Selasa, September 19, 2017

RISDA FLEET DIIKTIRAF SYARIKAT TERBAIK 2016

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Syarikat RISDA Fleet Sdn Bhd dan Syarikat ESPEK Sdn Bhd diiktiraf sebagai syarikat terbaik 2016 dalam kategori masing-masing pada Majlis Anugerah Syarikat Terbaik Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), hari ini.

Syarikat RISDA Fleet Sdn Bhd memenangi kategori modal berbayar
kurang RM5 juta manakala syarikat ESPEK Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai RISDA Estate Sdn Bhd meraih tempat pertama di bawah kategori modal berbayar RM5 juta dan ke atas.

Hadiah berupa sijil dan trofi disampaikan kepada pemenang oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir Ketua Setiausaha KKLW Datuk Borhan Dollah.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya di majlis Anugerah Syarikat Terbaik KKLW 2016 di sini, Ismail Sabri menekankan tentang perlunya perwujudan model perniagaan yang bersesuaian termasuk mengambil kira hala tuju dimensi perniagaan.

"Ini termasuk perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan kerajaan sentiasa berusaha memastikan ekonomi Malaysia terus dipacu pada tahap tertinggi menerusi pendekatan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Dalam merealisasikan hasrat tersebut, inovasi dan kreativiti syarikat penting untuk kekal bersaing dan relevan,? katanya yang turut mencadangkan supaya kategori Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terbaik diwujudkan tahun hadapan.

Sementara itu, syarikat perladangan FELCRA Niaga Sdn Bhd dan syarikat perkilangan FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga di bawah kategori modal berbayar kurang RM5 juta.

Bagi kategori syarikat terbaik di bawah kategori modal berbayar RM5 juta dan ke atas, KETENGAH Perwira Sdn Bhd menang tempat kedua manakala syarikat pelaburan Permodalan RISDA Berhad di tempat ketiga.

MARA Liner Sdn Bhd pula memenangi Anugerah Khas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Penilaian peringkat akhir melibatkan tiga pemilihan syarikat terbaik daripada 10 syarikat yang disenaraipendekkan bagi setiap kategori.

Komponen penilaian termasuk margin keuntungan, dividen, nisbah kewangan, keuntungan selepas cukai, obligasi sosial dan petunjuk prestasi utama (KPI).

-- BERNAMA