Rabu, November 19, 2008

SATU KEMATIAN




Setiap manusia yang hidup pasti mati. Oleh itu terimalah kematian sebagai satu ujian dari Allah. Apatah lagi yang mati itu adalah orang yang terdekat dengan kita.

Saya menerima berita kematian datuk saudara saya pada hari Isnin ,10 November lalu dengan tenang. Tidak seperti menerima berita kematian bapa saya enam tahun lalu dengan lelehan air mata. Saya terkilan kerana bapa saya tidak pernah sakit. Tiba-tiba saya menerima berita kematian bapa sewaktu sedang mengikuti perhimpunan agung UMNO pada tahun 2002 yang mana Dr. Mahathir tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan dipujuk oleh ahli-ahli majlis tertinggi UMNO supaya menarik balik perletakan jawatan tersebut.

Bapa saya meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motorsikal ke surau di kampung pada petang tersebut.

Isnin lalu, ayah sepupu saya, Abang Mat call saya pada jam 9.30 pagi memaklumkan datuk saudara saya, Haji Abu Bakar bin Yusof, seorang jurunikah di Bukit Goh, Kuantan baru sekejap meninggal dunia kerana terjatuh di biliknya ketika mahu pakai seluar.Hari itu dia mahu pergi ke Pejabat Tanah Kuantan untuk uruskan tukar milik tanah

Sebenarnya Haji Abu Bakar adalah adik nenek saya. Oleh kerana saya dibesarkan oleh nenek saya yang mana saya dianggap anaknya, maka Haji Abu Bakar saya anggap sebagai bapa saudara sendiri yang saya panggil Ayah Ngah Bukit Goh.

Kali terakhir saya menemui Ayah Ngah pada hari raya keempat lalu. Dia bersungut kerana saya datang lambat. Biasanya pada hari raya pertama atau kedua saya sudah muncul di rumahnya. Saya muncul pada jam 6 petang. Banyak kali saya panggil namanya. Saya ingatkan tiada orang di rumah. 10 minit kemudian Ayah Ngah muncul dari biliknya. Dalam usia 82 tahun Ayah Ngah kurang sihat tapi masih mampu berjalan perlahan-lahan. Petang itu emak saya yang uzur turut datang menziarahi Ayah Ngah.

“Lama betul tak tengok Ayah Ngah,” kata emak saya yang terpaksa tinggal di Kuala Lumpur selepas kematian ayah. Emak saya tidak dapat hadiri majlis pengkebumian Ayah Ngah dan mewakilkan saya dan adik saya, Mahir.

Biras Ayah Ngah, Che Da yang tinggal di Kemasik adalah kakak kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Ini bermakna adik ipar Ayah Ngah, arwah Ustaz Husein adalah abang ipar Ahmad Said. Sewaktu kecil Abang Mat, anak Ayah Ngah duduk di rumah emak Ahmad Said di Teluk Kalung. Mereka berdua adalah rakan sepermainan yang mana kedua-duanya bernama Ahmad. Ahmad Said dan Ahmad Abu Bakar.

Oleh kerana hari itu adalah hari deadline, saya tak dapat meninggalkan pejabat pagi itu. Jika saya terus bertolak ke Kuantan pagi itu saya sempat melihat jenazah Ayah Ngah dikebumikan pada jam 5 petang. Jenazahnya lambat dikebumikan kerana menanti anak-anaknya yang bekerja di Kelantan sampai. Jam 5 baru kami bertolak ke Kuantan dengan. Dalam kesesakan jalan raya, jam 6.45 petang baru kami melepasi tol Gombak

Kami tiba di Bukit Goh tepat jam 9.45 malam. Ketika itu sepupu saya, Abang Nawawi sekeluarga baru tiba dari Kajang. Dia baru pencen dengan KTM. Sepupu saya dulu kaki rugged. Selepas nikah dengan saudara kami juga, dia masuk dakwah. Dulu Abang Awi mirip kepada Darul Arqam.

Begitu juga adik mak saya, Che Da baru sampai dari Kuala Ketil, Kedah dengan suaminya, Syed Saripuzen. Orang jauh sampai lebih awal dari kami.

Bila ada kematian begini, baru kami dapat bertemu dengan saudara mara yang jauh. Kalau tidak memang susah mahu berjumpa. Saya tak sempat menemui dua pupu dari Paloh, Kuala Terengganu, Radzi, Kamal dan Nasir yang tiba lebih awal di Bukit Goh.

Zaman sudah berubah. Kalau zaman dulu, ada kematian dan nikah kahwin, kami biasanya tidur dua tiga malam di rumah saudara yang menghadapi kematian dan pernikahan itu.

Tetapi kini masa sudah berubah. Semua sudah ada kenderaan. Walau pun datang jauh, malam itu kami tetap pulang ke destinasi masing-masing. Ini yang menyebabkan kami semua lebih mesra sesama sepupu kami sedari kecil sedangkan anak-anak kami sudah tidak mesra lagi dengan pupu-pupu mereka kerana mereka tidak ada peluang untuk berinteraksi selama dua tiga hari. Mengenang kembali zaman dulu, saya amat rindukan saat-saat itu!