Selasa, Februari 22, 2011

TUAN IBRAHIM -VS-SYED IBRAHIM DI KERDAU?



Bahang pilihan raya dua serangkai di Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang kian terasa. Tinggal beberapa hari saja lagi untuk hari pencalonan dan pastinya esok lusa semua parti yang bertanding akan mengemukakan nama calaon masing-masing.

Paling menarik untuk diperkatakan ialah, pertembungan kali ini sekali lagi menyaksikan parti PAS (Pakatan Rakyat) akan bertemu UMNO (Barisan Nasional). Biarpun ada desas-desus mengatakan PKR berminat untuk bertanding di salah satu kerusi Kerdau atau Merlimau, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan.

Malah besar kemungkinan Pengarah Pilihan Raya PAS di Merlimau, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man juga akan balik ke Pahang untuk menumpukan perhatian sepenuhnya di kawasan beliau. Harus diingat bahawa DUN Kerdau terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krau di mana Dato' Tuan adalah Yang Dipertua PAS kawasan itu. Makanya, amat wajarlah beliau balik ke Pahang untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kempen pilihan raya kecil di Kerdau nanti.

Malah terdapat maklumat dalaman mengatakan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkemungkinan cerah akan dipilih sebagai calon di DUN Kerdau ini. Tambahan pula beliau adalah Yang Dipertua PAS Kawasan, Pesuruhjaya PAS Pahang dan Naib Presiden PAS Pusat sekarang ini. Maka, namanya lebih menonjol daripada calon-calon lain sebenarnya. Jika benar telahan ini, maka PAS berpeluang untuk menang jika mereka melipat gandakan usaha ke arah itu. Harapan nampak cerah!



Difahamkan juga, bagi pihak UMNO pula kemungkinan besar meletakkan calonnya Syed Ibrahim Syed Mohamad al Yahya. iaitu Pegawai Agama Kepada MB Pahang. Tambahan pula beliau adalan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Krau sekarang. Malahan terdapat sumber mengatakan Syed Ibrahim sudah pun berkempen sekarang termasuk mewakili Menteri Besar Pahang berucap dan menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil cawangan-cawangan di majlis anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Pahang.

Program itu diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh dan dirasmikan oleh Presiden PBTM Datuk Muhammad Abdul Ghani. Syed Ibrahim yang berucap mewakili Adnan itu dikatakan sempat ‘berkempen’ secara isyarat kepada bekas-bekas tentera itu. Makanya memang sah yang beliau bakal menjadi calon BN di Kerdau nanti.

Jika ini berlaku maka pertembungan dua nama yang hampir sama bakal berlaku iaitu Syed Ibrahim dengan Tuan Ibrahim. Ini pastinya akan mengelirukan para pengundi di situ nanti sebenarnya.