Isnin, Oktober 20, 2008

WATAN BUKAN MILIK TENGKU ADNAN


Akhbar WATAN teruk kena hentam oleh KPMU.net. Berita utama WATAN Ahad 10-25 Oktober 2008 yang memuatkan muka depan “UMNO TOLAK KHAIRY” telah menerima kecaman pengunjung-penjunjung website tersebut.

Saya tidak hairan kalau KPMU.net menghentam WATAN kerana ia adalah milik kawan saya, Kaza bekas pegawai khas Datuk Azalina Othman. KPUM.net memang ditaja oleh Khairy. Saya pernah menulis untuk KPMU.net dan dijanjikan dibayar RM1500 tetapi sampai sekarang baru bayar RM400 walaupun sudah lama saya menunggu bayaran itu.

Yang sedihnya, penulis berita itu Muhammad Nasrullah telah dituduh sebagai penulis upahan. Tidak benar wartawan kami diupah oleh Mukhris atau Dr. Khir Toyo. Jika benar dakwaan ini, buktikan bahawa wartawan kami adalah penulis upahan. Sebagai editor akhbar WATAN, saya ingin menjelaskan bahawa WATAN tidak berpihak kepada sesiapa sama ada Khairy atau Mukhris atau Dr. Khir Toyo.

Buktinya, WATAN menyiarkan wawancara penuh dengan Khairy ketika beliau mengumumkan bertanding jawatan Ketua Pemuda di Jelebu. Oleh itu jika WATAN menghentam Khairy bukanlah bermakna WATAN menyokong Mukhris kerana kebetulan ada wawancara dengan Mukhris dalam keluaran yang sama. WATAN cuba berlaku adil memberi peluang kepada semua. WATAN sudah siarkan kenyataan penuh Khairy, wawancara Mukhris dan kini berusaha untuk menyiarkan wawancara penuh dengan Dr. Khir Toyo. Melalui rakan lama di MRSM, Seremban saya sedang atur wawancara itu dengan Dr. Khir, tetapi Dr. Khir kata biarlah dia dapat cukup kuota dahulu.

Masih ramai orang yang tidak faham dengan sikap WATAN yang bebas. Kalau keluaran ini ada berita anti Khairy, ini bukanlah bermakna di lain kali tiada berita pro Khairy. Ada yang mengaitkan kononnya WATAN adalah kepunyaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor adalah tidak benar.

WATAN kini tidak kena mengena dengan Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya lagi. Akhbar HARIAN WATAN 13 tahun dahulu memang milik Gagasan Baiduri Sdn. Bhd., kepunyaan Tengku Adnan.

Menurut KDN, bila permit sesuatu penerbitan sudah mati selama dua tahun, maka secara automatik permit itu terbatal. Menyedari bahawa permit itu sudah batal, maka Naluri Teratai Sdn. Bhd., telah mengemukakan permohonan baru, MINGGUAN WATAN yang mana pada mulanya ia ditolak tetapi setelah dirayu ia diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri. Oleh itu MINGGUAN WATAN tidak kena mengena dengan Tengku Adnan lagi.

RAFIDAH PERLU KAJI SEMULA PERALIHAN KUASA


Sharizat Jalil sudah layak bertanding Ketua Wanita walaupun beliau patuh kepada pelan peralihan kuasa di antara beliau dengan Rafizah Aziz.

Rafidah berjanji nak serahkan jawatan ketua wanita kepada Shahrizat pada bulan Jun 2009 sedangkan perhimpunan agung UMNO akan diadakan pada bulan Mac 2009. Bezanya tiga bulan sahaja.

Oleh itu Rafidah perlu ubah pelan peralihan kuasa ini. Kalau Pak Lah boleh ubah pelan peralihan kuasa dari Jun 2010 kepada Mac 2009 masakan Rafidah tidak boleh contohi Pak Lah. Beri laluan kepada Sharizat. Saya pernah cadangkan supaya Rafidah tanding Naib Presiden UMNO tetapi dalam tempoh dua minggu sudah terlambat untuk dapat 20 pencalonann untuk memenuhi kuota.

Seperti kata Dr. Mahathir, penentang Pak Lah semuanya dapat pencalonan yang tinggi seperti Muhyiddin, Shafie dan Rafidah. Rafidah memanglah orang yang berani. Selepas pilihan raya umum Mac lalu, Rafidah amat lantang dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO yang pertama.

Katanya, BN kalah di lima negeri kerana faktor Khairy Jamaluddin. Itu punca Pak Lah tak lantik Rafidah sebagai menteri dan wanita tidak ada wakil dalam kabinet kerana mereka anggap Azalina bukan menteri yang mewakili wanita. Ini juga kali pertama kerusi menteri wanita jatuh ke tangan MCA. Dahulu wanita UMNO mudah dapat peruntukan dari kementerian wanita kerana menterinya wanita. Bila ia jatuh ke tangan MCA, takkan Dr. Ng Nyen Nyen mahu layan permintaan wanita UMNO lagi. Ini yang menimbulkan kemarahan wanita UMNO bahagian kepada Pak Lah.

