinjaman mereka dan mempelajari cara untuk menguruskan kewangan mereka. Apa yang penting dalam melangkah ke hadapan, adalah dari aspek pendidikan, kita perlu mendidik rakyat mengenai pengurusan kewangan dan menerapkan keperluan untuk mempunyai budaya kredit yang baik.

S: Perumahan mampu milik, pinjaman dan pilihan?

J: Apa yang penting adalah orang yang mampu membeli rumah dan mampu mendapatkan pinjaman tidak seharusnya dinafikan kredit. Itu sangat penting. Masalah akan timbul apabila mereka tidak mampu membeli rumah dan membayar balik pinjaman, dan kemudiannya masalah akan bermula.

Kita tidak mengenakan sebarang sekatan kepada bank bagi siapa yang mereka mahu berikan pinjaman dan siapa yang mereka tidak mahu berikan. Bank-bank akan memutuskan sendiri jenis minat risiko yang mereka sedia ambil. Kami memberikan pandangan yang jelas mengenai garis panduan pinjaman dan tidak menyekat kepada siapa untuk diberikan pinjaman dan memastikan orang yang layak membuat pinjaman mampu, sekiranya paras pendapatan mereka mencukupi untuk membayar pinjaman perumahan.

Mengenai perumahan mampu milik, di Malaysia, ia dianggap sebagai sederhana mahal. Tahun lepas, 20 hingga 25 peratus bekalan yang ditawarkan dalam pasaran adalah rumah mampu milik. Kebanyakannya berharga melebihi RM500,000. Jadi, bagaimana orang mampu membeli rumah-rumah ini?.

Keduanya, ramai orang yang mahu membeli rumah tetapi tidak mampu membelinya lagi. Kita perlu memberikan mereka pilihan lain, seperti sewa berpatutan. Kita perlu memikirkan tentang konsep menyewa. Di kebanyakan ekonomi maju, (sebagai contoh) di Jerman, orang menyewa, bukan memiliki rumah.

Dalam budaya Malaysia, ia adalah satu bentuk tabungan, tetapi kita perlu melihat pada tempoh permulaan di mana orang belum lagi mampu membeli rumah namun boleh memilikinya kemudian kelak. Kita perlu menyelesaikan isu antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan majlis tempatan dari segi penawaran rumah mampu milik kerana tanah di Malaysia adalah perkara negeri.

Kita perlukan kerjasama negeri bagi memastikan bekalan tanah yang mencukupi yang mana rumah mampu milik boleh dibina dan kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan. Kita juga perlu melihat kepada kos pembinaan. Apabila orang memiliki rumah mereka merasakan mereka mempunyai kepentingan dalam ekonomi, yang mana ia adalah sangat penting.

S: Mengenai harga rumah dan persaingan?

J: Jika kita membenarkan persaingan, ia akan menurunkan harga. Kita perlu mengimbangi campur tangan pengawalseliaan dan asas pasaran untuk rumah mampu milik.

S: Penggunaan domestik sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia?

J: Jika kita melihat kepada ekonomi lebih 30 hingga 40 tahun lalu, suatu yang baik adalah keupayaan untuk berubah dari semasa ke semasa. Semasa krisis 97-98, kita amat bergantung kepada eksport untuk pertumbuhan. Kita menyusun semula ekonomi. Kini, ekonomi lebih berpusatkan kepada domestik dengan perkhidmatan membentuk 55-56 peratus daripada ekonomi yang mencerminkan ekonomi maju. Benar, kita perlu mempelbagaikan, meningkatkan produktiviti kita dan melabur dalam pendidikan, lebih menumpukan kepada pendidikan vokasional dan kita perlu melihat kepada sumber pertumbuhan yang baharu. Kerajaan telah melaksanakan dengan baik berhubung inisiatif Transformasi Ekonomi dan dalam mengenal pasti sektor-sektor ini. Kita perlu melihat kepada pelaburan domestik dan tidak bergantung kepada penggunaan sahaja. Kami menjangka tahun ini dan tahun depan, projek infrastruktur awam, seperti MRT dan Kompleks Bersepadu Pengerang akan menjana aktiviti ekonomi. Faktor penyokong seperti GST yang merupakan langkah berani untuk menyusun semula ekonomi dan BRIM yang telah membantu penduduk yang disasarkan.

S: Mengenai keyakinan pelabur asing berikutan isu seperti 1MDB yang mendapat banyak perhatian?

J: Kita perlu terus 'menjual' asas kita yang kukuh. Kita perlu mengetengahkan pelbagai langkah berani yang telah kita ambil sejak sedekad atau dua dekad yang lalu. Perkara ini tidak diketengahkan. Beberapa bulan lepas, terdapat aliran masuk yang besar dalam pasaran bon, pasaran ekuiti telah mencatat prestasi yang baik, sebahagian aliran masuk daripada bukan pemastautin. Kita perlu melaksanakan lebih banyak pameran bergerak, memberitahu kisah kita dan isu-isu yang dihadapi. Penting juga untuk mempunyai tadbir urus yang kukuh, model perniagaan yang sesuai dilaksanakan dan jelas mengenai apa yang ingin kita lakukan. Dalam BNM, kami mahu sektor perbankan menjadi lambang kepada Tadbir Urus Korporat (CG) yang baik. Baru-baru ini, kami mengeluarkan dokumen perundingan yang baharu mengenai garis panduan CG, iaitu lebih tinggi berbanding apa yang dikeluarkan sebelum ini untuk entiti lain. Kami mahu rakyat Malaysia yakin dengan sistem perbankan, integriti dan kepentingan sistem kewangan. Ini amat penting. Kami mahu rakyat Malaysia mempunyai kepercayaan dengan bank mereka. Sebab kami mengeluarkan CG adalah kami mahu ia menjadi standard terbaik bagi tadbir urus di Malaysia iaitu bank-bank perlu dilihat dari segi integriti dan kedudukan. Ini boleh dicapai jika kita melaksanakan struktur yang perlu.

-- BERNAMA