Jumaat, Januari 16, 2015
PENGURUSAN BANJIR KEMAMAN WAJAR DICONTOHI
Oleh Erda Khursyiah Basir
KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Saya orang Kemaman, terlibat sama sebagai mangsa banjir, kebetulan balik waktu cuti tahunan, terpaksa berpindah di tempat pemindahan di dewan MPK (Majlis Perbandaran Kemaman), dalam keadaan ini saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama kepimpinan politik yang banyak memainkan peranannya.
"SOP (Prosedur Operasi Standard) yang terbaik, ada makanan yang mencukupi, ada sleeping bag, ada sumbangan yang lain, anak-anak dilayan secara yang baik. Saya ingin bagi 5 star (bintang) kepada semua agensi kerajaan yang sentiasa beri semangat kepada kami semua."
Demikian status seorang mangsa banjir yang dikenali sebagai Kamariah Ismail di akaun Facebook miliknya pada 29 Dis lepas ketika daerah Kemaman dilanda banjir besar akhir tahun lepas dan minggu pertama bulan ini.
PENGURUSAN LEBIH BAIK
Bagi seorang suri rumah Noor Hayati Hassan, 46, beliau turut mengakui bahawa bencana banjir baru-baru ini tidaklah seburuk yang pernah melanda daerah itu pada 2013.
"Tahun 2013, air naik tinggi dan ia memang suatu keadaan yang kami tidak sangka sama sekali. Tapi banjir baru-baru ini, Alhamdulillah awal-awal lagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dah beri amaran dan notis mengenai air pasang dan hujan.
"Jadi persediaan memang kami dah buat awal-awal. Ada jiran yang buat para tinggi, ada yang guna perancah... sampaikan ada yang awal-awal lagi segala barang dah simpan dekat porch kereta, atas perancah penuh set-set sofa, tapi syukur banjir tak teruk kali ini," katanya kepada Bernama.
Noor Hayati, yang menetap di Chukai, berkata beliau 'tidak berkesempatan' melihat longgokan sisa-sisa banjir seperti yang berlaku sebelum ini ekoran tindakan segera Majlis Perbandaran Kemaman mengurus dan membersihkan sisa-sisa tersebut.
Suzana Ghazali, 42, yang menetap di Taman Fikri pula terpaksa berpindah ke rumah ibu mertuanya dekat Gong Pauh selama lima hari ekoran air yang naik sehingga ke paras pinggang.
"Namun saya lihat banjir 2013 lebih teruk berbanding kali ini kerana pada masa itu saya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Seri Geliga.
"Banjir kali ini, Alhamdulillah sebab kita penduduk dah bersedia dari awal terutama mengemas barang apa yang patut. Pengurusan banjir kali ini pun saya rasa lebih baik sebab kita sudah diberitahu awal termasuk persediaan yang diatur oleh kerajaan negeri dan pihak lain yang terlibat," katanya.
PENGURUSAN BENCANA BANJIR
Apakah kelebihan dan keunikan persiapan pengurusan bencana banjir di daerah Kemaman sehingga dinilai mencapai tanda aras piawaian emas (Gold Standard)?
Pada 31 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendengar Taklimat Pengurusan Banjir Daerah Kemaman 2014 turut mengumumkan pelan pengurusan banjir di Kemaman akan menjadi model kepada SOP banjir di kawasan terjejas pada masa akan datang.
Merujuk 'Taklimat Pengurusan Banjir Daerah Kemaman 2014' berkenaan, gerak kerja dilakukan seawal April 2014 dengan 69 pusat pemindahan dikenal pasti dan penubuhan jawatankuasa bencana banjir yang unik turut membantu keberkesanan pengurusan banjir pada kali ini.
Berdasarkan kepada gambaran senario paling buruk, metodologi pra banjir, semasa banjir dan pasca banjir dipraktikkan bagi menghadapi bah.
