Jumaat, Jun 29, 2018

KU LI AKUI BUKAN MALAIKAT TAPI JANJI PULIHKAN UMNO


KUALA LUMPUR:  Calon Presiden Umno Nombor 1, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui bahawa beliau bukan malaikat tetapi berjanji jika beliau dipilih Presiden Umno esok, beliau akan pikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya dalam usaha kita memulihkan parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti.

Dalam perutusannya kepada semua perwakilan beliau yang juga ahli parlimen Gua Musang menyeru kepada semua perwakilan untuk membuat pilihan terbaik demi kelangsungan perjuangan Umno.

"Tatkala kita diuji dengan kejatuhan imej parti pada PRU14, pilihlah pemimpin yang ikhlas, penuh integriti dan mendengar denyut nadi akar umbi," tegasnya.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan yakin bahawa Umno mampu bangkit dengan nafas baru yang dibawa oleh setiap ahli dan perwakilan dari peringkat cawangan, bahagian hingga pimpinan tertinggi.

"Kita galas tanggungjawab ini bersama dan kita buktikan bahawa Umno masih tetap menjadi wadah terbaik dalam membela agama, bangsa dan negara," katanya lagi.

Sementara itu, berdasarkan Debat Presiden Umno di Astro Awani malam ini ternyata ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang paling menonjol di antara tiga calon Presiden yang turut disertai pemangku presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Semalam Ku Li mengaku beliau akan kalah jika berdebat dengan Khairy kerana kepetahan Khairy berhujah dan menerangkan visinya jika beliau diberi peluang mengetuai Umno amat menyakinkan para perwakilan.  Tetapi perwakilan tidak akan memberi peluang kepada Khairy kerana beliau masih muda.

Kegagalan beliau menarik orang muda untuk mengundi BN pada PRU bulan lepas membuktikan bahawa beliau gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua pemuda. Jika beliau sudah gagal sebagai ketua pemuda maka kenapa perwakilan mahu memilihnya sebagai presiden Umno yang baharu.

Begitu juga Zahid bersama Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mempertahankan BN pada PRU 14 menunjukkan Zahid juga tidak diterima rakyat. Maka takkan ahli Umno mahu meneruskan kesinambungan kepada Zahid yang mungkin akan disiasat SPRM jika beliau menang.

Oleh itu calon terbaik sudah tentu Ku Li kerana beliau tidak berada dalam kerajaan sebelum ini. Beliau juga berkata beliau mahu sepenggal sahaja sebagai presiden menunjukkan bahawa dalam  tempoh 36 bulan beliau akan memulihkan Umno agar pemimpinnya tidak lagi berlagak, sombong dan menghapuskan politik wang.

Kenapa sepenggal? Ku Li menjelaskan kerana pemilihan Umno untuk tiga tahun sahaja. Sama ada beliau patut sambung perkhidmatannya terpulang kepada ahli Umno kerana usianya pun sudah meningkat.

Terpulang kepada para perwakilan untuk memilih siapa Presiden Umno esok sama ada Ku Li atau Khairy atau Zahid Hamidi. Jika presiden baru gagal memulihkan Umno, maka pada tahun 2021 para perwakilan boleh menumbangkan beliau.