Khamis, Ogos 30, 2018

BALAKONG DARI PERKATAAN BALAK DAN KONG



BALAKONG, 30 Ogos (Bernama) -- Siapa sangka, Balakong yang penuh dengan kawasan perindustrian, pusat membeli belah dan kondominium ini, satu ketika dahulu merupakan kawasan pertanian, pembalakan dan sawah padi?

Sejak negara mencapai kemerdekaan, kawasan ini boleh dikatakan berubah hampir sepenuhnya, dengan menawarkan pelbagai jenis pekerjaan dan industri baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Penduduk di Kampung Sungai Balak, yang merupakan antara empat kampung terawal orang Melayu di Balakong antara saksi awal perubahan demi perubahan di Balakong, menandakan kaum itu juga dalah antara penduduk awal di kawasan berkenaan.

Malah, bekas ketua kampung berkenaan, Makzin Manap, 82, ketika ditemui Bernama menarik perhatian bahawa nama Balakong itu sendiri datangnya daripada perkataan balak, dan kong, merujuk kepada kongsi Cina atau penempatan kaum Cina satu ketika dahulu.

“Dulu di sini, hutan, dan orang-orang di kongsi Cina ini tebang balak, dan hanyutkan balak melalui Sungai Balak, sebelum di hantar ke tempat proses di Kajang,” katanya.

Selain hutan yang memberi sumber kayu balak, Makzin yang merupakan generasi ketiga daripada keluarganya membesar di Kampung Sungai Balak berkata kawasan berkenaan juga dahulunya dipenuhi sawah padi.

“Dari Sungai Sekamat sehingga ke Batu 14 di Kajang, semuanya sawah padi, sekarang tak ada dah sebab laluan air dah tak ada, semua dah jadi daratan dah buat kampung.

“Masa saya mula sekolah dahulu, tahun 1947 masa tu sawah padi memang banyak lagi, lepas itu saya berhenti sekolah tahun 1953, darjah enam masa itu pun masih ada lagi sawah padi,” kata bapa kepada 10 orang anak berkenaan.

Selain Kampung Sungai Balak, kampung lain dengan penduduk Melayu sepenuhnya di Balakong ialah Kampung Simpang Balak, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Sri Jambu.

Kaum Melayu merangkumi kira-kira 30 peratus pengundi dari keseluruhan 62, 219 pengundi di Balakong yang akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil 8 September ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Kaum Cina merupakan majoriti dengan jumlah keseluruhan merangkumi kira-kira 60 peratus.

Seorang lagi bekas ketua Kampung Sungai Balak, Ahzan Saad, 58 menarik perhatian bahawa keempat-empat kampung berkenaan berusia hampir 100 tahun.

Masing-masing menurutnya sudah di penghujung tempoh pajakan tanah selama 99 tahun dan dalam pelbagai proses untuk memohon memanjangkan tempoh pajakan daripada kerajaan.

“Setakat ini yang telah memohon untuk memanjangkan tempoh pajakan ialah Kampung Sri Jambu, mereka dah pohon sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi, kampung yang lain termasuk kampung saya ini akan tamat tempoh pajakan 99 tahun dalam penghujung tahun ini.

“Kalau boleh kita nak mohon dan kami sangat berharap ia akan diluluskan,” katanya.

Penempatan di Balakong yang bermula seawal 100 tahun lepas, diurus pentadbiran British pada ketika itu dengan prinsip ‘pecah dan perintah’ yang menyaksikan setiap kaum ditempatkan di penempatan berasingan.

Mengambil suasana kempen PRK Balakong yang sedang berjalan, seorang penduduk di Taman Taming Jaya, sebuah perumahan teres di Balakong, Ramli Suban, 62 ketika diminta reaksinya berkata bahawa beliau cuma mahu seorang wakil rakyat yang mengambil berat isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

“Perkara-perkara ini akan menjamin keharmonian berterusan di kawasan ini,” kata beliau yang tidak lagi bersara.

PRK berkenaan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki, 32 dan calon MCA Tan Chee Teong, 40.

-- BERNAMA