Perbezaan pelan peralihan Rafidah-Shahrizat adalah tiga bulan sahaja. Jadi biarlah ia dipercepatkan kerana ia memudahkan perwakilan memilih naib ketuanya yang baru. Jika tidak Sharizat selaku pemangku ketua wanita tidak ada pembantu kerana tidak semestinya exco wanita nombor 1 pada tahun 2009 diterima sebagai naib ketua wanita pada tahun 2012.

MAMPUKAH SYED HAMID DAPAT KUOTA?


Muhyiddin sudah lega kerana dapat 44 pencalonan pada minggu kedua. Beliau sudah melepasi kuota, 39 pencalonan manakala dua calon lagi, Ali Rustam baru dapat 13 pencalonan dan Muhammad Muhd. Taib mendapat lapan pencalonan.

Adakah Muhyiddin akan menang tanpa bertanding? Ada dua minggu lagi. Ali dan Muhammad mungkin dapat memenuhi kuota dalam tempoh dua minggu ini. Jika tidak dapat, alangkah ruginya kerana peluang untuk Ali dan Muhammad untuk tanding Naib Presiden sudah tertutup.

Sehingga ini empat calon sudah cukup kuota untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Mereka ialah Hishamuddin(54), Dr. Ahmad Zahid Hamidi (38), Mohd. Shafie Afdal (32) dan Mohd. Khaled Nordin (31). Pada minggu depan mungkin Syed Hamid melepasi kuota (12 pencalonan).

Pada tahun 2004, Syed Hamid tak cukup satu lagi pencalonan untuk tanding Naib Presiden. Beliau call Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Bung Mokhtar supaya calonkannya. Bung Mokhtar terpaksa call Ali Rustam dan beritahu oleh kerana Ali sudah dapat banyak pencalonan, maka Kinabatangan terpaksa calonkan Syed Hamid supaya beliau layak bertanding. Tetapi di saat-saat akhir Syed Hamid hanya bertanding kerusi ahli majlis tertinggi sahaja dan ia menimbulkan kemarahan kepada Bung Mokhtar kerana Syed Hamid tidak mahu bertanding jawatan Naib Presiden. Adakah Syed Hamid akan menarik diri sekali lagi pada tahun ini?

Dulu nama Syed Hamid hebat kerana beliau berani tanding Ketua Pemuda pada tahun 1986 menentang Anwar Ibrahim. Namanya digugurkan di sasat-saat akhir sebagai calon BN pada pilihan raya umum 1986 tetapi dipilih sebagai calon pada tahun 1990 dan terus dilantik menteri penuh.

Pada tahun 1993, namanya top dalam pencalonan Ketua Pemuda menentang Rahim Thamby Chik dan Isa Samad. Tapi di saat-saat akhir beliau tarik diri kerana kononnya dipujuk oleh Anwar Ibrahim dan ini menyebabkan ramai penyokongnya berpaling tadah. Sejak itu Syed Hamid tak pernah menang bertanding Naib Presiden UMNO. Dapatkah Syed Hamid kuota yang cukup untuk bertanding Naib Presiden kali ini? Masa masih ada dua minggu lagi.

SEMPATKAH NAJIB JADI PM?


Minggu kedua pencalonan sudah berlalu. Najib nampak selesa kerana kini mendapat 65 pencalonan sedangkan Ku Li belum dapat sebarang pencalonan. Najib sudah layak bertanding kerana sudah penuhi kuota (58 pencalonan).

Berdasarkan trend yang ada, kemungkinan Najib menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO tidak boleh diketepikan. Soalnya, sempatkah Najib jadi Perdana Menteri Mac depan?

Berdasarkan isu semasa, dengan tersebarnya petikan penuh SMS beliau dengan seorang peguam terkenal mengenai kes Altantuya, nampaknya Najib belum tentu selamat kedudukannya. Seperti kata Dr. Mahathir, ada pihak tertentu cuba menggagalkan Najib jadi Presiden UMNO.

Najib mengakui sms itu dan dia berkata tidak ada penyalahgunaan kuasa. Memang tidak ada unsur salah guna kuasa di sini, yang dipersoalkan kenapa Najib berhubung dengan peguam Razak Baginda? Yang anehnya bagaimana kandungan sms boleh tersebar luas kalau bukan orang dalam yang buat kerja ini? Orang itu buat kerja atas arahan siapa? Ini yang menjadi tanda-tanya kepada kita,

Dr. Mahathir seringkali menyebut bahawa seorang pemimpin hendaklah kelihatan bersih. Dengan adanya isu ini, nama Najib tidak bersih lagi. Tambahan pula tender Eurocopter dilibatkan dengan beliau yang mana ketika itu beliau adalah Menteri Pertahanan.

Orang Najib sudah bersiap-sedia melihat Najib ke tampuk Perdana Menteri pada Mac 2009. Dr. Jamaluddin Jarjis orang kanan Najib telah memanggil orang Ku Li untuk berunding. JJ dikatakan memberitahu orang kanan Ku Li, “Marilah kita bekerjasama. Mintalah apa sahaja kecuali Petronas kerana Petronas itu I punya”.

Bayangkan banyak mana tender Petronas setiap tahun bila JJ mahu duduk di situ. Maknanya selepas Pak Lah berhenti, samunan tetap berlaku di zaman Najib nanti. Nasihat Dr. Mahathir supaya Najib ketepikan kroni dan keluarga selepas jadi Perdana menteri nanti nampaknya tinggal nasihat sahaja.