Memaparkan catatan dengan label kuota. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kuota. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 27, 2008

PERTANDINGAN TIGA PENJURU BAGI KETUA PEMUDA


Sehari selepas ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dapat kuota untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo pula mendapat kuota yang sama pada hari semalam (26 Oktober).

Sehingga petang semalam, ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir telah memperolehi 66 pencalonan manakala Khairy mendapat 47 pencalonan dan Dr. Khir mendapat 43 pencalonan.

Yang pastinya, pertandingan tiga penjuru akan berlaku di antara mereka bertiga. Yang pening adalah para perwakilan sama ada mahu undi Khairy atau Mukhriz atau Dr. Khir.

Dr. Khir mungkin jadi pilihan jika mereka rasa pilih Khairy, Dr. Mahathir akan kecil hati atau jika pilih Mukriz, Pak Lah akan kecil hati. Jadi Dr. Khir mungkin jadi pemenang.

Dalam pada itu, ada yang menghujah Dr. Khir gagal mempertahankan Selangor dari rempuhan Pakatan Rakyat, jadi beliau tak layak ketuai pemuda. Maka biarlah Mukhriz atau Khairy jadi ketua pemuda. Hal yang sama berlaku pada Kedah yang kalah. Agak sukar bagi Mukhriz untuk tawan balik Kedah. Hujah itu menambah biar Khairy menerajui pemuda supaya dapat menawan semula Selangor dan Kedah.

Khairy telah mencabar calon-calon ketua pemuda berdebat. Ia disambut oleh Dr. Khir tetapi debat seperti itu tidak digemari oleh Mukhriz. Kenapa takut pada debat? Biar perwakilan tengok siapa yang hebat dengan hujah masing-masing mengemukakan visi dan misi calon ketua pemuda dalam menentukan BN disokong semula oleh generasi muda.

Ada 35 lagi bahagian pemuda yang belum bermesyuarat. Ini akan menentukan siapa yang paling popular dari segi pencalonan di antara mereka bertiga. Tetapi harus diingat bahawa pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Malam terakhir sebelum mengundi keesokannya, para perwakilan masih boleh berubah. Oleh itu terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukannya.

Jika mereka mahu golongan bangsawan terus menerajui pemuda, pilihlah anak bekas Perdana Menteri atau menantu Perdana Menteri. Tetapi jika mereka mahu anak orang kampong yang mengenali cara hidup orang miskin pilihlah Dr. Khir Toyo.

Ahad, Oktober 26, 2008

DR. ZAHID HAMIDI HARAP NAJIB HAPUS KUOTA


Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh tersenyum lega kerana telah mendapat 46 pencalonan untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Dia jauh ditinggalkan oleh Hishamuddin yang dapat 68 pencalonan, Shafie Afdal mendapat 41 pencalonan dan Khaled Nordin mendapat 38 pencalonan.

Tidak semestinya calon yang dapat pencalonan tertinggi boleh menang kerusi Naib Presiden. Masih ingat tahun 2004? Mustapha Mohamad dapat pencalonan yang tinggi tetapi tewas. Masih ingat tahun 2000? Ghani Othman dapat pencalonan yang tinggi tetapi tewas.

Oleh itu Hishamuddin, Dr. Zahid tidak boleh diam diri sehingga Mac 2009. Para perwakilan mungkin boleh berubah.
Dr. Zahid setuju supaya kuota untuk bertanding dihapuskan. Beliau yakin ia akan menjadi antara agenda yang bakal dipertimbangkan Najib apabila menjadi Presiden UMNO nanti. Saya tidak nampak Najib berminat menghapuskan kuota kerana ia telah menyelamatkan Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Sistem kuota juga telah menyelamatkan Najib dari dirempuh Ku Li pada tahun ini. Jika Najib menghapuskan kuota, ia memberi ruang kepada Muhyiddin untuk menentangnya pada tahun 2011. Oleh itu saya kira Najib akan kekalkan kuota supaya kedudukannya terus selamat. Tanpa kuota Sulaiman Palestin dapat mencabar Hussein Onn pada tahun 1978. Beliau hanya dapat dua pencalonan sahaja.

Tanpa kuota Ku Li dapat menentang Dr. Mahathir pada tahun 1987. Ku Li dapat 37 pencalonan sahaja. Kuota ialah 58 pencalonan. Jika pada tahun 1987 sudah ada kuota, Ku Li tak layak melawan Dr. Mahathir.

Oleh itu untuk terus kekal sebagai Presiden UMNO, Najib tidak mungkin menghapuskan kuota. Dia akan meneruskan dasar yang dibuat oleh Dr. Mahathir dan mengekalkannya seperti Pak Lah berbuat demikian.

Isnin, Oktober 20, 2008

MAMPUKAH SYED HAMID DAPAT KUOTA?


Muhyiddin sudah lega kerana dapat 44 pencalonan pada minggu kedua. Beliau sudah melepasi kuota, 39 pencalonan manakala dua calon lagi, Ali Rustam baru dapat 13 pencalonan dan Muhammad Muhd. Taib mendapat lapan pencalonan.

Adakah Muhyiddin akan menang tanpa bertanding? Ada dua minggu lagi. Ali dan Muhammad mungkin dapat memenuhi kuota dalam tempoh dua minggu ini. Jika tidak dapat, alangkah ruginya kerana peluang untuk Ali dan Muhammad untuk tanding Naib Presiden sudah tertutup.

Sehingga ini empat calon sudah cukup kuota untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Mereka ialah Hishamuddin(54), Dr. Ahmad Zahid Hamidi (38), Mohd. Shafie Afdal (32) dan Mohd. Khaled Nordin (31). Pada minggu depan mungkin Syed Hamid melepasi kuota (12 pencalonan).

Pada tahun 2004, Syed Hamid tak cukup satu lagi pencalonan untuk tanding Naib Presiden. Beliau call Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Bung Mokhtar supaya calonkannya. Bung Mokhtar terpaksa call Ali Rustam dan beritahu oleh kerana Ali sudah dapat banyak pencalonan, maka Kinabatangan terpaksa calonkan Syed Hamid supaya beliau layak bertanding. Tetapi di saat-saat akhir Syed Hamid hanya bertanding kerusi ahli majlis tertinggi sahaja dan ia menimbulkan kemarahan kepada Bung Mokhtar kerana Syed Hamid tidak mahu bertanding jawatan Naib Presiden. Adakah Syed Hamid akan menarik diri sekali lagi pada tahun ini?

Dulu nama Syed Hamid hebat kerana beliau berani tanding Ketua Pemuda pada tahun 1986 menentang Anwar Ibrahim. Namanya digugurkan di sasat-saat akhir sebagai calon BN pada pilihan raya umum 1986 tetapi dipilih sebagai calon pada tahun 1990 dan terus dilantik menteri penuh.

Pada tahun 1993, namanya top dalam pencalonan Ketua Pemuda menentang Rahim Thamby Chik dan Isa Samad. Tapi di saat-saat akhir beliau tarik diri kerana kononnya dipujuk oleh Anwar Ibrahim dan ini menyebabkan ramai penyokongnya berpaling tadah. Sejak itu Syed Hamid tak pernah menang bertanding Naib Presiden UMNO. Dapatkah Syed Hamid kuota yang cukup untuk bertanding Naib Presiden kali ini? Masa masih ada dua minggu lagi.