PRA BANJIR
Antara metodologi pra banjir termasuklah program kesedaran banjir oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merangkumi maklumat asas menghadapi banjir, kit banjir untuk mangsa berserta maklumat pusat pemindahan semasa banjir.
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) turut dijadikan markas taktikal (Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Medic Team dan sokongan logistik), penempatan, tempat memasak dan tempat penyimpanan barangan sumbangan daripada pihak luar.
Di samping itu, terdapat dua kawasan untuk landasan helikopter atau 'helipad' serta padang yang boleh digunakan untuk penghantaran barang-barang keperluan mangsa banjir.
Proses simulasi banjir antaranya termasuklah persediaan urusetia, penerimaan barang keperluan, pendaftaran mangsa, pengagihan barangan kepada mangsa, penginapan mangsa serta pengurusan makanan untuk mangsa.
Selain itu, persediaan infra menghadapi banjir, stor, tandas, 'helipad', substesyen janakuasa bergerak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mini depoh seperti di Pasir Gajah, Batu 14 Kuala Tayor, Air Putih dan Felda Seberang Tayor.
Jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd, DiGi.Com dan Telekom Malaysia Bhd bagi meninggikan kabinet peralatan di tapak pemancar komunikasi yang dilakukan di Bukit Mentok dan Chukai turut membantu keberkesanan sistem komunikasi semasa banjir.
Kemudahan set generator bergerak dan kekal, pemancar selular bergerak (COW), walkie-talkie beserta penambahan peralatan logistik dengan 34 bot daripada kerajaan negeri dan 17 bot daripada Parlimen Kemaman turut membantu memudahkan perjalanan pengurusan banjir.
Seterusnya, perkongsian maklumat antara pihak terlibat terutama melalui aplikasi Whatsapps dan Telegram berhubung bencana banjir dan maklumat terkini keadaan banjir menyumbang kepada kejayaan pengurusan banjir di daerah Kemaman.
SEMASA BANJIR
Selain mengadakan mesyuarat koordinasi setiap hari pada pukul 8.30 malam, bekalan makanan dan minuman untuk tempoh tujuh hari turut dihantar ke setiap pusat pemindahan banjir.
Usaha menyelamat mangsa banjir menjadi keutamaan di samping kelengkapan pusat pemindahan seperti tikar, selimut, kain pelikat, tong gas, 'power bank' dan sejumlah 12,000 set bag tidur disediakan.
Berhubung aspek kesihatan, klinik statik yang merawat minimum 500 mangsa, kawalan vektor bagi mengelakkan penyakit dan hospital yang dibantu oleh Pasukan Medik ATM dan doktor sukarelawan antara kemudahan yang disediakan bagi membantu mangsa banjir.
Selain itu, pertubuhan dan agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, KEMAS, Jabatan Penerangan, Majlis Belia Daerah Kemaman serta parti politik turut menyumbang bantuan dan khidmat kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.
PASCA BANJIR
Selepas banjir surut, penilaian kerosakan seperti harta benda awam yang melibatkan jambatan, bangunan dan jalan serta harta benda persendirian yang melibatkan rumah dan kereta antara perkara utama yang diberi perhatian dalam tempoh pasca banjir.
Justeru, pengurusan sumbangan dan bantuan seperti barangan keperluan harian giat dijalankan secara berpusat di pejabat daerah.
'Post-mortem' turut dijalankan seminggu selepas pusat pemindahan terakhir ditutup selain pembentangan cadangan penambahbaikan.
Kesimpulannya, banjir yang berlaku di daerah Kemaman pada 2014 adalah dalam kawalan.
Daripada 69 pusat pemindahan yang disediakan hanya 67 yang dibuka dengan mangsa seramai 32,963 berbanding kapasiti 40,000 orang.
Berdasarkan pengalaman dan bencana banjir yang melanda Kemaman, antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah menyegerakan tebatan banjir dan sistem perparitan, bantuan membaiki jalan rosak, menaik taraf kemudahan pusat pemindahan seperti tangki air, surau, stor, bilik air dan tandas.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)