Khamis, September 16, 2010

PERLU ADA SATU HARI KEBANGSAAN


Selama ini 31 Ogos dianggap sebagai Hari Kebangsaan kerana negara mencapai kemerdekaan pada tarikh tersebut 53 tahun lalu.Bila negara menyambut hari kebangsaan, sudah tentu rakyat Sabah dan Sarawak tidak rasa bangga kerana mereka merdeka pada 16 September 1963.

Oleh kerana 31 Ogos adalah hari merdeka Malaya, maka kerajaan perlu mengiktiraf Hari Malaysia pada hari ini, 16 September, sebagai Hari kebangsaan tunggal negara. Ini adalah kerana pada tarikh ini, 47 tahun lagi secara rasmi Malaysia dibentuk selepas Sabah dan sarawak menyertai Malaysia.

Kita dengar apa kata Pairin Kitingan yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah mengenai sambutan Hari Malaysia ini sepertimana dilaporkan oleh Bernama.

Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.

Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.

"Ungkapan 'Sabah menyertai Malaysia', pertanyaan 'bila sampai ke Malaysia' yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

"Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekaligus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Pairin berkata pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun," katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakann pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.

"Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan," katanya.

Pairin berkata sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibbah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan," kata beliau.