Jumaat, Oktober 07, 2016

KEMPEN SOLAT BERJEMAAH DI SEMUA JABATAN TERENGGANU



KUALA TERENGGANU 6 Okt. – Ke­rajaan negeri meminta semua jabatan dan agensi di bawahnya menggerakkan kempen solat berjemaah dalam kalangan ka­­­­ki­tangan bagi memupuk kesedaran menyubur sunah dan istiqamah dalam beribadat.


Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, usaha itu seiring dengan penekanan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) kerana pegangan agama dapat menghindarkan daripada pengabaian terhadap amanah dan tanggungjawab.

Beliau memberitahu, amalan solat berjemaah perlu dipraktikkan di setiap jabatan kerajaan ne­geri dan akan dimasukkan dalam jadual jabatan masing-masing.

“Setiap jabatan kenalah fikir apa yang terbaik sebagai pengisian dalam ruang waktu solat itu kelak seperti tazkirah dari semasa ke semasa, dan kita harap usaha ini dapat dilaksanakan di semua jabatan,” katanya.

Ahmad Razif berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ogos lalu, pihak berkuasa agama negeri telah menggerakkan kempen solat subuh berjemaah di masjid seluruh negeri yang disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Prinsip TTB antara lain menekankan pengamalan ajaran nilai-nilai Islam sebagai falsafah pembangunan dan kepemimpinan untuk memastikan urus tadbir yang berkesan.

Dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, kata­nya, kerajaan negeri akan mengaktifkan semula aplikasi ­e-Aduan dan juga e-Suka bagi memastikan setiap permasalahan yang diadukan rakyat dapat ditangani dengan sewajarnya.

“Kita akan pastikan segala adu­an mana-mana pihak akan sampai terus kepada ketua jabatan terlibat dan saya sendiri akan pantau semua jabatan untuk kita pastikan semuanya berjalan lancar.

“Kita bukan nak cari salah sesiapa tapi sekadar saling ­ingat-mengingati demi keperluan rakyat,” katanya.

Dalam majlis itu, Ahmad Razif turut menyerahkan cek bernilai RM100,000 bagi membantu meringankan bebanan keluarga dan membiayai kos rawatan Muhammad Syafi Mohd. Syahrizan, 7, dari Kampung Padang Landak, Besut yang terlantar akibat pe­nyakit kanser tulang rahang sejak dua tahun lalu.

Cek disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komo­diti negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.