Jumaat, Julai 29, 2016

APA NASIB AHMAD SAID PETANG INI?

Apakah nasib bekas MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said petang ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno? Adakah beliau akan digantung atau dipecat dari Umno ekoran tindakan beliau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada MB Terengganu pada sidang DUN Mac lalu?

Jika beliau digantung atau dipecat dari Umno, keputusan ini yang ditunggu tunggu oleh setiap ahli Umno Terengganu kerana tindakan ADUN Kijal itu menyalahi peraturan kerana mengemukakan usul tidak percaya kepada MB dari parti sendiri. Sebaliknya jika petang ini Majlis Tertinggi Umno tidak mengambil sebarang tindakan ini bermakna Majlis Tertinggi amat takut kepada Ahmad Said dan seolah olah Ahmad Said itu amat kebal orangnya.

Kalau bulan lepas Majlis Tertinggi berani memecat bekas TPM, Muhyiddin Yasin dan bekas MB Kedah, Mukhriz Mahathir, maka kali ini pemerhati politik berhujah giliran Ahmad Said pula dipecat.

Sejak Mac lalu Badan Perhubungan Umno Terengganu sudah menghantar laporan kepada ibu pejabat Umno tetapi laporan itu tersadai di atas meja seorang pegawai ibu pejabat Umno. Bila disiasat rupa-rupanya pegawai itu terhutang budi kepada bekas MB Terengganu itu yang memberi kawasan balak kepadanya. Pegawai tersebut tidak bawa laporan itu ke atas.

Bila ditanya, ia akan diambil tindakan selepas pilihanraya negeri Sarawak. Tiba tiba ia ditangguhkan kerana berlaku pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pula. Selepas pilihanraya kecil tersebut masih Majlis Tertinggi membisu terhadap Ahmad Said. Ahli Umno Terengganu kecewa dengan sikap majlis tertinggi Umno yang pengecut dan tidak ada telur.

Minggu lepas ADUN Kijal yang berucap dalam majlis tadika di Kijal secara terus terang memberitahu hadirin bahawa beliau akan menulis buku untuk mendedahkan 1MDB dan salah laku Perdana Menteri. Ucapan itu dibuat oleh ADUN BN dan bukannya pembangkang menunjukkan jika Majlis Tertinggi masih tidak ambil tindakan petang ini, memang sah Majlis Tertinggi Umno tiada telur.

Takut apa pecat Ahmad Said kerana tindakan itu membuatkan kedudukan BN dan pembangkang seri 16-16 dalam DUN. Risiko memang ada jika ada ADUN mahu keluar Umno mengikut jejak langkah Ahmad Said. Jika ini berlaku kemungkinan DUN akan dibubar untuk beri peluang kepada rakyat memilih kerajaan baharu. Terpulang kepada rakyat mahu mengekalkan kerajaan BN atau memilih kerajaan Pakatan Harapan. BN Terengganu sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi kelebihan kepada BN Terengganu jika berlaku pertandinga tiga penjuru antara BN, PAS dan Amanah.

Bercakap tentang DUN Kijal, majoriti JKKK yang menyokong Ahmad Said kini menentang MB sekarang dan juga ATRA agensi kerajaan negeri di bawah DUN Kijal. Sepatutnya ATRA dan JKKK hendaklah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pejabat SUK dan MB. Oleh itu sudah sampai masanya ATRA DUN Kijal disusun semula dan semua JKKK diawasi oleh pegawai khas MB yang menjaga DUN Kijal, Haji Mustapha Abdul Rahman.